Seni & Sukan 03 Oct, 2021

Video| Masya Masyitah tidak berasa 'Remuk'! Impikan lagu-lagunya dapat tembusi pasaran China!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


PADA Julai 2021 lalu, penyanyi muda yang berkebolehan berbahasa Mandarin sehingga meraih gelaran Juara Yippi Star Quest 2020, Masya Masyitah, melahirkan single sulong pertamanya dalam bahasa Mandarin berjudul ‘Jiu Meng Xin Su’.

Kini, selepas 3 bulan, pemilik nama penuh Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff, 21, merakamkan semula lagu berkenaan tetapi dalam bahasa Melayu dengan judul ‘Remuk’.

Persoalannya kenapa memilih lagu sama untuk dinyanyikan dalam Bahasa Melayu?


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Masya Masyitah


“Alhamdullilah, sejak dilancarkan 3 bulan lalu, penerimaan terhadap ’Jiu Meng Xin Su’ membuahkan hasil sehingga ramai yang mahukan Sya menyanyikannya dalam Bahasa Melayu pula,” jawab Masya yang membahasakan dirinya Sya sahaja.

Sehubungan itu, tambah Masya, pihak pengurusan, Rocketfuel Entertainment bersedia merakamkan semula dalam bahasa Melayu dengan judul ‘Remuk’.

Bezanya jika ‘Jiu Meng Xin Su’ mengisahkan tentang percintaan sepasang kekasih yang sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagian masing-masing, ‘Remuk’ pula bercerita  tentang perasaan seorang isteri yang dinikahi suaminya tanpa perasaan cinta.



“Liriknya pada kali ini diolah dengan jalan cerita yang berbeza namun dengan pengakhiran yang menyayat hati oleh penulis lirik terkemuka negara, Siso dengan produser berpengalaman, Sharon Paul,” jelas Masya.

Melalui lagu dalam bahasa Mandarin, malang menimpa apabila teman lelaki pada pasangan bercinta itu terpaksa menyembunyikan penyakit yang dialaminya dan terus berdiam diri sehingga teman wanitanya tertanya-tanya dan mereka berpisah dengan pengakhiran yang menyayat hati.



Manakala dalam ‘Remuk’, sang suami mengahwini isterinya kerana perasaan ego yang menebal dengan tidak mengendahkan perasaan sang  isteri. 

Akan tetapi, sang isteri tetap cuba mendekati sang suami hari demi hari, akhirnya terpaksa akur dan memendam perasaan, ibarat terjerat dalam sangkar emas tanpa sekelumit rasa bahagia.

“Hati Sya terus terpaut apabila mendengar demo lagu asal ditambah dengan jalan ceritanya yang menyentuh hati,” tambah Masya terhadap lagu ciptaan istimewa oleh penulis lirik dan komposer muzik hebat tempatan, Kai Kai yang dihasilkan bersama oleh produser terkenal, Ong Peng Chu dalam genre slow rock.



Menurut Kai Kai, lagu tersebut diciptakan khas buat Masya kerana kebolehannya menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan fasih, manakala Peng Chu mahukan beliau menyanyikannya dengan stail slow rock ala Melayu bagi memberi kelainan terhadap lagu sama.

“Saya berharap single ‘Remuk’ mendapat sambutan ramai sebagaimana single yang terdahulu, dan Sya juga masih berharap jika ada peluang dan rezeki, hasil karya Sya dapat menembusi pasaran negara China pada satu hari nanti,” Masya meluahkan harapannya.

Berkongsi harapan sama, Ketua Label & Penerbitan RocketFuel Entertainment yang baharu, Hudzaifei Hazmi atau lebih popular dengan sapaan Jipie, yakin dengan bakat besar diperoleh penyanyi muda seperti Masya yang berkemampuan menyanyi dalam bahasa Mandarin sehingga mampu mengalahkan 3,000 peserta lain serata Asia untuk menjuarai Yippi Star Quest 2020, impian untuk berkembang maju amat luas.

“Saya berharap single ini diterima ramai dan mendapat sambutan di hati para pendengar tempatan mahu pun luar negara,’ tambah Jipie sambil memberitahu proses rakaman hanya memakan selama satu hari sahaja walau pun negara berdepan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu. - KitaReporters


8
8
0
8
0
You will be interested