Seni & Sukan 30 Aug, 2021

Kami Anak Merdeka! 31 Ogos 1957! Tarikh lahir kami sama walaupun tahun berbeza! Satu kebanggaan!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this


Malaysia Prihatin. Itu tema sambutan Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini. 

Dalam musim pandemik Covid-19 yang belum berakhir ini, rakyat masih boleh meraikannya secara sederhana bersama keluarga. Pasti sambutan lebih bermakna kalau tarikh lahir anda sama tarikhnya dengan hari bersejarah itu. 

Bagi individu bertuah lahir pada hari bersejarah 31 Ogos 1957, usia mereka sudah menjangkau 64 tahun. Bagi yang lahir pada tarikh sama, tetapi berbeza tahun ia juga satu hari paling istimewa untuk diraikan. Saya Anak Merdeka tau.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Anak Merdeka


KitaReporters berpeluang menemu bual dua individu yang lahir pada tarikh istimewa ini. Paling mengujakan, tarikh kelahiran mereka sentiasa dinantikan dan diraikan. Diberikan cuti pula saban tahun. Bestkan!

Anak Merdeka. Itulah ungkapan yang sering ditujukan kepada individu-individu bertuah ini.


Kamaroh Ngah@Jusuh sangat bangga dilahirkan pada 31 Ogos 1977 bertepatan dengan tarikh Merdeka


Penasihat Jualan kenderaan, Kamaroh Ngah@Jusuh, 44, yang dilahirkan pada 31 Ogos 1977 iaitu 20 tahun selepas perisytiharan kemerdekaan, berbangga dapat berkongsi tarikh yang sama.

"Bukan setakat bangga tapi teruja kerana saya ada kembar, Kamarulzaman yang dilahirkan lima minit awal daripada saya iaitu 3.10 pagi manakala saya jam 3.15 pagi pada Jumaat.


Kamaroh Ngah@Jusuh (kanan) bersama kembarnya, Kamarulzaman yang dilahirkan selang lima minit sahaja pada 31 Ogos 1977.


"Zaman kanak-kanak tak peduli sangat kerana belum tahu apa erti merdeka tetapi apabila sudah meningkat remaja, perasaan teruja kian bertambah kerana 'satu malaysia' raikan kami," katanya.

Kamaroh berkata sebelum pandemik Covid-19, dia akan membawa anak-anaknya menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan bagi memupuk semangat sayangkan negara malah dijadikan acara tahunan bagi mereka sekeluarga. 

"Sedih juga rasa apabila sudah memasuki tahun kedua kita tidak dapat meraikannya beramai-ramai dan menyaksikan perarakan Hari Merdeka," katanya yang menetap di Taman Uda, Kuantan.


Kamaroh Ngah@Jusuh, 44, yang dilahirkan pada 31 Ogos 1977 iaitu 20 tahun selepas perisytiharan kemerdekaan  tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja dilahirkan pada tarikh sama.


Bapa kepada empat anak berusia antara tujuh hingga 18 tahun itu berkata, kemeriahan menyambut Hari Merdeka semakin hilang akibat Covid-19.

"Walaupun tiada sambutan besar-besaran, kami tetap mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang, sekali gus membuktikan semangat patriotik tidak pernah luntur walaupun negara masih diancam virus Covid-19. 

"Saya bersama kejiranan mengambil pendekatan mengibar bendera di rumah masing-masing sahaja dan tidak bercadang berkumpul beramai-ramai pada malam merdeka bagi mengelak penularan wabak," katanya.


Kamaroh Ngah@Jusuh, 44, bersama isteri dan empat anaknya meraikan harijadinya setiap tahun sejak lima tahun lalu.


Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Kamaroh tidak lupa berpesan terutama kepada generasi muda supaya terus mempertahankan kedaulatan dan keamanan serta kemerdekaan negara yang dicapai.

“Kita perlu sentiasa ingat mengenai kesukaran dan keperitan mereka yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan sehingga mengorbankan banyak nyawa dan harta benda yang hilang.

“Kemerdekaan bukan sesuatu yang mudah dicapai, bersyukurlah kerana dilahirkan dalam keadaan negara yang telah mencapai kemerdekaan,” katanya.


Mirza Muazziz Zahurin memasang Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan ke-64  di rumahnya di Kampung Lubuk Puyu, Taman Tas.


Sementara itu, Mirza Muazziz Zahurin,14, yang dilahirkan pada 31 Ogos 2007 pula mengakui gembira kerana berkongsi tarikh sama dengan Hari Kebangsaan yang diraikan oleh jutaan rakyat Malaysia.

"Perasaan bangga dan teruja semestinya ada. Setiap tahun, guru-guru akan adakan pelbagai aktiviti sempena Hari Merdeka termasuk meraikan pelajar  yang lahir dalam bulan Ogos.
"Namun, selepas wabak pandemik Covid-19 melanda negara, saya sedih kerana tidak lagi berpeluang menyambutnya bersama guru dan rakan kerana sekolah tutup," katanya.
"Gembira sambut hari lahir tetapi sedih tidak dapat meraikan bersama guru dan kawan-kawan di sekolah tidak macam selalu. 
"Sebelum pandemik, ibu akan menjemput saudara mara dan rakan-rakan saya untuk meraikan hari lahir dan pada masa sama menyambut ulang tahun kemerdekaan," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau (Segra), Kuantan itu.


Sementara itu, ibu Mirza Muazziz, Nani Rahayu Shamsuddin, 51, berkata dia tidak langsung menjangka akan melahirkan anak bongsu daripada tiga beradik itu pada tanggal 31 Ogos.

"Saya perlu bersalin secara pembedahan sama seperti dua abangnya dan doktor memberi peluang kepada saya memilih tarikh untuk menjalani prosidur itu.

"Saya pilih 3 September namun menjelang tengah malam 30 Ogos dah mula rasa sakit nak bersalin. Anak saya selamat dilahirkan tepat jam 12.30  tengah hari pada Jumaat 31 Ogos 2007," katanya yang menetap di Kampung Lubuk Puyu, Taman Tas.

Menurutnya, tarikh 31 Ogos itu menjadi  lebih bermakna apabila semua ibu yang melahirkan pada tarikh itu diberi penghargaan menanam pokok hiasan di kawasan khas di Taman Gelora dan diberikan sijil sebagai tanda ingatan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-50.

Mirza Muazziz (duduk depan) bergambar kenangan bersama bapa, Zahurin Othman, ibu, Nani Rahayu Shamsuddin dan dua abangnya di rumah mereka di Kampung Lubuk Puyu, Taman Tas.


"Jika dilahirkan pada tarikh biasa tiadalah sambutan meriah seperti ini namun ia kini menjadi kenangan terindah buat kami sekeluarga terutama suami, Zahurin Othman, 50, yang diberi peluang menanam pokok itu," tambah Nani Rahayu.

Beliau berkata, pada mulanya dia tidak begitu hiraukan mengenai tarikh keramat itu namun selepas anaknya mula bersekolah dia berasa bangga tiap kali anaknya bercerita mengenai sambutan yang diberikan kepada murid yang lahir dalam bulan itu.
 "Bagaimanapun, tahun lalu dia agak sedih kerana tidak dapat menjalankan aktiviti kerana Covid-19 dan tahun ini pula mungkin hanya meraikan bersama keluarga kami sahaja," katanya.


Raikan hari bersejarah dengan bersemangat. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu pertahankan kedaulatan negara kita yang tercinta. - KitaReporters

0
0
0
1
0
You will be interested