Seni & Sukan 02 Nov, 2020

Superman kena tahan? Aksi berbahaya: 5 pemuda ditahan polis!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

AKSI sekumpulan remaja lelaki yang mempamerkan lagak `Superman’ dengan melunjurkan kedua-dua kaki mereka ke belakang serta mengangkat tayar hadapan sambil menunggang motosikal menerima padah apabila lima daripada kumpulan itu ditahan oleh polis Setiu dalam Operasi Ops Samseng Jalanan di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, Terengganu pada hari Jumaat, 30 Oktober 2020. : KitaReporters


JALAN raya yang digunakan oleh kumpulan lelaki dengan aksi Superman serta mengangkat tayar hadapan motosikal mereka di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, Terengganu pada 30 Oktober 2020.


Lagi cerita-cerita berkaitan motosikal:

https://kitareporters.com/search?search=motosikal


Operasi tersebut yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Terengganu disertai lapan anggota termasuk seorang pegawai polis telah menahan lima lelaki terbabit yang berumur 18 tahun hingga 32 tahun.




 



Lima lelaki yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, Terengganu. - Kredit foto: IPD SETIU


Ketika Ops Samseng Jalanan diadakan di Pantai Rhu Sepuluh pada kira-kira pukul 5 petang, 30 Oktober 2020 itu terdapat sekumpulan remaja sedang asyik mengayakan aksi masing-masing semasa menunggang kenderaan mereka di sebatang jalan raya di kawasan pantai itu. 

Melihat kehadiran anggota polis, kumpulan remaja terdiri kira-kira 20 orang yang mulanya leka mempamerkan aksi dengan motosikal mereka, lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri, namun atas kecekapan anggota polis terbabit dapat menahan lima lelaki itu bersama kenderaan mereka.


 


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata kumpulan itu yang melakukan aksi lagak `Superman’ serta mengangkat tayar motosikal bukan sahaja membahayakan diri mereka sahaja.

Tetapi katanya, dengan gaya membawa motosikal sedemikian ia akan turut mengancam keselamatan para pengguna kenderaan lain yang menggunakan jalan raya di tepi Pantai Rhu Sepuluh itu. 

``Lima lelaki terbabit akan didakwa dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara dan denda paling minimum RM5,000. 

``Sepatutnya kumpulan remaja terbabit tidak melakukan perkara seumpama itu kerana ia boleh membahayakan diri mereka serta orang lain dan jika berlaku sesuatu kemalangan akan menyusahkan semua pihak yang terlibat,’’ katanya ketika dihubungi pada petang Ahad, 1 November 2020. 

Pantai Rhu Sepuluh yang menyediakan pelbagai kemudahan asas merupakan salah satu pusat peranginan di daerah Setiu yang sering menjadi tumpuan pengunjung terutama setiap hari minggu.


LAMAN Seri Rhu Sepuluh yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Setiu (MDS) di Pantai Rhu Sepuluh sejak hampir empat tahun lalu.


Lokasi  yang terdapat Laman Seri Rhu 10 itu juga turut dijadikan sebagai kawasan segelintir golongan remaja untuk mampemerkan gaya mereka bermotosikal seperti mengangkat tayar hadapan kemudian menundukkan kepala serta badan sambil melunjurkan kedua-dua belah kaki ke arah belakang. 

Aksi seumpama itu biasanya dapat dilihat pada petang Jumaat dan Sabtu kerana sewaktu itu orang ramai yang berkunjung di pantai itu secara tidak langsung dapat melihat telatah mereka yang hebat serta menarik seandainya perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku keatas diri mereka. 

Affandi memberitahu, sepanjang operasi Ops Samseng Jalanan diadakan pada hari tersebut bermula pukul 3 petang hingga pukul 8 malam, pihaknya turut menahan 15 buah motosikal dan 40 saman dikeluarkan kepada mereka yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya di sekitar daerah itu. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested