MASING-MASING sudah tidak sanggup lagi berada dalam keadaan sering diperketatkan kawalan pergerakan disebabkan pandemik Covid-19 ini.
Justeru ia mendorong banyak pihak yang sedar dan berasa bertanggungjawab untuk tampil membantu jentera Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam membentuk imuniti kelompok secepat mungkin.
Pelbagai pihak bertanggungjawab dan agensi kerajaan serta pihak bukan kerajaan telah menganjurkan program-program berterusan untuk memberi vaksin kepada kumpulan sasaran mereka sendiri.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jempol
Baru-baru ini Program Vaksinasi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan terdiri dari para pekebun kecil telah mendapat sambutan menggalakkan sehingga menarik minat liputan media tanah air.
Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Lonek dan Kampung Bukit Gombang, dalam daerah Jempol, Negeri Sembilan.
Program yang menggunakan hampir keseluruhan fasiliti dan tenaga kerja Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kecuali kepakaran jururawat dan pegawai perubatan untuk proses mencucuk vaksin itu telah dijalankan di kawasan pedalaman dan target penduduk untuk divaksinasi adalah mereka yang sudah lanjut usia, kurang mampu bergerak dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Mohd Shariff memberitahu, beliau terpanggil untuk menggerakkan jentera, fasiliti dan tenaga kerja RISDA semaksimum yang boleh dalam membantu program vaksinasi ini kerana sudah ramai dalam kalangan penduduk luar bandar yang sedar akan kepentingan berbuat demikian.
"Masyarakat mulai sedar akan kepentingan Pengambilan Vaksin bagi menguatkan sistem imun badan terhadap virus covid 19. Segala usaha dalam menyakinkan masyarakat tentang pentingnya pengambilan vaksin telah memberi impak yang besar kepada peningkatan peratusan penerima vaksin," katanya dalam akaun Facebook beliau.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol akan terus memberi sokongan terhadap program vaksinasi ini khususnya dalam kalangan para pekebun kecil.
"Semua jentera digerakkan dalam memastikan setiap golongan sasar mendapat suntikan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak RISDA yang bersedia bekerjasama dalam mengerakkan aset-aset yang ada Dalam memastikan pekebun kecil RISDA dalam Daerah Jempol mendapat suntikan Vaksinasi," katanya.
Semasa program tersebut, RISDA menggunakan logistik mereka sendiri untuk menjemput penduduk luar bandar khususnya para pekebun kecil di Jempol untuk hadir menerima suntikan.
Bagi pekebun kecil atau penduduk yang tidak mampu bergerak ke premis RISDA tersebut, pasukan KKM dengan dibantu oleh staf RISDA akan turun ke rumah mereka yang berkenaan.
Usaha sebegini dilihat cukup berkesan dan mampu mempercepatkan usaha kita membentuk imuniti kelompok. Seharusnya setiap agensi kerajaan menggerakkan inisiatif sendiri untuk bekerjasama dengan KKM dalam tujuan membentuk 'imuniti kelompok kecil' di dalam kumpulan sasaran mereka sendiri, sebelum imuniti kelompok secara menyeluruh di seluruh Malaysia dapat dicapai segera. - KitaReporters