EDISI Piala Dunia Qatar 2022 terus memperlihat kejutan demi kejutan apabila kali ini Morocco (Maghribi) sekali lagi mencuri tumpuan dunia dengan menyingkirkan jaguh Eropah, Portugal 1-0 dalam aksi suku akhir di Stadium Al Thumama pada 10 Disember 2022.
Kemenangan mereka bukan disebabkan sepakan penalti tetapi diperoleh melalui gol kemenangan dalam perlawanan yang berlangsung 90 minit masa sebenar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan negara Maghribi
Jaringan Youssef En-Nesyri pada minit ke-42 sudah cukup untuk membawa wakil Afrika ke separuh akhir buat pertama kali dalam sejarah bolak sepak negara tersebut.
Malah ia juga merupakan wakil dari Afrika yang pertama layak sejauh ini.
Dalam perlawanan tersebut, Portugal selaku pasukan pilihan ternyata menerima tentangan sengit daripada lawan mereka ini.
Kecekapan penjaga gol Morocco, Yassine Bounou berjaya menggagalkan banyak percubaan dari skuad Portugal.
Selepas mendapat jaringan pertama, skuad Walid Regragui mula bermain secara bertahan bagi memastikan jaringan tersebut tidak disamakan oleh lawan mereka.
Deretan peluang demi peluang namun gagal meledak jaringan menyaksikan Portugal terpaksa melupakan edisi Piala Dunia kali ini.
Ia satu penamat yang begitu menyedihkan buat bintang mereka, Cristiano Ronaldo dalam edisi terakhir beliau.
Pada separuh akhir nanti, Morocco akan bertemu dengan bekas juara dunia 2018, Perancis. - KitaReporters