
HAZIQ Nadzli wajar menjadikan sembilan minit akhir melindungi gawang Bintang-bintang ASEAN (ASEAN All-Stars) daripada asakan Manchester United, modal terbaiknya untuk memintas Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sebagai penjaga gol utama Harimau Malaya apabila berdepan Vietnam nanti.
Pemain Perak FC ini yang masuk menggantikan Patiwat Khammai dari Thailand, turut berjaya memastikan barisan handalan Asia Tenggara ini menjulang Piala Cabaran Malaysia 2025 dengan menumpaskan Si Jembalang Merah kendalian Ruben Amorim 1-0 dalam perlawanan Jelajah Asia pascamusim kelab Liga Perdana England (EPL) itu.
Gol tunggal pemain Myanmar, Maung Maung Lwin pada minit ke-71 di depan 72,550 hadirin Stadium Nasional, Bukit Jalil mengirim bintang-bintang antarabangsa United bernilai berjuta-juta ringgit kehampaan sebelum berlepas ke Hong Kong bagi melengkapi siri Jelajah Asia pascamusim mereka.
Bagi para penyokong setia MU yang rela berbelanja besar dengan membeli tiket di Bukit Jalil, cukuplah dengan menatap dari dekat wajah-wajah bintang kesayangan mereka seperti Harry Maguire, Bruno Fernandes, Diogo Dalot, Andre Onana dan Carlos Casemiro.
Haziq dan Syihan tersenarai dalam skuad 33 pemain Harimau Malaya bagi berdepan Cape Verde dan Vietnam, malah tiga lagi pesaing posisi benteng akhir itu ialah Azri Ghani, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Syed Nasrulhaq Syed Bidin.

Muhammad Haziq Nadzli. - Kredit foto: FB Kelab penyokong JDT

DARI kiri, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azri Ghani, jurulatih penjaga gol negara John Crawley, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Syed Nasrulhaq Syed Bidin. - Kredit foto: FAM
Skuad negara berdepan perlawanan antarabangsa tahap 1, perlawanan latihan tertutup (menentang Cape Verde) dan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 (berdepan pendahulu Kumpulan F, Vietnam) pada 29 Mei 2025 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 3 dan 10 Jun 2025 juga di Bukit Jalil.
Kesemua 15 pemain simpanan termasuk Haziq dan dua lagi pemain Malaysia, Azam Azmi Murad dan Adib Ra’op tetap diberikan minit dan peluang menghadapi Man U oleh ketua jurulatih Bintang-bintang ASEAN, Kim Sang-sik yang juga mengemudi Vietnam.
Penyerang naturalisasi negara, Sergio Aguero mendapat penghormatan menyarung lilit kapten biarpun digantikan pada minit ke-54, manakala Declan Lambert sempat menghabiskan babak pertama sebagai bek kiri kesebelasan utama.
Kecuali Haziq, mereka walau bagaimanapun hanya dalam ‘Senarai Bersedia’ bagi siri perlawanan Harimau Malaya itu sementara Declan, pemain warisan berdarah kacukan England-Malaysia, tidak terpilih.
Sebaliknya saudara kembarnya, Ryan turut dinamakan ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski dalam senarai itu yang bakal dipanggil sekiranya berlaku penarikan diri antara 33 pemain tersebut atas sebab peribadi, kecederaan atau kesihatan.

AZAM Azmi Murad (lima dari kiri) meraikan gol Maung Maung Lwin (dua dari kiri) bersama-sama rakan sepasukan Bintang-bintang ASEAN. - Kredit foto: SPR
Mungkin ada rezeki yang kembali berpihak kepada Sergio, Adib dan Azam ekoran perlawanan dengan MU ini untuk pengendali warga Australia itu memanggil mereka menjelang menentang Vietnam.
Namun begitu sejauh mana kemampuan Haziq, 27, yang setinggi 1.76 meter ini pasti telah dihidu Sang-sik sepanjang kem latihan singkat Bintang-bintang ASEAN yang mampu dimanfaatkan oleh Pahlawan Bintang Emas pada pertemuan genting mereka di Bukit Jalil nanti.
Anak jati Kuala Lumpur ini menjadi pilihan pengendali Harimau Malaya terdahulu, Pau Marti Vicente ketika mereka tersingkir daripada separuh akhir Kejohanan ASEAN 2024-2025 malah dikecam hebat para peminat gara-gara ‘gol hadiahnya’ kepada Thailand sehingga tewas 1-0.
Syihan, 29, yang tidak dilepaskan oleh Johor Darul Ta’zim FC ke kejohanan itu pula kembali meraih posisi tersebut tanpa dibolosi apabila Tim Peter menumpaskan Nepal 2-0 dalam pembuka tirai kelayakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 lalu. - KitaReporters

SERGIO Aguero (kiri) cuba membolosi kekangan seorang pemain Manchester United, Kobbie Mainoo dalam perlawanan Jelajah Asia Piala Cabaran Malaysia 2025. - Kredit foto: SPR

DECLAN Lambert (15) menghambat bola daripada Patrick Dorgu yang rebah di padang Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: SPR