Seni & Sukan 31 Jan, 2024

Saksikan otai rockers bantu madrasah! Makan Malam Kesadaran Amal! Peluang menderma sebelum Ramadan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Dari kiri: Ali XPDC, Faisal Ismail, Adi Wow dan Ijam Medicine. - Kredit foto: FAS.


Seramai lima otai rockers yang kini telah berhijrah antaranya seperti Dato Awie Wings, Ali XPDC, Ijam Medicine, Adi Wow dan  Anjang Terra Rossa bakal bergabung di atas satu pentas bagi menjayakan Majlis Makan Malam Kesadaran Amal pada 17 Februari 2024 ini.

Bersama mengesahkan kehadiran mereka meraikan malam amal bertujuan mengumpul dana untuk pengurusan Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor adalah Faisal Ismail dan Mawi yang akan bertindak sebagai pengacara majlis.

“Kami menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1.3 juta daripada jualan meja dan sumbangan daripada pelbagai aktiviti kebajikan yang dirancang pada malam tersebut seperti jualan lelong barangan artis dan sebagainya,” ujar Mudir Al-Muqwa, Amran Johari pada majis pelancaran Majlis Makan Malam Kesadaran Amal yang berlangsung di Restoren Sri Kunyit, Kuala Lumpur pada 30 Januari 2024.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan Dan Ekosistem Malaysia (MEEDC), Tengku Adena Tengku Abdullah selaku Penaung Majlis; Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid; Pengurus Kandungan Radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor serta barisan artis yang terbabit iaitu Ijam Medicine, Adi Wow, Faisal Ismail, Anjang Terra Rossa dan Ali XPDC selaku Duta Al-Muqwa.


Tengku Adena menerima surat perjanjian dari Pengerusi Madrasah, Roslan Ariffin sambil diiringi Amran Johari (kiri).


Menurut Amran, sasaran RM1.3 juta diharapkan bagi membantu meneruskan pengurusan madrasah memandangkan pihaknya  menanggung bebanan hutang hampir RM285,000 untuk membiayai kos operasi sebelum ini, selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Selain itu kami mempunyai tunggakan atau tuntutan hutang daripada pembekal tenaga dan juga syarikat air yang mana jumlah tunggakan bil-bil utiliti tersebut mencecah sehingga RM80,000 untuk tempoh dua tahun,” tambah Amran sambil memaklumkan madrasah turut kerap terputus bekalan makanan sejak setahun setengah lalu.

Bertitik tolak daripada masalah yang berlaku itulah tercetus idea untuk meneruskan majlis makan malam amal buat kali ke-2 sejak pertama kali dianjurkan pada 26 Februari 2022 di mana pihaknya hanya mampu mengumpul lebih kurang RM160,000 sahaja. 

"Memandangkan pengurusan Madrasah memakan belanja sekurang-kurangnya RM13,000 sebulan sudah tentu pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk kos pengurusan keseluruhannya,” tambah Amran mengharapkan sumbangan pembelian meja atau dari orang perseorangan atau dermawan dapat mencapai jumlah yang disasarkan. 



Sambung Amran, kutipan dana menerusi jualan meja makan dan juga kerusi yang dijual ini digunakan sepenuhnya bagi tujuan membiayai kos operasi madrasah yang telah terjejas pendapatan sumber bantuan sejak dua tahun lalu kesan daripada pandemik Covid-19. 

Katanya lagi, madrasah yang ditubuhkan sejak 14 tahun lalu ini terpaksa melalui pelbagai fasa-fasa perjalanan dan ujian yang sukar sepanjang tempoh tersebut dan masih berlarutan sehingga kini.

“Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) menempatkan sebahagian besar anak-anak yatim, fakir dan miskin serta anak-anak mualaf dan terbiar. Kami tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelajar-pelajar atau anak yatim yang menghuni kawasan ini. 

“Jadi kita mengasuh mereka ini, golongan yang berpendapatan rendah yang tidak berkemampuan ini untuk menjadikan mereka sebagai penghafaz Al-Quran dan juga alim ulama,” sambung Amran panjang lebar. 



Majlis Makan Malam Kesadaran Amal memperuntuk tiga kategori jualan meja bermula dengan harga RM3,000 (Bronze) RM5,000 (Silver) dan RM8,000 (Gold) untuk satu meja

“Bagi memberi peluang kepada orang perseorangan dengan menyediakan kerusi di luar dewan pada harga RM200 setiap satu di mana penonton boleh menyaksikan konsert melalui skrin gergasi yang akan dipasang di situ,” tambah Amran.

Berkongsi lanjut katanya, penonton bukan sahaja dihiburkan dengan lagu-lagu popular artis kegemaran masing-masing tetapi halwa telinga turut disajikan dengan ‘hidangan’ lain seperti persembahan salawat, bacaan ayat-ayat Al Quran dan perkongsian pengalaman artis-artis hijrah, bermula dari 6 petang hingga 11 malam.

Sementara itu, rata-rata artis terlibat melahirkan harapan agar orang ramai dapat bersama mereka menghulurkan bantuan bagi menjayakan hasrat Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) untuk terus ‘bernafas’.

“Ini adalah sebahagian daripada kerja amal kami untuk membantu sedaya mungkin hasrat penganjur, jadi saya harap selain berhibur kita juga beramal ke arah kebaikan semoga amalan kita diberkati insyaAllah,” ujar Ali XPDC sambil mendapat anggukan bersetuju daripada rakan-rakan artis lainnya yang hadir.


Bergambar bersama anak-anak penghuni madrasah.


"Kita juga akan kumpulkan sejumlah barangan atau koleksi artis-artis untuk jualan lelong amal di mana semua hasil kutipan disalurkan sepenuhnya kepada Al-Muqwa,” sambung Azman seterusnya menyeru kepada mana-mana rakan artis yang berminat ingin membantu untuk turut serta menyumbang dalam bentuk barang-barang pakaian atau koleksi peribadi yang ingin dilelong atau ingin dihadiahkan kepada madrasah untuk dilelong pada majlis makan malam kelak.

Jelasnya, pihaknya juga masih terbuka untuk menerima mana-mana artis yang ingin turut serta dalam konsert khususnya artis wanita yang mahu beramal kebajikan selari dengan tema majlis iaitu ‘Fikir, Dzikir, Dikir’ bersamaan tema program, ’Hitam-Putih Kehidupan’.



Maklumat lanjut berhubung kupon jualan meja makan atau kerusi boleh menghubungi beberapa talian berikut:

Amran di talian  0126212582 atau wasap.my/60126212582; Roslan- 0162446567 atau wasap.my/60162446567; Omar- 0163753117 atau wasap.my/60163753117; Hasroy : - 0176396368 atau wasap.my/60176396368; Khusairi - 0165526500 atau wasap.my/60165526500 dan Manaf - 01135699515 atau wasap.my/6011356991.

Bagi yang mahu menyumbang terus boleh membuat pembayaran melalui perbankan atas nama Madrasah Ulumulquran Wal Ahadith (Maybank 5624 693 08464) atau Madrasah Ulumulquran Wal Ahadith (CIMB Bank 8603 259 460).

Jadi apa kata sebelum tibanya bulan Ramadan,  kita beramal pada Malam Kesadaran mengikut kehendak  temanya: Kita 'Fikir', agar sedar dan manusiawi, Kita "Dzikir" agar mengerti dan berhubung Tuhan, Kita 'Dikir' agar alam harmoni tak sepi'.  - KitaReporters


Ali XPDC (kanan) bersama rakan-rakan artisnya Ijam Medicine, Adi Wow dan Faisal Ismail.

12
17
0
5
0
You will be interested