Seni & Sukan 09 Jun, 2025

Untukmu Xana! Jasadnya sudah tiada! Tapi semangatnya tetap bersama Enrique! Dedikasi kejayaaan PSG!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

KAIN rentang raksasa yang memaparkan karikatur Luis Enrique bersama anaknya Xana dikibarkan di Allianz Arena, Munich, sebagai meraikan kejayaaan Paris Saint-Germain menjuarai Liga Juara-Juara UEFA 2024-2025.


SEBAIK saja pengadil perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA antara Paris Saint-Germain (PSG) dengan Inter Milan pada Ahad, 1 Jun, 2025 (waktu Malaysia) meniup wisel penamat, jurulatih PSG, Luis Enrique segera menanggalkan baju dan memakai kemeja T bertuliskan “Kami adalah juara.”

Apa yang menarik, terdapat gambar kartun pada kemeja T itu yang menampilkan karektor Enrique dan anak perempuannya, Xana sedang sama-sama memacak bendera PSG di tengah padang.

Seolah-olah memberi reaksi kepada apa dilakukan Enrique, penyokong PSG yang belum berganjak dari Stadium Allianz Arena, Munich, Jerman, mengibarkan kain rentang raksasa yang menampilkan karikatur seorang ayah sedang memacak bendera bersama anak perempuannya yang berjersi PSG.


LUIS Enrique dijulang oleh pemain selepas Paris Saint-Germain menjuarai Liga Juara-Juara UEFA 2024-2025. - Kredit foto: FB Paris Saint-Germain.


Itu cara Enrique meraikan kejayaan PSG menjuarai Liga Juara-Juara selepas membelasah Inter Milan 5-0 lalu penyokong yang dapat menyelami perasaan jurulatih itu turut memberi respons.

Kejayaan itu amat bermakna kepada penyokong PSG kerana ia merupakan kejuaraan pertama kelab berkenaan dalam pemburuan mereka ke atas trofi Liga Juara-Juara.

Tapi bagi Enrique ia adalah hadiah kepada Xana, anak bongsunya yang meninggal dunia pada 29 Ogos, 2019 akibat barah tulang.



KENANGAN Enrique bersama Xana semasa Barcelona menjuarai Liga Juara-Juara UEFA 2014-2015.


Momen itu mengingatkan kembali detik indah mereka berdua semasa meraikan kejayaan Barcelona menjuarai Liga Juara-Juara selepas mengalahkan Juventus 3-1 pada musim 2014-2015.

Ketika itu, Xana yang berusia lima tahun, mengibar bendera Barcelona lalu bersama sang ayah memacaknya di tengah padang Stadium Olimpik, Berlin, Jerman, gelanggang berlangsungnya perlawanan akhir itu.

"Itu kenangan yang luar biasa," kata Enrique. "Saya mempunyai foto Xana memacak bendera Barcelona atas rumput stadium.

"Saya ingin melakukan hal yang sama dengan bendera Paris Saint-Germain. Anak saya mungkin tak hadir secara fizikal, tapi secara spiritual, dia akan ada di sana, dan itu sangat bererti bagi saya," katanya menjelang pertemuan dengan Inter itu.


PEMAIN Paris Saint-Germain bergambar bersama piala Liga Juara-Juara sebelum berangkat pulang ke Paris. - Kredit foto: FB Paris Saint-Germain.


Semangat Xana ternyata turut meresap dalam diri pemain PSG yang bagai dirasuk ketika membelasah Inter 5-0 pada perlawanan akhir itu menerusi jaringan Achraf Hakimi (m-12), Desire Doue (m-20,63), Khvicha Kvaratskhelia (m-73) dan Senny Mayulu (m-86).

Kini, sudah enam tahun Xana pergi namun hanya jasadnya yang dipisahkan dari Enrique dan keluarga sedangkan semangatnya tetap bersama mereka,

”Dia ada di sini, menyokong keluarga saya. Kami merasakan kehadirannya, bahkan saat kami kalah. Ini semua tentang menyatukan semua yang telah kami lalui dan mengambil sisi positif dari situasi negatif,” kata Enrique.

Enrique pernah mengatakan, Xana bagai bintang yang tak hanya selalu menemaninya, tetapi juga membimbingnya ketika melewati momen-momen sulit.


ENRIQUE meraikan kejayaan bersama keluarganya.


Xana berusia sembilan tahun apabila didiagnosis menghidap osteosarkoma (osteosarcoma), sejenis kanser tulang. Ia sesuatu yang memeranjatkan keluarganya.

Terkesan dengan ujian yang tidak dijangka, Enrique yang ketika itu menjadi jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol mengundur diri bagi memberi perhatian kepada Xana yang dirawat di Hospital Sant Joan de Deu, Barcelona.

Namun kondisi kesihatan Xana makin hari semakin memburuk. Pada hari-hari terakhirnya, dia menghabiskan sisa nafasnya di rumah, dikelilingi oleh insan-insan yang menyayanginya.

“Detik-detik itu sangat berat, tapi juga sangat mengharukan, sangat peribadi,” ujar Enrique dalam satu dokumentari.

“Puteriku datang ke dunia ini dan tinggal bersama kami selama sembilan tahun yang luar biasa. Kami punya ribuan kenangan bersamanya," ungkap Enrique. - KitaReporters

10
9
0
7
0
You will be interested