Bintang terkenal Bollywood, Kajol mengakui sesuatu yang mungkin pernah terlintas di fikiran ramai peminat bahawa gandingannya dengan Shah Rukh Khan (SRK) jauh lebih serasi di layar perak berbanding dengan suaminya sendiri, pelakon hebat Ajay Devgan.

Bintang Bollywood Kajol (tengah) lebih serasi bergandingan dengan Shah Rukh Khan (kanan) berlakon dalam filem romantis berbanding suaminya Ajay Devgan (kiri). - Kredit foto : Info Bollywood.
Dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini, Kajol yang diminta memilih antara dua lelaki penting dalam hidupnya, seorang pasangan hidup di dunia nyata, dan seorang lagi sahabat karib.
Tanpa berselindung, pelakon berkarisma itu mengakui bahawa “chemistry” romantiknya bersama SRK tidak dapat disaingi oleh sesiapa, termasuk suaminya sendiri.
“Saya jarang berlakon filem romantik bersama Ajay. Kebanyakan filem saya dengan SRK bergenre cinta. Jadi, secara semula jadi, ‘chemistry’ kami untuk filem romantik lebih kuat,” ujarnya dengan nada tenang tetapi jujur.

Kajol dan Ajay Devgan walaupun suami isteri tetapi tidak sesuai bergandingan dalam filem romantis kerana Ajay lebih menonjol dengan watak serius. - Kredit foto: Kompas.com.
Kenyataan itu mungkin kedengaran berani, namun bagi pencinta filem Hindi sejati, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Kajol dan SRK sudah lama dianggap sebagai pasangan legenda yang membentuk wajah cinta Bollywood sejak era 1990-an.
Gandingan pertama mereka dalam Baazigar pada tahun 1993 menjadi titik mula keajaiban itu. Filem tersebut bukan sekadar kejayaan komersial, tetapi memperkenal keserasian luar biasa antara dua pelakon dengan aura berbeza tetapi saling melengkapi.

Salah satu babak romantik yang dilakonkan oleh SRK dan Kajol berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung. - Kredit foto: Bollywood Bubble.
Kajol tampil bersahaja, manakala SRK penuh intensiti dan gabungan itu meletup di layar perak dan bertitik tokak dari itu sejarah mula tercipta.
Setahun kemudian, mereka kembali bergandingan dalam Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ), filem yang kini dianggap karya agung sinema India. Ia bukan sekadar filem cinta, tetapi juga satu fenomena budaya.
Adegan di stesen kereta api antara SRK dan Kajol menjadi lambang cinta sejati buat jutaan peminat di seluruh dunia dan sehingga ke hari ini, DDLJ masih ditayangkan setiap hari di pawagam Maratha Mandir, Mumbai sebagai bukti kisah cinta abadi yang enggan padam.

Kajol dan SRK antara gandingan terbaik yang pernah dilahirkan dunia Bollywood yang menonjol dalam filem -filem romantis.-Kredit foto: Instagram.
Kejayaan mereka diteruskan dengan Kuch Kuch Hota Hai, sebuah karya yang mengubah landskap cinta Bollywood dengan memperkenal konsep cinta yang lebih moden, lucu dan menyentuh hati.
Beberapa tahun kemudian, mereka sekali lagi menggegarkan layar perak dengan Kabhi Khushi Kabhie Gham sebuah naskhah yang penuh emosi menonjolkan keseimbangan antara cinta, keluarga dan pengorbanan.
Setiap kali mereka digandingkan, penonton tahu mereka bakal menyaksikan sesuatu yang magis, bukan sejadar lakonan dibuat-buat sebaliknya keserasian yang terasa tulen dan hidup.

Aura Kajol dan Shah Rukh Khan sentiasa menghasilkan filem yang memenangi anugerah dan kutipan pecah panggung.- Kredit foto:India express.
Malah dalam My Name Is Khan, gandingan itu melangkaui sempadan cinta romantik, membawa mesej kemanusiaan dan empati yang menggugah perasaan. Filem itu membuktikan bahawa SRK dan Kajol bukan sekadar pasangan pelakon, tetapi simbol kekuatan jiwa manusia.
Kali terakhir mereka disatukan ialah dalam Dilwale pada tahun 2015. Walaupun filem itu tidak mencapai impak sehebat karya terdahulu, kehadiran mereka tetap memancarkan aura nostalgia yang sukar ditandingi.
Enam filem mereka bersama mencatatkan kejayaan besar bukan sahaja dari segi kutipan pecah panggung, tetapi juga pengiktirafan di pelbagai majlis anugerah berprestij.
Ia menjadi bukti bahawa keserasian mereka di layar perak bukan kebetulan, tetapi hasil hubungan profesional yang tulen dan saling memahami tanpa perlu banyak bicara.

Suami isteri bintang Bollywood Kajol dan Ajay yang sering melakonkan watak yang berlainan .- Kredit foto: Matamata.com.
Sementara Ajay Devgan terus mengukuhkan nama dalam genre aksi dan drama berat, SRK kekal sebagai “raja cinta” Bollywood, sekurang-kurangnya di hati Kajol dan para peminat yang membesar menyaksikan keindahan cinta mereka di layar perak.
Dan di tengah-tengah dunia hiburan yang sentiasa berubah, satu perkara kekal benar, apabila Kajol dan SRK berdiri di hadapan kamera, masa seakan berhenti, dunia seolah-olah memberi ruang hanya untuk dua insan itu, dan cinta tiba-tiba terasa nyata. - KitaReporters

Kajol dan Shah Rukh Khan gandingan wajah cinta Bollywood sejak mula digandingkan pada tahun 1990an.-Kredit foto: Gempak.com.