Perlis kembali berduka pada 6 September 2025 lalu dengan pemergian seorang lagi tokoh sukan negeri ke negeri abadi pada usia ke-85. Allahyarham Aziz “Pak Chan” yang pernah mengharumkan nama negeri dalam sukan tenis.

Anak panah menunjukkan Allahyarham Aziz "Pak Chan".

Kehilangan beliau (malangnya nama penuh Allahyarham tidak diketahui atau disimpan sebagai rekod) membuka semula persoalan tentang bagaimana jasa legenda sukan negeri ini diingati serta dihargai masyarakat.
Aziz “Pak Chan” bukanlah satu-satunya nama yang membawa sinar buat Perlis.
Negeri ini pernah kehilangan pemain bola sepak kebangsaan era Olimpik Munich 1972, Allahyarham Syed Ahmad Syed Abu Bakar (meninggal dunia 1 Jun 2022) yang terkenal sebagai penyerang berbisa.
Selain itu, tokoh sukan trek dan padang seperti Cikgu Mustaffa Ibrahim turut banyak menabur jasa dalam dunia pendidikan jasmani, manakala Saidin Osman dan Bakri Ibni juga tercatat sebagai antara individu yang menjulang nama Perlis di pentas sukan tanah air.
Semua tokoh ini sepatutnya dikenang dan didokumentasikan sebagai sebahagian daripada sejarah negeri dan negara.


Antara keratan akhbar pencapaian anak Perlis.
Pada masa sama, bintang muda Perlis kini diraikan dengan pelbagai penghargaan dan insentif.
Antara yang menerima pengiktirafan baru-baru ini ialah Datuk Abdul Latif Romly yang memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 di Sukan Para Asia Hangzhou, Anis Amira Rosdi yang meraih gangsa berbasikal, Jariah Zakaria yang membawa pulang gangsa boling padang kategori B7, serta Noor Imanina Idris yang meraih gangsa dalam acara lontar peluru wanita F20.
Mereka menerima sijil penghargaan dan insentif kemenangan tambahan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Perlis.

Situasi ini menunjukkan perhatian negeri kepada atlet muda yang masih aktif sememangnya wujud. Namun, dalam masa yang sama, wira-wira lama seolah-olah tenggelam dalam ingatan masyarakat, sehingga nama penuh mereka pun tiada dalam rekod.
Pemerhati sukan berpendapat keadaan ini menimbulkan persoalan mengapa penghargaan hanya diberikan kepada yang segar di pentas kejohanan, sedangkan jasa tokoh lama seakan terhenti sebaik sahaja mereka menamatkan karier.
Menghargai jasa atlet bukan tanggungjawab seorang individu atau pentadbiran semata-mata. Ia memerlukan kerjasama berterusan antara kepimpinan negeri, persatuan sukan, pihak berwajib, komuniti dan juga media.
Antara cadangan yang boleh direalisasikan ialah program mingguan radio negeri yang menampilkan tokoh sukan lama mengikut jenis sukan, sebagai medium untuk mendokumentasi pengalaman, pahit getir serta pengorbanan mereka yang pernah mengangkat nama Perlis.

Selain itu, tokoh sukan trek dan padang seperti Cikgu Mustaffa Ibrahim turut banyak menabur jasa dalam dunia pendidikan jasmani.
Sudah tiba masanya tokoh-tokoh sukan Perlis diangkat dan diabadikan sebagai personaliti sejarah arkib negeri serta negara agar kisah perjuangan mereka menjadi bahan rujukan generasi akan datang.
Perlis wajar mempunyai sebuah pusat atau gedung sejarah sukan yang menghimpunkan nama besar, kisah pencapaian dan gambar mereka.
Usaha ini boleh diterjemahkan dalam bentuk hall of fame (dewan masyhur), arkib digital atau anugerah tahunan khusus untuk menghargai atlet veteran.
Pemergian Allahyarham Aziz “Pak Chan” wajar dijadikan titik tolak kesedaran bersama. Legenda sukan tidak sepatutnya dikenang hanya selepas mereka tiada.
Mereka sewajarnya diabadikan semasa hayat masih ada kerana mereka adalah sebahagian daripada maruah dan identiti negeri Perlis yang tidak boleh dilupakan. - KitaReporters