Dalam pertandingan Dangdut Academy Asia (DAA) musim 6 anjuran stesen TV Indosiar yang berakhir pada Selasa, 5 September 2023, Indonesia tetap menjadi juara melalui Melly Lee,19.
Namun Melly yang nama asalnya Meli Nuryani, 19, yang merupakan juara Liga Dangdut Indonesia (LIDA) 3 (2020) menerima saingat sengit daripada dua peserta Filipina iaitu Lovely Ann dan Kier Kin.
Sebagai juara Melly menerima hadiah Rp200 juta (sekitar RM60,000), Lovely Rp100 juta (RM30,000) dan Kier King Rp50 juta (RM15,000).
Dan sebagai penghargaan persembahan hebat ketiga-tiga peserta pada peringkat akhir, pihak pengurusan Indosiar bersetuju memberi hadiah tambahan iaitu Rp50 juta setiap peserta.
Dalam usaha Indonesia untuk memperkembang muzik dangdut ke luar negara melalui pertandingan, Indosiar memperkenal DAA bermula 2015.
Sehingga musim 4, jumlah negara hanya enam buah iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand dan Timor Leste mengambil bahagian.
Namun sejak musim 5, Filipina diundang dan mulai musim ke-6, Turkiye pula mengambil bahagian menjadikan 8 negara bertanding.
Setiap negara mengirim 5 peserta menjadikan 40 orang bertanding dalam peringkat awal.
Filipina yang muncul buat pertama kali dalam DAA musim ke-5 (DAA5) berjaya menduduki tempat ketiga melalui Hannah Pricillas.
Persembahan Filipina semakin baik dalam DAA6 dengan dua peserta berjaya melangkah ke peringkat akhir (grand final) dan menduduki tempat kedua dan ketiga.
Berdasarkan kesungguhan mereka untuk memperbaiki persembahan baik dari segi vokal, cara nyanyian dan sebutan, bukan mustahil bagi DAA akan datang peserta Filipina akan muncul juara.
Berdasarkan perancangan Indosiar, jumlah negara peserta akan terus ditambah setiap tahun.
Melihat persembahan peserta DAA6, terdapat peningkatan persembahan peserta beberapa negara seperti Brunei Darussalam, Timor Leste dan Thailand, juga Turkiye.
Ia merupakan cabaran besar bagi Malaysia untuk menghantar peserta yang lebih mencabar dalam DAA akan datang.
Suasana gembira dan haru selepas pengumuman pemenang DAA6
Langkah pencarian peserta untuk DAA akan datang perlu dilaku dari sekarang. Kita harap kegagalan ‘teruk’ Malaysia dalam DAA6 menjadi pengajaran. Daripada lima peserta dihantar, cuma Hazman Senjaya mampu berada di tangga ketujuh.
Pencarian peserta perlu dilaku lebih awal dan diberi latihan secukupnya untuk bersaing.
Kita mahu kejayaan peserta Malaysia seperti dalam DAA musim 1 hingga 4. Malaysia pernah menduduki tempat ketiga dalam DAA1 melalui Shiha Zikir. - KitaReporters