Seni & Sukan 19 Jan, 2023

Jom kenali Saradha! Mahu jadi usahawan filem berjaya! Sasar terokai platform digital, media sosial!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Di dalam industri perfileman atau program seni berbahasa Tamil, nama Saradha Sivalingam Kalai sudah tentu tidak asing lagi dan barangkali pada mata penonton drama mahu pun telefilem Melayu, ada yang mengenali nama itu.

"Saya berpengalaman membintangi lebih 20 drama Tamil dan Melayu antaranya 'Bila Musang Berjanggut' bersama produksi aktres hebat, Sheila Rusly; drama bersiri dengan Datuk Rosyam Nor berjudul 'Nigina' serta heroin kepada Erry Putra menerusi telefilem 'Setulus Kasihmu'," ujar Saradha yang bukan sahaja seorang pelakon malah seorang pengarah syarikat KS Movie Sdn Bhd. semasa diwawancara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem Tamil

Throwback.. bersama Erry Putra dalam telefilem 'Setulus Kasihmu.


Pencapaian 20 filem yang diedarkan ke pawagam seluruh dunia bagi tempoh 12 tahun termasuk 40 filem pada tahun 2021 merupakan kejayaan manis diraih oleh syarikat produksi KS Movie Sdn Bhd. 

Saradha yang juga pengarah filem mengakui ada filem yang dikategori sebagai filem yang pernah mendapat kutipan pecah panggung tetapi tidak mendapat sambutan positif penonton kerana sebab lain yang tidak dijangka. 

Menurutnya, pengedaran filem ketika pandemik COVID-19 memberikan cabaran cukup besar kepadanya dalam meneruskan bisnes dalam industri perfileman global. 

"Semasa pandemik menyaksikan bisnes sinema turut terkesan dengan teruk tetapi kami dapat mengatasinya. Dalam usaha menanggung kos produksi, kami bekerja keras mengedar pelbagai genre filem ke seluruh dunia menerusi platform berbeza yang mencabar kesabaran dan faktor masa,” cerita Ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) ini.

Saradha yang berpengalaman selama dua dekad terbabit dalam industri perfileman tempatan dan antarabangsa mengakui cabaran membawa filem antarabangsa untuk tayangan bukan suatu bisnes yang mudah. 



"Pertama sekali, kami perlu memilih skrip yang menarik. Bagi setiap filem yang dibeli akan diedarkan ke beberapa negara bergantung kepada keperluan kandungan filem tersebut tetapi untuk mendapatkan pulangan pelaburan (ROI) dan keuntungan, ia memberikan cabaran yang besar,” tambah Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini. 

Memberikan contoh, tambahnya, filem yang diedarkan di negara ini membabitkan banyak prosedur termasuk penapisan filem

"Kami perlu mendapat sijil mandatori iaitu A dan B untuk setiap lokasi sinema yang menayangkan filem berkenaan dan juga pembelanjaan lain yang diperlukan," ujarnya sambil memberitahu, kebiasaannya produser dan pengedar antarabangsa akan menghubunginya berdasarkan perhubungan bisnes yang lalu dan juga menerusi festival filem yang pernah dikunjungi. 

Pempamer dan subpengedar juga katanya akan menawarkan lesen sesebuah filem itu kepada mereka sebelum berbincang untuk mendapatkan harga yang terbaik.

Dari aspek pandangan seorang pengarah filem, Saradha sentiasa mahukan penonton mempunyai rasa dan minat terhadap filem yang dibawanya. 

"Saya memilih cerita yang mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian kita. Cuma, kadangkala ia memberikan tekanan apabila penonton tidak kenal bakat pelakon itu,” kongsi ibu kepada seorang cahaya mata ini yang juga tersenarai sebagai individu paling berjaya iaitu 'Successful People in Malaysia'  menerusi buku Ensiklopedia BritishPedia Edisi ke-4, 2020.



Walaupun berpengalaman sebagai pelakon dalam lebih 20 drama Tamil dan Melayu, Saradha lebih fokus pada kerja bidang produksi dan pengedaran filem malah merupakan pengedar filem Malaysia pertama yang mempunyai lesen untuk mengedarkan filem menerusi platform over-the-top (OTT) Amazon Prime Video (Prime Video) ke seluruh dunia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. 

Akuinya, cabaran penggiat seni pada zaman kini lebih besar selepas bisnes kebanyakan sinema lebih terarah kepada media digital. 

"Sudah tentu kita semua perlu menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam industri filem semasa. Saya juga terus belajar dan mencuba perkara baharu setiap hari. YouTube dan pelbagai platform media sosial lain memberikan anda peluang untuk mencuba filem anda sendiri. Sudah tentu, ia memerlukan masa dan kesabaran, tiada hasil atau kejayaan datang dengan mudah," katanya. 

Berkongsi tip sebagai penyedia kandungan digital yang berjaya, Saradha berkata, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah membuat pilihan jenis kandungan yang ingin ditawarkan dan memikirkan cara untuk menghubungkan kandungan tersebut dengan khalayak. 


Saradha juga merupakan Pengarah Urusan MSK Cinemas Sdn Bhd dan Pengarah di 2K Studios Pte Ltd di Singapura.


"Jumlah penonton yang ramai membolehkan penyedia kandungan digital itu mendapat pendapatan menerusi saluran media sosialnya. Memuat naik kandungan yang menarik akan memberi impak pada saluran media sosial itu sendiri,” tambahnya.

Sebagai usahawan yang berwawasan tinggi dan bekerja keras, Saradha yang juga bertindak sebagai Penyedia Kandungan Digital sentiasa memastikan bisnesnya mempunyai penstriman dalam talian menerusi platform media sosial seperti YouTube, Google, iTunes, Yupp TV dan Amazon. 

“Saya melihat filem tempatan kita sebenarnya berjaya menarik perhatian penonton di seluruh dunia. YouTube merupakan alat pemasaran terbaik untuk sesebuah kandungan dan saya berbangga apabila meraih anugerah ‘YouTube Silver Button Creator’ dengan pencapaian 250,000 pengikut dengan 35 juta tontonan," jelasnya.

Bagi tahun 2023, bersama KS Movie Sdn Bhd, Saradha rancang mempunyai lebih banyak judul filem yang akan diedarkan  termasuk beberapa projek filem terbesar yang akan masuk ke pawagam bermula Februari 2023. 

"Saya sendiri berpesan pada diri saya sendiri, jangan putus asa dalam mengejar sesuatu impian yang diharapkan. Begitu juga saya berhasrat menerbitkan filem yang akan mengiktiraf saya sebagai pembikin filem berjaya suatu hari nanti, mungkin impian saya itu menerbitkan filem genre seram selain meneruskan karier lakonan saya," akhir kata Saradha yang turut menceburi bisnes pemakanan (F&B) dengan memperkenal restoren My Mama’s Kitchen serta produk jenamanya tersendiri, My Mama’s Papadums.  - KitaReporters


12
9
0
14
0
You will be interested