
DJ DAVE
Namun seperti mana-mana pertubuhan kebajikan, untuk menjalankan fungsinya dengan berkesan, ia memerlukan sumber kewangan yang kukuh.
Ketika awal penubuhannya YKAT tidak mempunyai masalah untuk menjalankan peranannya kerana mendapat sumbangan daripada Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Razak.
Namun sumbangan tidak lagi diperoleh apabila Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Nama lama Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) ialah Yayasan Artis 1Malaysia. Nama yayasan ini telah ditukar pada Jun 2018 untuk menghormati prinsip kerajaan baharu pada waktu itu.
YKAT terpaksa melakukan beberapa projek untuk mendapat sumbangan dan pada masa yang sama, jumlah insan seni yang memerlukan sumbangan semakin meningkat.

YKAT tetap berusaha untuk mendapat dana yang lebih selesa dalam keadaan sumber kewangan semakin sempit, sedangkan insan seni yang memerlukan sumbangan semakin meningkat.
Suatu tindakan bijak YKAT ialah dengan mengundang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Konsert Budi Kasih Malaysia 2025, di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2025.
Ia adalah cara untuk memancing pihak kerajaan untuk membantu YKAT.
Atas sifat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid hanya boleh memberi sejumlah peruntukan yang terbatas. Untuk mendapat peruntukan agak besar memerlukan kelulusan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
Dalam ucapannya dalam majlis itu, Zahid berkata, kerajaan sedia mempertimbang permintaan bagi memberikan peruntukan tetap kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) dalam usaha menjaga kebajikan artis tempatan.
Tambah Zahid, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan. Perdana Menteri terlihat prihatin dengan nasib pengiat seni tanah air.
Sejak Oktober 2023, PMX telah menyampaikan sumbangan daripada program Ziarah Madani kepada sejumlah insan seni yang bermasalah. Justeru, PMX diyakini tidak keberatan untuk memberi peruntukan tetap untuk YKAT menjalankan kegiatannya.
Jadi selepas ini, PMX mungkin tidak perlu lagi melakukan ziarah madani untuk insan seni kerana tugas itu diserah kepada YKAT sepenuhnya.
Dan dapat dijangka peruntukan yang diberi PMX kepada YKAT jauh lebih besar daripada sebelum ini.
Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) bersama Man Kidal (kiri), David Arumugam (dua dari kiri), DJ Dave dan Margardet Gan (kanan) sebagai penerima sumbangan YKAT.
Sementara itu YKAT perlu memperketat pemberian bantuan untuk insan seni. Memberi bantuan kepada insan seni yang tiada pekerjaan untuk tempoh yang lama dan memerlukan rawatan, perlu diutamakan.
Bagaimanapun pemberian bantuan pada hari-hari perayaan dan insan sehi yang berusia 60 tahun ke atas perlu dilaku dengan lebih teliti.
Bukan menjadi rahsia sejak awal penubuhannya, YKAT akan memberi sumbangan kepada insan seni yang sudah berusia 60 tahun ke atas. Tetapi terdapat beberapa artis veteran yang menerima sumbangan merupakan golongan berada atau seorang ahli perniagaan yang berjaya.
Namun perkara yang dipuji ialah YKAT mula mengadakan anugerah ikon seni untuk insan seni veteran.
Anugerah itu mula diperkenal pada Konsert Budi Kasih Malaysia 2025. Insan seni yang diiktiraf ialah Datuk David Arumugam (Alleycats, penyanyi), Man Kidal (Lefthanded, pemuzik) dan Margaret Gan (pelakon). Masing-masing diberi sumbangan RM3,000.
Sebagai Yayasan, YKAT tidak mewajibkan insan seni menjadi ahli, sebaliknya akan menyalurkan bantuan kepada insan seni yang terdesak.
Justeru kita amat berharap agar YKAT terus hidup dan berfungsi sesuai dengan matlamat penubuhannya.
Dan bantuan daripada kerajaan amat diperlukan tidak kira kerajaan mana yang memerintah. - KitaReporters