Seni & Sukan 24 Jun, 2021

Terbaiklah warga Taman Danau Kota! Wujudkan gerobok makanan! Barang makanan bagi yang memerlukan

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Antara penerima agihan barangan Gerobok Makanan Danau Kota yang mengambil barangan mereka di kabin taman permainan kanak-kanak.


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) secara tidak langsung telah menjejaskan sektor ekonomi. Akibatnya ada industri atau perniagaan ditutup, yang seterusnya mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan dan sumber rezeki.

Atas kesedaran ini, sekumpulan penduduk Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur mengambil inisiatif mewujudkan ‘Gerobok Makanan Danau Kota’, khusus untuk menyumbang barang makanan kepada mereka yang memerlukan, termasuk yang terjejas dengan pandemik Covid-19.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bank makanan


JAMALUDDIN HAMID (kanan) menyerahkan barangan makanan kepada penerima di pusat gerobok makanan di kabin taman permainan Danau Kota.


JAMALDUDDIN HAMID


Pusat pengagihan ini terletak di kabin taman permainan kanak-kanak dan mula beroperasi pada Sabtu 19  Jun 2021. Kabin ini merupakan pusat kegiatan penduduk dan venue majlis atau aktiviti tertentu, selain  tempat berehat dan beriadah.

Di sinilah penduduk bersantai atau bermain pingpong pada hari-hari biasa. Pada bulan puasa 2021 lepas diadakan gotong royong memasak bubur lambuk di kabin ini. Sebelum PKP, sambutan hari raya dan ulang tahun kemerdekaan juga diadakan di kabin berkenaan.

‘Gerobok Makanan Danau Kota’ dicetus dan digerakkan oleh Jamaluddin Hamid, seorang pesara polis. 

Baginya walaupun sudah tidak berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau tetap aktif menyumbangkan jasa bakti kepada orang ramai. Jika dahulu mencurah bakti sebagai anggota pasukan keselamatan, kini untuk penduduk setempat.


STOK beras di pusat Gerobok Makanan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, sedia untuk diagih.


Jamaluddin mendapat sokongan padu daripada rakan-rakan penggerak lain, seperti Isyam Ismail dan Guli Tahir. 

Juga sokongan kuat daripada ‘Bubur Lambuk Team’. Pasukan ini yang memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk pada Ramadan 2021 lalu. 

Tenaga di sebalik pasukan inilah yang mengendalikan bekalan untuk gerobok makanan dan mengagih kepada orang ramai.

Pada peringkat awal, tenaga penggerak ini menghulurkan sumbangan untuk setok makanan yang diagih kepada orang ramai. 

Kini sumbangan mula diterima daripada penduduk taman. Ada yang menyumbang barangan seperti beras dan lain-lain, ada yang menyumbang wang tunai. Mereka menyokong usaha murni ini. 


GULI TAHIR


Menurut Guli Tahir, kewujudan gerobok makanan ini atas rasa insaf terhadap nasib rakan-rakan yang kehilangan punca pendapatan tetapi malu menzahirkan kesusahan mereka.

Dengan adanya gerobok ini, mereka yang memerlukan dibenar mengambil barang menurut keperluan masing-masing. 

Konsepnya adalah terbuka. Datang dan ambil. Cuma prinsipnya ambillah sekadar diperlukan dan beri peluang orang lain sama-sama merasa agihan.

Gerobok ini diurus dan dikendalikan oleh rakan-rakan kabin, iaitu mereka yang sering terlibat dalam aktiviti di kabin. 

Tidak perlu pembantu kerana barangan dipilih dan diambil sendiri oleh yang memerlukan. Namun pemantauan dilakukan demi mamastikan kelancaran.  

Antara barang yang disediakan di kabin berkenaan ialah beras, minyak masak, telur, tepung gandum, sardin, kicap, garam, gula, bawang, serbuk teh, bihun, mi segera dan biskut

Memandangkan program ini berterusan, sumbangan daripada orang ramai dialu-alukan sama ada dalam bentuk barang-barang atau wang ringgit. 


Penduduk Danau Kota, Raja (baju kuning) menyerah bantuan 100 kampit beras lima kilogram kepada Isyam Ismail di Gerobok Makanan Danau Kota. Di kiri, Setiausaha Persatuan Penduduk 2/23B, Abdullah Othman.


Sejak bermula, banyak barangan telah diagihkan kepada penerima. Sehingga ini banyak keluarga telah menerima sumbangan, kebanyakannya penghuni flat Danau Kota.  

Sumbangan berterusan diperlukan untuk program ini sekurang-kurangnya sehingga tempoh PKP berakhir, tertakluk kepada permohonan dan stok yang ada.

Mereka yang ingin menyumbang boleh datang sendiri menghantar barangan sumbangan atau wang ke kabin dan bertemu dengan penyelaras gerobok makanan. 

Yang ingin menyumbang melalui bank juga  boleh menyalurkan ke Akaun Persatuan Penduduk Taman Danau Kota23B, Bank Muammalat nombor akaun 1403000661771.

Lagi banyak sumbangan diterima, lagi banyak boleh diagih dan lebih ramai mendapat agihan. Mereka yang ingin memberi sumbangan boleh menyerahkannya ke kabin pada bila-bila masa antara pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun mereka yang memerlukan bantuan hanya boleh datang ke kabin pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu sahaja dari pukul 10 pagi hingga 5 petang. Ambillah barang-barang sekadar menurut keperluan masing-masing. Rezeki wajar dikongsi agar berkat. - KitaReporters


Telur, teh, kicap antara barangan di Gerobok Makanan Danau Kota.

 

Ends.

 

 

  

 

 

5
1
0
0
1
You will be interested