Seni & Sukan 26 Dec, 2021

Video| Siti: Are You Ready? Filem dokumentari Siti Nurhaliza! Momen konsert jelajah 3 negara!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


LEBIH 23 tahun penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengabadikan jiwa dan raganya kepada seni hiburan, namun apabila berdepan konsert berskala besar pelantun lagu ‘Aku Bidadari Syurgamu ’ ini mengakui tetap rasa berdebar dan gementar seterusnya berbisik ‘Siti, Sudah Bersedia ke?’.

Bisikan dari hatinya itulah yang menjadi judul filem dokumentari, “Siti: Are You Ready?’ yang boleh disaksikan melalui pawagam di rumah anda iaitu di saluran 480, Astro First bermula 30 Disember 2021 ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Siti Nurhaliza



Siti: Are You Ready?” merupakan sebuah filem dokumentari berdurasi 80 minit yang menampilkan detik di atas dan di belakang pentas, persembahan langsung serta “Untold Story” sepanjang jelajah Konsert "Dato Sri Siti Nurhaliza on Tour" di tiga buah negara iaitu Indonesia (Jakarta), Singapura dan Malaysia (Kuala Lumpur). 

“Selepas dua tahun industri terhenti, Alhamdullilah kini baharulah saya dapat menonton kembali perjuangan diri sendiri apabila akhirnya ‘Siti: Are You Ready?’ siap sepenuhnya dan dapat ditonton oleh khalayak ramai sebagai menutup tirai tahunan 2021 yang penuh dugaan ini,” ujar Siti Nurhaliza.

Beliau yang mesra disapa 'Tok Ti' berkata demikian sewaktu  sidang akhbar selesai majlis pratonton filem tersebut di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada 22 Disember 2021.

Turut hadir Pengarah Eksekutif  Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Abdul Karim bersama dua pengarah muda filem tersebut, M. Azhar Rot dan Anz Izwan


Siti Nurhaliza ditemu ramah pada acara karpet merah.


Bercerita lanjut, kata Tok Ti filem terbitan Shiraz Projects bersama Siti Nurhaliza Productions itu berkisar tentang pahit manis yang diharunginya secara langsung sepanjang merancang Konsert Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour ke tiga buah negara berkenaan.

“Apa yang anda lihat bukannya lakonan tetapi peristiwa sebenar yang saya lalui sehingga timbul perasaan risau dan marah apabila konsert di Jakarta hampir-hampir terbatal sedangkan kami seluruh anggota produksi sudah lama bersiap sedia dan menjalani latihan,” ujar Siti.

Melalui filem tersebut juga peminat dapat menonton Siti Nurhaliza bercakap dalam nada tinggi sambil menahan kemarahannya setelah mendapat tahu kemungkinan konsert di Jakarta terpaksa dibatalkan oleh Shiraz Projects yang menjadi penggerak utama ketiga-tiga konsert tersebut.


SHIRAZDEEN ABDUL KARIM


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Abdul Karim mengakui memang berlaku indisen berkenaan apabila jualan tiket tidak memberangsangkan pada awalnya dan jika diteruskan akan mengalami kerugian besar.

Menurutnya, apa yang diharapkan tidak menjadi pada saat-saat akhir sehinggalah beliau terdesak untuk mengambil keputusan membatalkan sahaja konsert tersebut.

Ibarat 'ditelan mati emak, diluah mati bapa', begitulah yang dapat disimpulkan oleh penulis pada adegan mencemaskan  pada wajah buntu Shirazdeen ketika pratonton filem dokumentari berkenaan.

Walaupun ada adegan yang kadangkala membuatkan penulis rasa terkeliru apabila kontinuiti filem ini tidak konsisten, namun difahami waima menurut pengarahnya filem ini terpaksa dipadatkan kepada tayangan 80 minit sahaja daripada keseluruhan penggambaran sepanjang 72 jam.

Wow! Memang banyak yang perlu disunting seperti mana akui Siti, ada beberapa adegan terpaksa dipotong.




Begitupun, gabungan rakaman tiga destinasi difilemkan di hadapan sekitar 20,000 para peminat sepanjang konsert jelajah di tiga buah negara pada 2019 itu dianggap Siti sebuah memori indah yang akan disimpan sebagai kenangan terindah.

Apatah lagi itu merupakan konsert pertama berskala besar setelah melahirkan cahaya mata sulungnya, Siti Aafiyah yang turut dibawa bersamanya ke konsert kecuali di Jakarta.

“Memang berat hati nak meninggalkan Aafiyah bila ke Jakarta tetapi kenangkan ia untuk satu malam sahaja, tidak apalah saya hanya memantau keadaannya melalui video live,” ujar Siti dalam salah satu adegan filem tersebut.



Pendek kata, ‘Siti: Are You Ready?’, merupakan filem dokumentari  yang mengangkat sudut pandang seorang isteri, ibu dan penyanyi dalam kehidupan seharian serta memaparkan perjuangan beliau 'berlawan' dengan diri sendiri serta kebimbangan yang dilaluinya menuju ke hari konsert. 

Segala pengalaman dengan para peminat dan rombongan konsert jelajah ini dikongsi bersama dari sekecil-kecil persediaan sehinggalah sebesar apresiasi peminat dan pecinta seni, semua dipaparkan dalam durasi 80 minit sahaja,

Tentu peminat Sitizoners tidak sabar menontonnya kan? 

Tunggu sahajalah tarikh keramat itu pada 30 Disember 2021 ini di Astro First serta On Demand atau Astro Go  yang mana dengan hanya RM19.90 anda boeh menontonnya selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Malah bagi mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei boleh melanggan dalam platform Vimeo on Demand bermula tarikh sama dengan harga USD$4.99. Anda sudah bersedia? - KitaReporters


10
7
0
21
0
You will be interested