Seni & Sukan 11 Jan, 2023

Piala AFF 2022: Azraai puji Pan-gon! Harimau Malaya tetap mengaum! Kalah separuh akhir pun tak malu!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


DI SEBALIK kekecewaan penyokong bola sepak tanah air ekoran kekalahan 0-3 kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Bangkok pada Selasa, 10 Januari, 2023, sekali gus tewas 1-3 secara agregat, ramai juga yang berlapang dada menerima keputusan itu.

Malah tidak kurang memuji persembahan anak buah Kim Pan-gon sekalipun belum cukup bagus untuk mengulangi kejayaan skuad 2010 yang menjulang piala itu buat pertama kali dan yang tunggal setakat ini.


Lagi cerita-cerita menarik brkaitan jurulatih Kim Pan-gon


Bagi jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, walaupun gagal ke final namun kemampuan Harimau Malaya mara ke separuh akhir boleh dianggap pencapaian membanggakan memandangkan kekangan dihadapi Pan-gon dalam membentuk skuad untuk ke pertandingan itu.

“Sejak awal tidak ramai menaruh harapan tinggi kepada skuad ini kerana tidak menyenaraikan pemain-pemain tulang belakang dari skuad JDT (Johor Darul Ta’zim). Pan-gon terpaksa memanggil ramai pemain kurang pengalaman sambil dibantu pemain senior seperti Brendan Gan, Safawi Rasid, Darren Lok dan Faisal Halim.

“Pujian harus diberikan kepada Pan-gon kerana berani menurunkan ramai pemain muda dan dalam tempoh yang singkat beliau mampu membentuk semangat, persefahaman, kombinasi dan taktikal berkesan pada skuad berwajah baharu ini.

“Namun, kita perlu berpijak di bumi nyata dan mengakui hakikat bahawa skuad kali ini tidak semantap skuad yang membawa kita layak ke Piala Asia. Jika pemain-pemain senior dari skuad JDT ada, lain ceritanya,” ujar Azraai.


AZRAAI Khor Abdullah memuji pencapaian skuad Malaysia pada Piala AFF 2022 sekalipun sekadar mara ke separuh akhir sahaja. - Kredit foto: FB Mohd Azraai Khor


Pan-gon tidak dapat menggunakan khidmat pemain JDT iaitu Shahrul Saad, Corbin Ong, Matthew Davies, Arif Aiman Mohd Hanapi, Nazmi Faiz Mansor, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Mohamadou Sumareh dan Naxto Insa serta pemain Pahang, Azam Azih atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau kecederaan.

Apa yang jelas, kata Azraai, pemain-pemain yang menganggotai skuad kali ini kebanyakannya kurang pengalaman pada peringkat antarabangsa walaupun merupakan pemain regular di peringkat kelab.

“Kita dapat lihat pemain seperti Nor Hakim Hassan, walaupun sudah berpengalaman dalam liga tapi jelas masih gugup bila bermain pada peringkat antarabangsa. 

“Begitupun beberapa pemain seperti Sharul Nazeem (Zulpakar) dan (V) Ruventhiran adalah antara yang menyerlah dan boleh digilap lagi untuk skuad kebangsaan. Cuma, mereka perlukan lebih banyak pendedahan,” katanya lagi.


NOR Hakim (No 13) jelas masih gugup kerana cetek pengalaman di peringkat antarabangsa. - Kredit foto: FAM


Mengulas kekalahan kepada Thailand pada separuh akhir kedua, Azraai menganggap pasukan Gajah Perang itu berada pada kelas tersendiri berbanding Harimau Malaya.

“Sejak perlawanan separuh akhir pertama di Bukit Jalil, kita dapat lihat mereka yang mendominasi perlawanan walaupun Malaysia menang 1-0. Kemenangan mereka di Bangkok bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kita sedar Harimau Malaya akan berdepan laluan sukar di sana.

“Pada saya, kekalahan itu bukan sesuatu yang memalukan, malah saya sebagai penyokong bangga dengan pencapaian kita mara ke separuh akhir,” kata Azraai.

Pada perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Thammasat, Bangkok itu, Malaysia yang membawa bekalan tipis satu gol hasil kemenangan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 Januari, 2023 ternyata tidak mampu membendung asakan bertali arus Thailand.

Skuad bimbingan Alexandre Polking yang menguasai 63 peratus perlawanan menterjemahkan kelebihan itu dengan menghasilkan tiga gol menerusi Teerasil Dangda (m-19), Bordin Phala (m-55) dan Adisak Kraisom (m-71).

Thailand akan berdepan Vietnam pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada Jumaat, 13 Januari, 2023 ini di Hanoi dan timbal balik di Bangkok pada Isnin, 16 Januari, 2023. - KitaReporters


SHARUL Nazeem antara pemain muda Malaysia yang menyerlah pada pertandingan Piala AFF 2022. - Kredit foto: FAM

16
16
0
14
0
You will be interested