Dalam banyak lagu Melayu dicipta dan dinyanyikan, jika ditanya pengikut lagu tempatan, lagu apakah yang kini tular. Ramai akan menyatakan ia adalah lagu ‘Justice for Zara Qairina’.
Lagu ‘Justice For Zara‘ ciptaan melodi dan lirik Norsalim Ali yang dicipta secara suka-suka itu tular dalam pelbagai platform media sosial sebagai tanda solidariti terhadap kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah.

Rata-rata pengguna media sosial menggunakan karya yang disulam elemen rap itu sebagai muzik latar dalam setiap hantaran berkaitan Allahyarham, yang dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai 2025.
Lagu itu menyerlahkan maksud mendalam seperti pengorbanan, kemarahan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap kematian tragis Allahyarham Zara yang ketika ini masih menjalani siasatan bagi mencari jawapan sebenar mengenai situasi sebenar yang berlaku.
Liriknya juga menyeru agar suara masyarakat tidak disenyapkan, sebaliknya menuntut kebenaran ditegakkan.
/
Tularnya lagu itu membuat segmen Bekpes Hot, Hot FM membuat interbiu melalui panggilan video pada Isnin 11 Ogos 2025.
Dalam temu bual itu Norsalim menyatakan ideanya tercetus setelah melihat kes buli banyak berlaku dalam negara dan kes yang berlaku kepada Zara Qairina agak berlainan.
Dan ketika ditanya oleh AG apa mesej terkuat dalam mencipta lagu itu, jawab Norsalim ‘hapuskan buli di Malaysia’.
Siapa Norsalim Ali? Dia adalah seorang warga tua berusia 62, punya 6 anak dan 10 cucu berasal dari Batang Melaka, Jasin, Melaka. Bekas kakitangan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dengan tugas terakhir di stesen KTMB Segamat, Johor.Walaupun sudah menjadi warga emas namun Norsalim berminat dengan dunia teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) yang turut diguna dalam mencipta lagu.
Norsalim sebelum ini pernah menghasilkan lebih 30 lagu melodi dan lirik. Lagu-lagu itu boleh diikuti dalam laman Instagramnya @norsalimali.

Antaranya lagu ‘Wajah Tak Berdosa’,‘Rasuah Racun Negara’, ‘Tak Rela Tanpamu’, ‘Disisi Rakyat’, ‘Setitik Cahaya Di Ujung Jalan’, ‘Jom Ke Rumah Allah’, ‘Serikandi Palestin’, ‘Bangkit Dari Luka’, ‘Warisan Yang Terjual’, ‘Zubaidah Bangkit’, ‘Cinta Alam, Cinta Kita’, ‘Sekejap Di Rumah Allah’, ‘Takdir Bukan Akhir’, ‘Ilmu Bintangku’, dan ’Jangan Pandang Sebelah Mata’.
Lagu-lagu lain ciptaan Norsalim ialah ‘Di sebalik Nafas Terakhir’, ‘Cinta Bersih, Jiwa Suci’, ‘Senandung Kampungku’, ‘Darah Kami, Tanah Kami’, ‘Jangan Asyik Telefon’, ’Cinta Tak Terpadam, ‘Dunia Menutup Mata’, ‘Seruan Terakhir Ke Barzah’, ‘Cinta Yang Menunduk’, ‘Wangi Dari Syurga’, ‘Di Balik Hujan, Terbit Pelangi’, ‘Bintang Kecil Dihatiku’, ‘Langkah Hijrah, Cahaya Jiwa’, ‘Cinta Alam Kita’, ‘Kepulangan Kasih’, ‘Takdir Yang Terindah’.