Seni & Sukan 03 Oct, 2021

Harimau Malaya hanya 22 pemain! Bukan 24 disenaraikan! Shahrul Nizam MIC? Sharul Nazeem cedera!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KHAIRULAZHAN Khalid (kiri), Rizal Ghazali (16), Aidil Zafuan Radzak (7) dan Guillerme de Paula (9) mengetuai barisan pemain negara menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. - Kredit foto: FAM 


Sharul Nazeem Zulpakar (kiri) dan Shahrul Nizam Ros Hosni


SELALU kita dengar ‘Missing In Action (MIA)’ atau ‘Hilang Semasa Bertugas’ apabila terdapat orang yang ditugaskan sesuatu, lenyap tiba-tiba tanpa sebarang berita! Bagaimana pula dengan ‘Missing In Callup (MIC)’? ‘Hilang Semasa Dipanggil’?

Situasi MIC ini berlaku pada benteng Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hosni apabila dipanggil bagi siri perlawanan bola sepak persahabatan tahap 1 antarabangsa Harimau Malaya.

Bek tengah berusia 23 tahun ini masih tidak dapat dikesan sejak disenaraikan pada 30 September 2021 sebagai pengganti Dion-Johan Cools yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan urat pelipat lutut.

Seorang lagi pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar daripada Selangor FC yang disenaraikan lebih awal pada 23 September 2021 pula digugurkan kerana kecederaan pangkal paha.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya

HANYA Ariff Farhan Md. Isa yang menyahut panggilan pasukan negara manakala Shahrul Nizam Ros Hasni menyepi tanpa berita. - Kredit foto: FAM


“Dua pemain tidak dapat bersama kami. Sharul Nazeem tercedera pangkal paha dan tidak dapat pulih dengan sepenuhnya.

Shahrul Nizam pula masih belum melapor diri biarpun kami cuba mengesan atau mencarinya melalui telefon tetapi tidak berjawab,” kata ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Skuad negara akan menentang Jordan dan Uzbekistan pada 6 dan 9 Oktober 2021 di Stadium Raja Abdullah II, Amman, Jordan dan Stadium Antarabangsa Amman.  

Keputusan kedua-dua perlawanan ini bakal mempengaruhi ranking ke-154 dunia milik Malaysia sekarang manakala Jordan, ke-93 dan Uzbekistan, 84.

Cools kini beraksi dengan kelab Denmark, FC Midtjylland dan khidmat bek kanan Selangor FC, Syahmi Safari turut terpaksa dilupakan gara-gara kecederaan lutut namun telah digantikan oleh pemain Kedah Darul Aman FC (KDA), Ariff Farhan Md. Isa.

Namun Cheng Hoe berkata, beliau dan barisan penolong jurulatih negara, memutuskan untuk hanya kekal dengan baki 22 pemain sekarang berbanding 24 yang disenaraikan termasuk Fayadh Zulkifli Amin yang dipanggil saat-saat akhir.

Sayap kiri KDA FC itu hanya dinamakan dalam skuad ke Amman pada 30 September 2021 untuk menggantikan Akhyar Rashid daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) FC juga kerana kecederaan.


SAYAP kiri Kedah ini dipanggil saat-saat akhir namun menunjukkan komitmennya untuk Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM


Tanpa Shahrul Nizam, skuad negara masih mempunyai pendukung bek tengah berwibawa untuk dipertaruhkan seperti kapten, Aidil Zafuan Radzak, Irfan Zakaria dan Dominic Tan yang berpangkalan di kelab Thailand, Police Tero FC.

“Kami kekalkan 22 pemain sahaja ke Amman kerana kesuntukan masa untuk memanggil mana-mana pemain lagi.

“Menentang Jordan dan Uzbekistan mendedahkan pengalaman pasukan kita bermain lawan yang lebih baik rankingnya.

“Ini juga peluang menguji muka-muka baharu kerana apabila akan datang, mereka sudah bersedia untuk dipanggil.

“Saya harap mereka dan yang sudah lama bersama pasukan negara, dapat menyesuaikan diri dan membentuk keyakinan,” kata Cheng Hoe.


TAN Cheng Hoe (tengah) fokus mengawasi sesi latihan Harimau Malaya pada 1 Oktober 2021 sebelum berangkat ke Amman, keesokan paginya. - Kredit foto: FAM


Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas antarabangsa ialah menewaskan Thailand 1-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G pusingan kedua di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 15 Jun 2021.

Selain mengharungi Piala AFF di Singapura dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 ini, Harimau Malaya turut akan memburu tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 di China dalam kelayakan pusingan ketiga pada Januari atau Februari 2022.

Sepanjang tahun ini, skuad negara turut kalah baki empat perlawanan iaitu kepada UAE 4-0 dan Vietnam 2-1 dalam kelayakan itu selain dua persahabatan dengan Kuwait 4-1 dan Bahrain 2-0 di Dubai dan Riffa. - KitaReporters


ANTARA aksi para pemain negara pada hari pertama latihan di Wisma FAM menjelang 'Misi Di Amman'. - Kredit foto: FAM


SKUAD HARIMAU MALAYA

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid (Selangor FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC).

Benteng: Aidil Zafuan Radzak (JDT FC), Irfan Zakaria (KL City FC), Mohamad Hakimi Abdullah, Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Ariff Farhan Md. Isa, Rizal Ghazali (KDA FC), Quentin Cheng (Penang FC), Dominic Tan (Police Tero FC, Thailand).

Perantara: Nazmi Faiz Mansor (JDT FC), D. Kenny Pallraj, Akram Mahinan (KL City FC), Baddrol Bakhtiar (KDA FC), Mohamad Al Hafiz Harun (Penang FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC).

Penyerang: Syafiq Ahmad, Guilherme de Paula (JDT FC), Faisal Abdul Halim (Terengganu FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium), Fayadh Zulkifli Amin (KDA FC).



DION-JOHAN Cools (5, gambar atas) dan Syahmi Safari (4) terpaksa menarik diri daripada menentang Jordan dan Uzbekistan kerana kecederaan. - Kredit foto: FAM 

12
10
0
10
0
You will be interested