Seni & Sukan 08 Dec, 2020

Musim cuti sekolah dah tiba! Musim berkhatan pun mula! Lari!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

MENERUSI  ajaran Islam, berkhatan atau khitan merupakan perkara sunat kerana ia dapat memulihara kebersihan.

Meskipun tiada nas dalam al-Quran disebut dengan jelas mewajibkan anak lelaki berkhatan, namun para ulama khususnya Mazhab Shafie menetapkan amalan ini sebagai suatu kemestian bagi umat Islam. : KitaReporters

Ahmad Nazlan Idris (tengah) beramah mesra dan memberikan motivasi lapan orang kanak-kanak sebelum majlis berkhatan di surau Taman Ria, Jerantut pada 5 Disember 2020. 


Bagi umat Islam di Malaysia, musim berkhatan seringkali dikaitkan dengan cuti persekolahan kerana mereka dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

Pada waktu itu juga, kelaziman bagi kebanyakan kanak-kanak lelaki Islam yang berusia tujuh tahun ke atas berkhatan bagi menyempurnakan amalan dalam Islam termasuk mewarnai tradisi orang Melayu sejak dahulu.

Berasaskan kebenaran ini, seramai lapan orang kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun di Taman Ria, Jerantut telah mula melangkah gerbang alam dewasa apabila mereka berkhatan pada 5 Disember 2020.

Majlis berkhatan berkenaan merupakan anjuran Jawatankuasa Penduduk dan Surau Taman Ria, Jerantut menyaksikan kehadiran Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris menyantuni kanak-kanak yang akan berkhatan serta ibu bapa masing-masing.


Ahmad Nazlan Idris (kanan) sedang melihat seorang kanak-kanak berusia lima tahun sedang 'dikhatankan' di surau Taman Ria, Jerantut pada 5 Disember 2020.


Senario sebelum majlis bermula, memperlihat pelbagai ragam dan reaksi dalam kalangan seramai lapan orang kanak-kanak yang berkhatan, iaitu ada yang menunjukkan mimik muka rasa takut, bersahaja malahan ada yang teruja bakal menjalani 'peristiwa' bersejarah sekali seumur hidup.

Penyelaras majlis berkhatan Taman Ria, Mohamad Saufi Ahmad Kawi, 58, berkata, majlis berkhatan itu merupakan kali pertama anjuran jawatankuasa berkenaan berasaskan kesepakatan ibu bapa untuk mengadakan majlis tersebut di taman itu.

"Kita mengadakan majlis ini di sini (Taman Ria) untuk memudahkan ibu bapa sempena musim cuti persekolahan lagipun kita masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19 kerana mengutamakan penjagaan keselamatan tanpa perlu keluar ke hospital atau klinik di bandar.

"Tugas berkhatan kanak-kanak ini disempurnakan oleh dua orang pembantu kesihatan (perubatan) Jabatan Kesihatan serta dibantu oleh jawatankuasa penduduk di sini," katanya di Taman Ria, Jerantut.

Mohamad Saufi berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit bersyukur dan berterima kasih kerana Ahli Parlimen Jerantut (Ahmad Nazlan) turut menyumbangkan bantuan kewangan bagi perbelanjaan berkhatan dan jamuan ringan.

"Terima kasih kepada Ahli Parlimen kerana sumbangan berkenaan dapat meringankan sedikit beban ibu bapa kanak-kanak ini memandangkan belanja berkhatan agak tinggi dikenakan di pusat rawatan atau klinik luar," katanya. 

AHMAD NAZLAN IDRIS


Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, program berkhatan beramai-ramai merupakan tradisi yang tidak dilupakan berasaskan gabungan konsep moden dan tradisional bagi mendidik kanak-kanak mengenai kebersihan diri dan kesihatan berasaskan ajaran Islam.

"Majlis ini mampu meneruskan amalan baik generasi terdahulu bukanlah sekadar memenuhi tuntutan agama, tetapi mengembangkan syiar Islam melalui hubungan silaturahim.

"Penganjuran program berkhatan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti khidmat masyarakat bagi meringankan beban ibu bapa terutama mereka yang kurang berkemampuan," ujarnya. - KitaReporters


Ahmad Nazlan Idris (belakang, lima dari kanan) bersama ahli jawatankuasa majlis berkhatan, penjaga dan kanak-kanak yang berkhatan hadapan surau Taman Ria, Jerantut pada 5 Disember 2020. 

0
0
0
0
0
You will be interested