Seni & Sukan 09 Apr, 2025

Video| Enam Jahanam lonjakkan nama Noor Azizah! Kini Malam Ini Kita Berpisah iringi pemergiannya!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

.


“Malam ini kita berpisah

Rasa hati resah gelisah

Pulanglah kanda wahai pujaan

Tinggallah dinda kesaorangan

Selamat jalan”

Bait lirik di atas menerjah ingatan peminat filem Melayu kepada Allahyarham seniwati Noor Azizah Datuk Seri Azizul Hassan, 78, yang menyahut seruan Ilahi kembali ke alam abadi akibat sesak nafas di kampungnya, Kampung Paloh, Ipoh, Perak pukul 3 pagi pada Isnin, 7 April 2025.


Noor Azizah meninggal dunia di kampung halaman di Ipoh pada 7 April 2025 akibat sesak nafas.


Aktres jelita Noor Azizah ketika usia remaja merupakan pelakon terkenal pada era 60-an dan 70-an.


Lirik tersebut adalah petikan lagu ‘Malam Ini Kita Berpisah’ nyanyian Allahyarham Habibah Yaakob, ciptaan dan lirik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menghiasi filem ‘Enam Jahanam’ (1969) arahan P. Ramlee.  

Filem ini membariskan P. Ramlee sebagai Tantari, Noor Azizah dalam dua peranan sebagai Masmera dan Mastika (Mas). Yusof Latif memegang watak Laksamana Damburi.

Dalam filem tersebut, lagu merdu mendayu ‘Malam Ini Kita Berpisah’ dinyanyikan oleh Masmera atau Mas (Noor Azizah) sebagai luahan kesedihan kerana kekasihya, Tantari (P. Ramlee) yang berguru dengan bapanya (Mas) telah tamat ilmu persilatan dan akan balik ke kampung halaman.

Akhirnya Mas dan Tantari disatukan sebagai suami isteri. Mereka hidup bahagia di kampung Tantari yang menjalankan perniagaan kain. Namun tragedi menimpa apabila Mas dirogol dibunuh oleh perompak enam jahanam ketika berseorangan di rumah.


Mas (Noor Azizah) menyanyikan lagu 'Malam Ini Kita Berpisah' dalam satu adegan filem 'Enam Jahanam'. 


Kemesraan Tantari (P. Ramlee) dan Mas (Noor Azizah) dalam satu adegan 'Enam Jahanam'.


Enam Jahanam’  keluaran Studio Merdeka Hulu Kelang adalah antara banyak filem lakonan Noor Azizah. Filem itu dianggap berjaya menjulang namanya sebagai pelakon.

Titik permulaan Allahyarham mewarnai layar perak dalam karier seni yang gemilang bermula  di Studio Malays Film Productions (MFP), Singapura. Allahyarham yang lahir pada 26 Mac 1947 memulakan pembabitan dalam filem pada 1965.

Tahun it,u Allahyarham terpilih sebagai pelakon tambahan dalam filem ‘Dayang Senandung’ arahan Jamil Sulong, yang turut dibintangi Sarimah dan Ahmad Mahmud.

Penampilannya dalam filem tersebut menarik perhatian pengarah lain. Pada tahun 1966 Allahyarham ditawar berlakon dalam filem ‘Sri Andalas’ arahan S Kadarisman.

Tahun berikutnya Allahyarham ‘dinaikkan pangkat’ selaku bintang utama filem ‘A-Go-Go 67’ arahan Omar Rojik ketika demam pop yeh-yeh melanda.

Ketika di kemuncak, Allahyarham melahirkan hasrat untuk berundur dari dunia seni. Hasrat tersebut dibatalkan selepas dipujuk oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Seterusnya Allahyarham dipilih membintangi filem warna ‘Raja Bersiong’ nukilan Tunku sendiri.

Apabila studio MFP ditutup, Allahyarham menetap di Johor Bahru. Kerjaya seni bagai terhenti. Bekas pegawai MFP, Jaafar Abdullah, memujuk Allahyarham pindah ke Kuala Lumpur. Kebetulan ayahnya, seorang pegawai polis, ditukarkan ke Klang. Ayahnya pernah menyandang jawatan Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta.

Allahyarham meneruskan karier seni di Studio Merdeka sebagai salah seorang bintang utama. Allahyarham sering bergandingan dengan P Ramlee, Ahmad Mahmud dan Ed Osmera.


P. Ramlee dan Noor Azizah dalam filem 'Di Belakang Tabir'.


Setelah mengambilnya berlakon dalam ‘Enam Jahanam’, P. Ramlee mengambilnya berlakon dalam filem ‘Dr Rushdi’ (1970) dan ‘Jangan Tinggal Daku’ (1971). Selain itu Jins Shamsuddin pernah menggandingkannya dengan P. Ramlee dalam filem ‘Di Belakang Tabir’ (1969).

Filem lain dibintangi oleh Allahyarham di Studio Merdeka ialah ‘Kembang Layu’ (1970), ‘Durjana’ (1971), ‘Perintah Seri Paduka’ (1970), ‘Kalau Berpaut di Dahan Rapuh 1971)’, ‘Sayang Anakku Sayang’ (warna) (1976), ‘Cinta dan Lagu’ (warna) (1971. Juga membintangi filem ‘Pendekar’ (1977) keluaran Sabah Filem.

Allahyarham juga membintangi filem luar seperti ‘Vendetta’ (Thailand), ‘Jangan Kau Tangisi’ dan ‘Malim Kundang (Indonesia) serta siri TV Australia, ‘The Bailey’s Bird’.

Selepas era 80-an, Allahyarham menyepikan diri dari dunia seni sehinggalah muncul selaku artis undangan dan filem ‘Soal Hati’ (2000) arahan Othman Hafsham.

Allahyarham yang tinggal di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur balik ke kampung di Ipoh untuk meraikan Syawal bersama kaum keluarga. Allah menentukan Allahyarham akan pergi di kampung halaman sendiri. - KitaReporters


Keluarga bahagia Noor Azizah bersama suami dan ahli keluarga.


Khairena menyiram bunga di atas pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Masjid Paloh, Ipoh, Perak.


Pemergian Noor Azizah adalah ibarat padamnya sebutir bintang berkilau dalam dunia seni. Allahyarham meninggalkan suami, Datuk Nik Hussain Ali, 94, dan dua anak, Khairena, 38, dan Khairi, 34 tahun.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Wakaf Masjid Paloh, Ipoh pukul 2.50 petang pada 7 April 2025.

Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham. - KitaReporters


9
14
0
13
0
You will be interested