Seni & Sukan 11 Sep, 2024

Video| Curey Depe Mato! Lagu kisah curang depan mata nyanyian Adik Waniey! Ciptaan Eddie Hamid!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Rakyat di Pantai Timur khususnya orang Kelantan tentu suka dengan lagu dialek Kelate ini, “Curey Depe Mato’.

Mula-mula baca judul lagu ini. pening juga memikirkan apa maksud sebenarnya, tersebut ‘Kari’ tapi bukan ‘kari’ dan ‘Depe’ pula penulis ingat ‘dia orang’, cuma ‘mato’ tu yang penulis faham tentu bermaksud mata.

Rupa-rupanya ia bermaksud “Curang Depan Mata’ yang dalam loghat Kelante berbunyi ‘Curey (curang) Depe (Depan) Mato (mata).

Dah lah nak meneka maksudnya ambil masa, penyanyinya pula bernama Adik Waniey. 

Sangka penulis selalunya bila dipanggil adik sudah tentu ia penyanyi cilik belasan tahun tetapi rupanya penyanyi yang dipanggil Adik Waniey dah berusia 33 tahun.



Adik Waniey...


Bernama sebenar Azmahirwani Nordin, beliau merupakan penyanyi dikir barat Kelantan yang pernah menyertai pertandingan realiti Dangdut Academy Asia 3 (D'Academy Asia 3) pada 2017 di Indonesia selepas menjadi salah seorang peserta program realiti tv, Dangdut  Star 2016 terbitan Astro. 

Barangkali disebabkan penglibatannya dalam industri hiburan bermula ketika usia 13 tahun, Azmahirwani ketika itu lebih selesa disapa Adik Waniey sehinggalah kekal ke hari ini selepas dah dewasa pun malah khabarnya anak berasal Kelantan ini sudah menghasilkan 20 buah album. 

Jadi bukan calang-calang ya … namanya pasti dah popular di negeri tumpah darahnya sendiri iaitu Kelantan Darul Naim.

Melalui lagu ‘Curey Depe Mato’, ciptaan komposer ternama, Eddie Hamid dan liriknya ditulis oleh Mama Anna, Te Ha dan Jaju, Adik Waniey menampilkan kelainan daripada genre muzik yang biasa dibawa sebelum ini.

Kali ini beliau mengetengahkan genre ‘Pop Dangdut Moden’, satu konsep baharu yang dijangka mampu diterima ramai pendengar khususnya penduduk di Pantai Timur.



Menurut Eddie, lagu ciptaan terbaharunya itu sesuai dengan nada suara Adik Waniey yang menjadi sebab mengapa dia dipilih untuk menyanyikannya. 

"Awalnya Adik Waniey terkejut juga sebab melodi dan rentak lagu yang diberi berbeza dengan lagu-lagu yang dia rakam sebelum ini. Tapi sewaktu rakaman, saya tengok dia boleh bawa dengan bagus. 

"Bagi saya, Adik Waniey boleh bawa apa-apa konsep lagu, baik yang bernada tinggi atau rendah, semua dia boleh buat. Kiranya ini adalah genre Pop Dangdut yang moden sikit,” ujar Eddie.

Beliau berpendapat. lagu  ciptaannya itu sangat sesuai dengan suara Adik Waniry yang boleh membawa pelbagai genre lagu dan tidak tertumpu pada hanya satu konsep lagu sahaja. 

‘Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati kerana Adik Waniey telah membawa lagu itu dengan cukup baik.  Selama ini, lagu dialek Kelantan ciptaan saya tak ada lagu lenggok sebegini tapi kali ini, saya beri kelainan. Kebiasaannya, lenggok lagu sebegini diguna pakai ramai penyanyi dari Indonesia,” tambahnya sambil memberitahu, konsep lagu ‘Curey Depe Mato’ lembutnya lain sikit.


Eddie Hamid. - Kredit foto: Harian Metro.


Berkongsi panjang lebar, kata Eddie, setiap lagu ciptaannya mesti ada mesej yang tersirat. 

Lagu ini dicipta berdasarkan situasi sekarang di mana ramai orang tidak sorok-sorok lagi apabila melakukan kecurangan. 

"Kisah-kisah yang berlaku pada hari ini iaitu curang depan mata semakin kerap berlaku. Biasanya, dulu orang kalau curang bersembunyi-sembunyi tapi sekarang ini dibuat depan mata. 

"Saya masih mengekalkan penulis lirik, Mama Anna, Te Ha dan Jaju untuk lagu terbaharu saya ini kerana mereka faham apa yang saya mahukan. 

"Saya boleh tulis lirik tapi untuk lirik dalam dialek Kelantan ini biarlah diberi kepada orang-orang yang benar-benar pakar kerana untuk menyusun kata-kata dalam dialek itu perlu orang-orang yang lebih arif,” jelas Eddie Hamid berhubung lagu yang dirakam di K7 Studio, Kota Bahru tiga bulan lalu. 

Lebih menarik apabila Eddie menggabungkan bakat baharu, Adam ZBP dalam lagu ‘Curey Depe Mato’ tetapi timbul persoalan kenapa orang baharu bukan orang lama yang  berpengalaman seperti Adik Waniey?

“Saya mahu memberi pendedahan kepada Adam sebelum dia keluar dengan single solo sendiri.  Dia adalah pelapis baharu di Kelantan yang semakin popular,” tegas Eddie.



Sementara itu, Adik Waniey berpendapat walaupun dia tak sangka diberi genre muzik sebegini, beliau tetap menerimanya sebagai cabaran.

"Genre muzik lagu Curey Depe Mato' ini memang jarang saya nyanyikan tapi bila komposer pinta saya rakam lagu ini, saya tak menolak. Bagi saya, untuk menjadi seorang penghibur, saya perlu berkebolehan mendendangkan lagu dalam pelbagai genre,” ujar Adik Waniey sambil akui pada peringkat awal sememangnya ada rasa kesukaran tetapi bila sudah sering menyanyikan lagu sebegitu lama kelamaan menjadi terbiasa. - KitaReporters

9
13
0
4
0
You will be interested