Seni & Sukan 19 Dec, 2022

Video| Shila Amzah 'Jauh Hati' dengan siapa? Lagu kisah pahit manis hidupnya jadi single terbaharu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


SEPERTI yang semua maklum, fasa kehidupan penyanyi Nur Shahila Amir Amzah atau lebih popular dengan panggilan ringkas Shila Amzah, 32, ada pasang surutnya.

Selepas putus cinta dengan pelakon Sharnaaz Ahmad ketika sama-sama membintangi telefilem Patah Seribu, Shila teryata cukup hampa sehingga terciptanya sebuah lagu yang diberi judul ‘Masih Aku Cinta’.

Lagu tersebut menceritakan tentang dirinya yang masih meratapi perkara yang berlaku. Namun kira-kira 5 tahun kemudian, Shila bertemu jodoh dengan Haris Idraki Elias yang bekerja dalam sektor kewangan di kota London.

Tetapi setelah empat tahun gerbang perkahwinan dilayari dengan dikurniakan seorang cahayamata lelaki, Seth Uwais, Shila menfailkan perceraian dan sah bercerai pada November 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Shila Amzah

Bersama anaknya Seth Uwais yang kini berusia 3 tahun. - Kredit foto: Instagram @sethuwais.


Sebagai ibu tunggal, banyak pahit manis yang diharungi tetapi yang pasti selepas menjuarai ‘Anugerah Juara Lagu’ ke-36 (AJL36) menerusi lagu  “Pelukan Angkasa”, kolaborasi Shila bersama kumpulan SOG, nama Shila Amzah kembali mekar. 

Malah, pembabitannya dalam program ‘The Masked Singer Malaysia’ musim kedua yang turut menobatkan Shila sebagai juara membuktikan semangat juang anak kepada penyanyi legenda, ND Lala ini tidak pernah luntur.

Shila juga tidak mensia-siakan peluang diberikan untuk menyertai program ‘Gegar Vaganza’ musim kesembilan (GV9). 

Biarpun sekadar menduduki tempat ketiga, ia sudah cukup untuk meyakinkan peminat bahawa dirinya adalah seorang penyanyi yang hebat dan versatil.



Terbaharu, tanpa mahu menunggu lama, sekali lagi Shila meluahkan perasaannya melalui single terbaharu, ‘Jauh Hati’ yang menceritakan mengenai kisah hidup yang dilalui.

“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang dalam suatu perhubungan yang cuba untuk mempertahannya sedaya upaya. Dia berada dalam dilema sama ada perlu kekal setia dalam perhubungan tersebut sedangkan dirinya berasa seperti tidak dihargai. 

"Akhirnya, dia ambil keputusan untuk membawa diri. Dia pun Jauh Hati lantas terus meninggalkan perhubungan itu,” cerita Shila pada majlis pelancaran ‘Jauh Hati’ yang diadakan pada 16 Disember 2022.



Pada majlis tersebut, Shila turut menerima plak penghargaan di atas pencapaian lagunya ‘Tiada Dirimu’ (2017) yang mencapai tontonan 9 juta dalam YouTube, yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Nova Music,  Rosmin Hashim. (gambar atas).

Berkongsi lanjut, Shila memberitahu, jika diamati dari segi lirik lagu ‘Jauh Hati’, beliau tidak menafikan ia memang kisah hidupnya.

“Walaupun saya dah tulis lagu ni kira agak lama, ia mengisahkan kisah peribadi saya pada ketika itu. Tapi sekarang, saya masih tetap juga boleh rasa keperitannya,” tambah Shila sambil mengakui begitu sukar untuk mendapatkan ‘mood’ ketika menjalani rakaman di studio mahu pun penggambaran video muziknya.



Menyedari betapa lama beliau tidak mencipta lagu sendiri, ‘Jauh Hati’ katanya adalah karya yang akan diterima ramai dan menjadi sebuah lagu yang akan didengari ketika mana pendengar mungkin memerlukan sebuah lagu untuk melepaskan emosi mereka dan menangis. 

“Saya yakin selepas mendengar lagu ini, kita semua akan merasa lebih baik dan lega saja. Itulah yang saya harapkan daripada lagu ini," jelas Shila.

Mengenang kembali cabaran yang dilalui Shila mendedahkan cabaran terbesar ketika merakamkan lagu “Jauh Hati” ialah menahan diri daripada tidak menangis.



“Cabaran saya ketika merakamkan lagu ini adalah untuk tidak menangis dan pada masa yang sama mengawal baik lontaran suara saya. 

"Saya bertuah kerana ketika merakamkan lagu ini, saya dikelilingi kawan baik saya iaitu Amylea Azizan. Dia ada di studio untuk menjaga vokal saya dan yang lebih istimewa lagi dia juga bertindak sebagai pengarah muzik video Jauh Hati,” tambahnya,

Dalam masa sama, Shila mengakui sepanjang tahun ini banyak momen indah dilalui membabitkan kerjaya seninya.

“Alhamdulillah, kerjaya seni sepanjang tahun ini penuh dengan kejutan dan pencapaian. Saya melalui detik liku yang sangat luar biasa. 

"Selepas bercerai, saya muncul juara ‘The Masked Singer Malaysia’ musim kedua, Juara Lagu dengan SOG, tempat ketiga GV9 dan menjadi juri program ‘All Together Now’ musim kedua. Kemudian, lagu duet bersama kak Liza Hanim iaitu ‘Bahagiakan Dia’ dapat mara ke pentas AJL37 dan akhirnya dapat melancarkan lagu Jauh Hati ini,” akhirinya. - KitaReporters


17
7
0
14
0
You will be interested