Seni & Sukan 14 Jul, 2020

Erra, Engku Emran nak rujuk demi anak? Erra tak tolak jodoh!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

UMUM mengetahui bekas suami Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin kini sudah pun kembali bujang setelah bercerai dengan pelakon terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella. Sehubungan itu, mungkinkah Erra kembali rujuk bersama Engku Emran demi kebahagian satu-satunya anak mereka. Engku Aleesya? - KitaReporters


“Oh, jangan la tanya soalan tu, apa yang ‘pass is pass’, tak ada lah,” jawab Erra dalam tona yang membayangkan tidak mungkin beliau akan merujuk kembali kepada bekas suaminya itu.

Namun, pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek, 46, tidak menolak sekiranya jodohnya tiba, beliau akan berkahwin.

“Cuma saya tidak mencari tetapi jika dah ditakdirkan sampai jodoh saya akan terima sebab saya tidak pernah menutupkan hati saya,” ujar Erra ketika ditemui dalam majlis pelancarannya sebagai duta produk penjagaan rambut ‘Faith Fleur’, di Menara Kuala Lumpur pada Isnin, 13 Julai 2020.



Turut hadir Pengasas Bersama Faith Fleur, Siti Mariam Abdul Samad (tengah) dan suaminya, Halim Bahadorisam.

Ditanya ciri-ciri lelaki yang menjadi idamannya setelah gagal dalam dua perkahwinan terdahulu, Erra berkata, calon itu haruslah berkeupayaan membimbingnya dunia akhirat.

“Saya lebih senang jika mendapat seorang suami yang boleh kejar dunia dan akhirat seiring bukan sekadar berada di dunia glamor sahaja tetapi turut ada masa untuk beribadah,” jawab Erra jujur yang tidak meletakkan syarat calon suami harus berada dalam kalangan orang seni atau pun tidak.

"Ikutkan hati memang nak orang luar dari seni, tetapi selalu dapat orang seni, jadi tidak mahu nak ikut-ikut hati sangat," tambah Erra ketawa.

Bagaimana pun, pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH sebanyak tujuh kali sejak 1994 ini mengakui belum bertemu calon suami melainkan menumpukan sepenuh perhatian terhadap Aleesya.

Menurut beliau, pengalaman gagal dalam dua perkahwinannya sebelum ini mengajarnya untuk lebih berhati-hati.


“Bukan tidak mahu berkahwin atau tidak ada orang yang mendekati cuma ia memakan masa, saya perlu berhati-hati dan tidak terburu-buru hanya kerana hendak kahwin,” tambah pelantun lagu ‘Hanya DI Mata’ ini.

Yang pasti, di matanya kini adalah melihat dan menjaga perkembangan satu-satunya anaknya, Engku Aleesya, walaupun mengakui dirinya tidak pernah menutup pintu soal kahwin.

"Jika dah sampai jodoh saya akan terima seadanya, jika tidak pun saya tiada masalah cuma saya tidak menutup pintu hati saya untuk berkahwin lagi," jelas Erra yang pernah mendapat jolokan Primadona Melayu ini.

Tidak terlepas dari ditanya kisah perceraian yang berlaku antara Engku Emran dan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella, Erra memberitahu beliau tidak mahu mengorek lebih dalam perihal masalah rumah tangga bekas suaminya itu.

Pada 1 Julai 2020, Bella, 32, mengesahkan sudah bercerai secara baik dan sepakat dengan Emran, 45, setelah gagal mempertahankan rumah tangga yang dibina pada 8 September 2017.

“Saya bukan jenis nak korek-korek lanjut mengenai masalah mereka, Saya yakin mereka juga tidak mahu berpisah tetapi  takdirnya ia berlaku jua,” jawab Erra tanpa berselindung.

Sebagai wanita, katanya beliau berkongsi rasa sedih, namun berharap Bella akan terus bersabar kerana setiap yang pahit itu pasti ada hikmah dan manisnya.

“Allah uji kita sebab Allah sayangkan kita, pasti ada ganjaran lain yang menanti,” ujar Erra yang kini mengikat kontrak setahun dengan pilihan setahun lagi sebagai duta Faith Fluer, jenama yang sudah bertapak sejak tahun 2017 lagi.

Faith Fluer, merupakan produk penjagaan rambut meliputi syampu, pelembap rambut, serum, pewangi rambut dan tonik keluaran CTMary Resources Sdn Bhd yang hanya boleh diperoleh melalui pembelian secara dalam talian daripada pengedar berdaftar. 

Maklumat lanjut layari https://www.faithfleur.my atau melalui facebook dan Instagram @faithfleurhq. - KitaReporters

11
1
2
3
3
You will be interested