Seni & Sukan 15 Nov, 2022

Keluarga Malaysia santuni warga emas! Jiran Wanita BTHO biayai tempat mandi jenazah, mesin basuh!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


TEMPAT mandi jenazah dengan reka bentuk yang terkini dan lebih sesuai, dapat dibina dengan segera selepas kos pembuatan kemudahan itu ditanggung sepenuhnya oleh Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) di Cheras, Selangor.

Langkah itu dilakukan selepas 20 ahli Jiran Wanita berkenaan mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor dalam program Ziarah Kasih pada 5 November 2022 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jiran Wanita KRT

Pekerja menyiapkan tempat mandi jenazah baharu PJMM yang dibiayai kos membuatnya oleh Jiran Wanita KRT BTHO.


Selain kemudahan tempat mandi jenazah itu, Jiran Wanita berkenaan turut mendapatkan penyumbang bagi membekalkan sebuah mesin basuh selain akan memasangkan alat pembesar suara supaya warga emas yang terlantar di katil dapat mendengar program pengajian serta ceramah agama yang diadakan di surau PJMM.

Pengerusi Jiran Wanita itu, Nor Ahmar Mohd Yusuf, berkata selepas dibawa melawat sekitar PJMM kami mendapati tempat mandi jenazah yang digunakan sudah tidak bersesuaian dengan reka bentuk yang membebankan petugas mengurus jenazah.


Tempat mandi jenazah baharu dengan reka bentuk terkini akan memudahkan petugas mengurus jenazah di PJMM.


Menurutnya, begitulah juga apabila dimaklumkan oleh Pengerusi PJMM, Azman Rasman bahawa mereka masih memerlukan mesin basuh pakaian serta pemasangan pembesar surau ke bilik warga emas yang terlantar untuk membolehkan mereka turut mengikuti pengajian serta ceramah agama amat menyentuhi hati pengunjung.

Jelasnya, selepas melawat ke bilik yang menempatkan warga emas tanpa waris dan disisihkan ahli keluarga itu dia bersama-sama ahli menganggap usaha murni pihak pengurusan PJMM untuk memastikan penghuni khusus terlantar turut mengikuti program agama melalui pembesar suara amat bermanfaat.

“Kami secara sepontan terus berbincang untuk menyediakan kemudahan diperlukan ini dan dapat disediakan dengan segera seperti tempat mandi jenazah yang disiapkan dalam tempoh dua hari sahaja.

“Apa yang kami lakukan ini bukan untuk bermegah malah berasakan sesuatu yang menjadi tanggungjawab kita semua bagi membantu pusat jagaan seperti PJMM apabila secara sukarela menjaga dan menguruskan warga emas ini tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya.


Ahli Jiran Wanita KRT Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras merakamkan gambar kenangan dalam program Ziarah Kasih bersama-sama petugas dan warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih pada 5 November 2022.


Dalam program berkenaan Jiran Wanita berkenaan turut menyumbangkan wang, cenderamata serta beberapa barangan seperti kain pelikat, kain batik, sejadah dan tuala mandi kepada warga emas. 

Turut diadakan acara berselawat bersempena Maulidur Rasul, beramah mesra bersama warga emas dengan menyediakan makan tengah hari. Turut hadir pada majlis itu Pengurus PJMM, Sazali Mohiden dan Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado.

Nor Ahmar berkata, objektif Jiran Wanita mengadakan program itu ibarat serampang dua mata iaitu sebagai tanda kasih sayang dan perhatian kepada ibu bapa yang tinggal di pusat jagaan berkenaan di samping pendedahan kepada ahli mengenai isu pengabaian keluarga.


Ahli Jiran Wanita mendengar taklimat mengenai kemudahan yang terdapat di surau PJMM.


Menurutnya, mungkin sebelum ini ahli Jiran Wanita hanya mendengar kisah pengabaian ibu dan bapa menerusi media sosial tetapi apabila dapat menyertai program itu mereka dapat melihat serta mendengar sendiri kisah sebenar warga emas terbabit yang disisih oleh ahli keluarga.

Jelas beliau, sumbangan yang diberikan kepada PJMM itu mendapatkan kerjasama daripada keseluruhan ahli Jiran Wanita serta beberapa penyumbang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin.

Selain itu tambah beliau, Jiran Wanita menghubungi terlebih dahulu PJMM untuk mengetahui bantuan atau sumbangan yang diperlukan supaya barangan diinfak pelbagai pihak berkenaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.


Azman memberi penerangan mengenai warga emas terlantar di katil PJMM tetapi tetap disantuni dengan sempurna oleh petugas.


“Saya berharap apa yang dilakukan oleh kami, Jiran Wanita ini dapat dicontohi pelbagai pihak untuk bersama turun padang bagi menghulurkan bantuan kepada pusat jagaan seperti PJMM untuk membantu mereka terus beroperasi bagi menjaga dan mengurus warga emas terbabit.

“Sebelum pandemik Covid-19 Jiran Wanita turut membuat program seperti ini apabila menziarahi sebuah Pusat Tahfiz, di Sungai Buloh, Selangor untuk menghulurkan bantuan kewangan, melengkapi kemudahan perpustakaan dan menyumbangkan barangan makanan kering yang mendapat dana infak beberapa NGO,” katanya. - KitaReporters


Ahli Jiran Wanita turut mengambil kesempatan mengalunkan selawat bersempena Maulidur Rasul.


Nor Ahmar menyampaikan cenderamata kepada Sazali sambil diperhatikan Azman.

24
13
0
11
1
You will be interested