Seni & Sukan 04 Dec, 2021

Covid-19: Terengganu catat 768 kes kematian! 77.5% (595) kes babitkan individu tidak divaksin!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

GAMBAR hiasan... Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membawa jenazah mangsa Covid-19 untuk pengebumian. 


TERENGGANU merekodkan 595 kes kematian berpunca daripada Covid-19 membabitkan individu-individu yang tidak pernah divaksin.

Pengarah  Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata jumlah berkenaan merupakan 77.5 peratus daripada 768 kematian secara keseluruhan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Terengganu


Dr Kasemani Embong


Katanya, kematian Covid-19 di negeri tersebut membabitkan 343 orang (45.0 peratus) adalah dalam kalangan wanita dan 425 (55.0 peratus) lelaki.

"Peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu berusia 60 hingga 69 tahun yang merekodkan sebanyak 25.3 peratus, diikuti individu usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus),” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bertarikh 2 Disember 2021. 




Tambahnya, daripada jumlah kematian berkenaan sebanyak 85.7 peratus (658 orang) mempunyai faktor komorbid. 

“Antara faktor penyebab peningkatan kematian ini adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (dua penyakit dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit dalam kalangan mereka yang berumur melebihi 50 tahun.

"Mereka yang berumur 50 tahun lebih berisiko untuk mempunyai imuniti berkurangan kerana sebahagian besar dalam kalangan mereka telah mendapat vaksin lebih awal.

"Majoriti yang telah lengkap vaksinasi dalam kalangan pesakit dimasukkan ke ICU dan dan meninggal belum mendapatkan suntikan vaksin penggalak," ujarnya.



Dalam perkembangan sama katanya, seramai 31,397 individu telah menerima suntikan dos penggalak, namun jumlah itu amat rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain

Katanya, bagi meningkatkan pencapaian suntikan dos penggalak JKNT melaksanakan beberapa strategi iaitu meningkatkan kapasiti fasiliti swasta.

Selain itu, pihaknya akan mengaktifkan semula semua klinik kesihatan dan hospital terlibat sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta melaksanakan suntikan vaksin secara jangkau luar kepada anggota barisan hadapan bukan KKM.

Beliau berkata, bagi individu yang layak untuk menerima suntikan dos penggalak, individu disarankan untuk mendapatkan suntikan di fasiliti kesihatan KKM dan swasta yang menjadi PPV.

“JKNT ingin menasihatkan kepada yang mempunyai ibu bapa atau saudara-mara yang berusia 50 tahun dan ke atas supaya segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak,” ujarnya. - KitaReporters


12
8
1
10
0
You will be interested