Seni & Sukan 04 Nov, 2023

Video| Filem La Luna nakal, bahaya, seronok! Topik tabu berkaitan baju dalam! Tayangan 9 Nov 2023!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Kata pengarahnya,  M. Raihan Halim filem ini ‘cheeky’ (nakal) dan kata pelakon veterannya. Wan Hanafi Su pula, ‘ia bahaya tapi seronok’. Dan apabila penulis hadir menyaksikan pratonton filem ‘La Luna’ ini, memang tepat komen yang dinyatakan oleh kedua-dua karyawan tersebut.

Menyaksikan ‘La Luna’ penonton bukan sahaja terhibur dengan gelagat orang kampung Bras Basah yang tiba-tiba menghadapi kejutan budaya atau ‘culture shock’ gara-gara pembukaan sebuah ‘kedai rumah’ menjual pakaian dalam wanita tetapi turut terhibur dengan gaya keintiman yang ditonjolkan antara pasangan suami isteri secara tidak langsung.


M. Raihan Halim (tengah) bersama barisan pelakonnya (dari kiri) Wan Hanafi Su, Farah, Wafiy, Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Nadiya Nisaa dan Iedil.


Barangkali bagi setengah penonton akan segan melihat babak-babak yang mencerminkan kehendak pasangan suami isteri waima boleh dikatakan adegan begitu masih ‘tabu’ untuk ditonjolkan dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Bukan niat saya hendak mengetengahkan unsur seks dalam filem ini namun gelagat yang ditonjolkan perlu dilihat kepada beberapa lapisan dan mesej di sebaliknya.

"‘La Luna’ memaparkan kisah-kisah yang berpaksikan Muslim dengan sentuhan luar biasa dan berpusat pada watak wanita kuat yang mencabar norma,” ujar Raihan Halim usai tayangan pratonton filem tersebut di Dadi Sinema, Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.



Menurutnya, ia hanya sebuah cerita ‘nakal’ yang mengusik minda ramai mengenai pelbagai soalan tentang isu-isu larangan yang kurang dibicarakan oleh masyarakat,

Dan beliau bersyukur, La Luna yang menjalani proses penilaian penapisan seperti filem lain, tiada babak yang diarah untuk dipotong waima ia hanya membabitkan dialog nakal usik mengusik malah tidak berbaur lucah.

Berkongsi lanjut, Raihan mendedahkan, idea untuk La Luna terhasil selepas membaca tentang sebuah kedai pakaian dalam di Arab Saudi.

“Imej kedai pakaian dalam di tengah-tengah masyarakat Islam yang dikelilingi wanita berniqab sangat menarik. Dan apabila saya mendapat tahu beberapa bulan kemudian bahawa kedai itu dibakar oleh orang yang "diancam" olehnya, saya tahu ia adalah idea yang kuat untuk filem saya seterusnya,” tambah sutradara berasal Singapura ini.



Hanya melalui keratan berita itu katanya, beliau terfikir bagaimanakah sebuah kedai pakaian dalam dengan pakaian berenda dan produk cetakan harimau bintang - mengancam masyarakat sehingga mereka akan memusnahkan kedai itu menjadi abu?

“Dan jika itu benar, apa yang masyarakat takut? La Luna adalah mengenai perubahan masa. Manusia patut berubah, patut berkembang. Kadangkala kalau kita tidak berubah, kita akan tersekat. Ia sangat bahaya kerana perubahan dalam kehidupan tidak dapat dielakkan,” sambung Raihan yang berpuas hati dengan kesemua barisan pelakon pilihannya. 

Pelakon utama ‘La Luna’ dibarisi  Shaheizy Sam dan Sharifah Amani serta disokong oleh Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan.


Selepas menonton filem ini Shaheizy  Sam akui asyik renung anak perempuannya dan tidak sanggup anaknya membesar untuk berpisah dengannya. Kenapa? Jawapannya dalam 'La Luna".


Menganggap ia sebuah cerita ‘labour of love’, pengalaman berada dalam situasi La Luna memberikan dirinya pelbagai emosi - gelak tawa serta momen-momen yang besar dan detik-detik berat. 

Namun satu harapan yang terbit dari sudut hatinya yang terdalam ialah agar para penonton kelak akan ketawa, kekal dengan tema yang dibawakan melalui filem ini dan tinggalkan pawagam dengan senyuman pada wajah!

Dengan kos produksi sebanyak S$1.1 juta (RM3.5 juta), La Luna melatarkan sebuah kampung rekaan bernama Bras Basah dengan lokasi penggambaran dilakukan di Kuala Kangsar, Perak.

“Ini lokasi yang memang tepat dengan bayangan saya, sebuah sawah padi berlatarkan gunung. Saya memang teruja melihat pemandangan gunung, al-maklum mana ada gunung di Singapura,’ ujar Raihan dalam ketawa.

Dengan kehadiran sebuah kedai pakaian dalam bernama 'La Luna' secara tiba-tiba telah menghidupkan kampung yang sunyi dan tidak bersemangat. 

Walaupun penduduk kampung mula menerima kehadiran pemilik kedai dengan tangan terbuka, namun ketua kampung nekad dengan tujuannya untuk mengusir pemilik kedai tersebut dengan apa cara sekalipun!


Gandingan serasi antara Shaheizy Sam dan Sharifah Amani.


Pertembungan antara orang muda dan orang lama dipaparkan melalui lakonan mantap Sharifah Amani dan pelakon otai Wan Hanafi Su.


Sisi pemerkasaan wanita dipaparkan dengan menarik dan kemas dalam filem ini. Mesej ini yang perlu dihadam dan diperhalusi dalam momen-momen yang dipaparkan secara santai di bawah garapan M. Raihan Halim.

'La Luna' dipersembah oleh Clover Films dengan kerjasama Act 2 Pictures, One Cool Film, dan Papahan Films serta dengan sokongan Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hong Kong Asia Film Financing Forum (HAF), White Light Studio, Wouter Barendrecht Film Foundation dan Astro Shaw.

Diedarkan bersama di Malaysia oleh Clover Films dan Skop Productions, manakala di Singapura, Clover Films mengedarkan bersama Golden Village.

Ia bakal menjengah di pawagam seluruh Malaysia pada 9 November 2023 ini disusuli dengan Singapura pada 16 November 2023.



Untuk rekod, filem 'La Luna' mencipta  sejarah apabila ia ditayangkan di pentas antarabangsa menerusi tayangan perdana dunia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo di Jepun pada 24 Oktober 2023 lalu. 

La Luna terpilih dalam kategori ‘Asian Future Section’ di mana ia dalam senarai 10 filem yang dipilih untuk bersaing bagi kategori Anugerah Filem Terbaik Akan Datang Asia, malah filem ini turut masuk ke Jakarta Film Week.

Selain itu, La Luna merupakan projek yang diperkenal pada Forum Pembiayaan Filem Asia Hong Kong dan menerima Anugerah Wouter Barendrecht dan Anugerah Pospenerbitan White Light. - KitaReporters

11
14
0
16
0
You will be interested