Seni & Sukan 23 Dec, 2025

Video| Kasih Serumpun! Siti Nurhaliza salur bantuan ke Acheh! Seru rakyat Malaysia turut sumbang!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun, satu nusantara. Dan ada sejumlah penduduk Malaysia mempunyai ikatan persaudaraan di pelbagai pulau di Indonesia. Justeru penderitaan di Indonesia turut dirasai masyarakat di Malaysia. 

Walaupun di Malaysia sendiri mengalami banjir di banyak tempat, namun bencana di Sumatera Utara khususnya di Acheh jauh lebih teruk.



Timbunan kayu besar yang meranapkan banyak kediaman namun sebuah masjid tidak terjejas.

Tragedi banjirnya pada hujung November 2025 bukan saja kerana air deras dan lumpur, malahan turut dihujani pokok-pokok besar. Terdapat di sejumlah kawasan air sudah turun, namun ia diganti timbunan kayu-kayu besar turun daripada kawasan tinggi.  

Ia bukan sahaja memusnahkan kediaman, malah turut membabitkan kawasan tanaman yang menjejas kehidupan masa depan mereka di samping mengorbankan banyak nyawa.

Ramai berpendapat tragedi banjir di Acheh sejak hujung November 2025 jauh lebih teruk daripada tragedi tsunami  pada hujung Disember 2004.



Banyak individu, pertubuhan amal dan syarikat tertentu dari Malaysia yang menghulurkan bantuan dari segi barangan dan kewangan bagi mengurangkan penderitaan masyarakat Aceh.

Dan antara individu yang menghulurkan bantuan ialah penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46.

Bagi Siti Nurhaliza, Indonesia dekat di hatinya. Dia menyedari mempunyai ramai peminat di negara jiran itu yang menyokong kariernya. Justeru apa yang terjadi di Aceh begitu menyentuh hatinya.

Siti Nurhaliza melalui Yayasan Nurjiwa iatu Yayasan milik bersama Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (atau Datuk K), 65, menghulurkan sejumlah barangan keperluan.


/



Yayasan Nurjiwa ialah sebuah pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan di Malaysia yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2006. Ia menjalankan misi kemanusiaan dalam negara dan luar negara.

Sekumpulan sukarelawan Yayasan Nurjiwa yang diketuai Rozi Abdul Razak iaitu Pengurus kepada Siti Nurhaliza baru-baru ini melakukan misi bantuan kecemasan ke Acheh Tamiang, susulan bencana banjir besar dan tanah runtuh yang melanda wilayah itu pada hujung bulan November 2025.  

Misi kemanusiaan berkenaan digerakkan sebagai tanda solidariti terhadap saudara serumpun yang terjejas dengan menyalurkan bantuan asas serta sokongan moral hasil sumbangan rakyat Malaysia. 




Sementara itu, Siti Nurhaliza menyeru individu dan pertubuhan tertentu turut membantu masyarakat di Acheh. Bantuan juga boleh disalur melalui Yayasan Nurjiwa. 

Dalam satu perkongsian dalam Instagram Yayasan Nurjiwa, ia menekankan bahawa nilai kemanusiaan menjadi teras utama setiap gerak kerja yang dilaksanakan, tanpa mengira jarak dan sempadan negara.

"Dalam setiap ujian, kemanusiaan menyatukan kita. Yayasan Nurjiwa menyantuni saudara serumpun di Acheh, menyalurkan amanah dan kasih sayang daripada rakyat Malaysia kepada mereka yang diuji.



"Jarak memisahkan, kemanusiaan menyatukan. Setiap sumbangan anda adalah doa yang bergerak dan sampai ke hati mereka yang berhadapan musibah.

"Yayasan Nurjiwa adalah perantara yang membawa secebis harapan dengan sarat kasih sayang, dalam dakap penuh tulus dan rasa kecintaan sesama manusia tanpa batas apa pun," kata Yayasan itu.

Menerusi misi tersebut , Yayasan Nurjiwa turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran penyaluran bantuan kepada mangsa.



Antara pihak yang turut memberi sumbangan melalui Yayasan Nurjiwa ialah Klinik Hijraa, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

"Terima kasih kepada semua yang telah mempermudah perjalanan kami ke Acheh, pihak konsulat jeneral Malaysia di Medan yang memberi panduan nasihat dan memastikan kelancaran, pasukan Yayasan Nurjiwa dan sukarelawan kami yang telah berbesar hati menjayakan misi ke Aceh serta para penyumbang dan dermawan budiman yang sentiasa bersama-sama kami.

"Setiap bantuan anda membawa harapan, kekuatan dan sinar buat mereka yang memerlukan. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan," kata Rozi Abdul Razak selaku ketua misi.


Rozi Abdul Razak


Sementara itu, video perkongsian yang dimuat naik mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang ramai terutama masyarakat Indonesia yang terharu dengan usaha dan komitmen yang dilakukan oleh Siti serta seluruh pasukan Yayasan Nurjiwa.

"Terima kasih Datuk Siti kerana peduli dengan Acheh. Hanya Allah saja yang mampu mambalas kebaikan anda.

"Alhamdulillah terima kasih Datuk Siti," tulis beberapa pengikut. - KitaReporters

10
16
0
11
0
You will be interested