Pemain India, Ishnidh Singh Virdi dan pemain Jepun, Akane Motomura muncul juara keseluruhan bagi kategori lelaki dan wanita Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Kedah Tourism (KTIJG) 2025 yang telah diadakan selama tiga hari mulai 23 hingga 25 September 2025.
Manakala Muhammad Danish Muhammad Rizal dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berjaya meraih tempat kedua dengan 218 pukulan setelah ditewaskan oleh Virdi dengan 211 pukulan.
Bagi kategori wanita pula, Motomura menguasai pertandingan dengan 210 pukulan dengan meninggalkan rakan senegaranya Miyumi Teramachi dengan 214 pukulan.
Kejohanan yang diadakan di Kelab Golf Sultan Sallehuddin, UUM disertai oleh 70 pemain muda dari 18 buah negara dan merupakan persaingan berprestij.

Selain Malaysia, Jepun dan India, kejohanan itu turut disertai pemain dari Amerika Syarikat, Arab Saudi, Pakistan, Iran, Indonesia, Kazakhstan serta pemain berbakat negara dari UUM dan kontinjen Sukma Kedah.
Penyertaan dari pelbagai negara membuktikan kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform diplomasi sukan tetapi juga menjadi medan persaingan bakat yang amat berharga.
Selain dapat menimba pengalaman apakala bersaing dengan pemain junior dunia, ia juga mampu membangunkan bakat sukan golf sehingga ke peringkat international. - KitaReporters
