Seni & Sukan 19 Oct, 2025

Video| Kisah Jimi Selingkuh! Curahkan sepenuh tenaga dan jiwa! Bagi capai vibe rock yang agresif!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Pemenang tempat ketiga program realiti, 'Calpis Soda One In A Million' (CSOIAM), Hazimi Kamal atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Jimi mengakui perlu menggandakan tenaga dan fokus dalam rakaman vokal single terbaharunya, "Selingkuh", untuk mencapai vibe rock yang agresif. 



Walaupun proses rakaman hanya memakan masa sekitar empat ke lima jam, Jimi menjelaskan cabaran terbesar adalah mengimbangi tuntutan genre rock dan identiti vokalnya sendiri. 

Menurut Jimi, diberi peluang untuk menyanyikan lagu tersebut adalah satu penghormatan besar. Beliau mengakui telah mencurahkan "sepenuh tenaga dan jiwa" untuk setiap notanya.

“Saya telah bagi sepenuh tenaga dan jiwa untuk setiap notanya. Lagu ini bukan sekadar tentang kecurangan, tapi tentang kejujuran terhadap diri sendiri bila seseorang sedar bahawa terus bertahan hanya akan menyakitkan,” katanya 

Menyampaikan kisah kekecewaan dan kebangkitan dengan jujur tanpa tapis, Jimi mengangkat tema curang dalam perhubungan dan keberanian melepaskan cinta yang penuh kepalsuan.



Lagu yang sarat emosi ini menandakan single kedua Jimi bersama Alternate Records, dan memperlihat evolusi muzik artis itu yang lebih matang dan agresif.

"Selingkuh" merupakan sebuah karya yang dicipta oleh trio handalan, Seow Seng Tack, Ja’a, dan Glowrush. 

Lagu ini membawa pendengar menelusuri perjalanan emosi seseorang yang dikhianati -- bermula daripada kekecewaan yang mendalam sehingga ke titik keputusan untuk bangkit dan memilih ketenangan diri.

Proses rakaman vokal untuk lagu ini disiapkan dalam masa yang singkat, kira-kira empat hingga lima jam. Namun, Jimi mengakui cabaran terbesar adalah mendapatkan 'vibe' rock yang diinginkan tanpa menghilangkan identiti vokalnya sendiri.

“Cabaran terbesar lagu ni ialah nak dapatkan vibe rock tanpa hilangkan identiti saya sendiri. Kali ini saya kena lebih agresif dari segi vokal dan tenaga, tapi tetap kena jaga emosi lagu tersebut,” jelasnya.

Dari sudut penciptaan, komposer Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush menjelaskan bahawa "Selingkuh" lahir daripada keinginan untuk menyampaikan perasaan kecewa dengan jujur dan tanpa tapis.

“Lagu ini keunikannya pada lirik yang tajam dan realistik frasa seperti ‘duit habis kau sapu’ dan ‘hanya dengan selamba’ memberi rasa seolah-olah luahan sebenar dari hati yang terluka,” jelas mereka.


Throwback... wajah Jimi ketika dipentas CSOIAM


Menariknya, proses kreatif lagu ini bermula semasa sambutan Tahun Baharu Cina, dengan penulis lagu dan produser hanya berhubung melalui WhatsApp untuk menyiapkan susunan muzik dan rakaman demo sebelum sesi rakaman vokal akhir bersama Jimi dijalankan.

Menggabungkan genre rock dan elektronik, "Selingkuh" menawarkan pengalaman bunyi yang segar, mengekalkan semangat rock klasik tetapi disuntik dengan elemen elektronik moden yang menjadikannya relevan untuk pendengar tahun 2025. 

Kelainan yang saya nak tonjolkan ialah keberanian untuk keluar dari zon selesa. Mungkin orang belum tahu sisi lain saya yang lebih garang, bersemangat dan penuh live energy,” jelas Jimi lagi.

Bagi Jimi, "Selingkuh" lebih daripada sekadar lagu putus cinta; ia adalah simbol kejujuran, keberanian dan pembebasan diri daripada kepura-puraan. 

“Pendengar patut dengar lagu ni sebab ia bawa rasa yang berbeza dengan lagu sebelum ini. Gabungan tenaga rock dan emosi menjadikannya pengalaman yang jujur dan dekat dengan realiti,” katanya menutup bicara.

Dengan penyampaian vokal bertenaga dan lirik yang jujur, "Selingkuh" dijangka menjadi antara karya paling berani yang pernah dihasilkan oleh Jimi setakat ini. - KitaReporters


9
10
0
13
0
You will be interested