PERSEMBAHAN bagi ‘Anugerah Industri Muzik’ (AIM) selalunya dianggap pentas berprestij yang menampilkan penyanyi dan pemuzik hebat dalam setiap edisi penganjurannya.
Namun kredibiliti AIM didakwa tercemar oleh persembahan Janna Nick, 27, menyampaikan lagu ‘Gatal’ secara miming (buka mulut) sahaja. Perbuatan Janna itu disaksikan jutaan penonton melalui siaran TV Astro Ria pada Ahad, 11 September 2022 lalu dan ramai memberi kritikan.
Ekoran mendapat kritikan pedas, Janna (Nurul Jannah Muner) memohon maaf melalui laman Instagramnya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelakon/penyanyi Janna Nick
Janna memberi alasan kesihatannya tidak mengizinkan dia menyanyi secara langsung atau live.
Janna yang teruja kerana pertama kali membuat persembahan dalam anugerah berpretij itu, mendakwa mengalami sakit tekak (influenza) dan hilang suara ketika berada di Jakarta, Indonesia bagi urusan kerja kira-kira dua minggu lalu.
Tambah Janna, dia sudah memberitahu keadaan kesihatannya kepada pihak penerbitan dan mereka mencadangkan dia hanya menyanyi secara ‘miming’ sahaja.
Janna akur dengan cadangan itu walaupun tahu risikonya dia akan dikritik ramai dan akhirnya terbukti benar.
Namun, ada yang berpendapat aksi 'miming' adalah pilihan terbaik bagi Janna yang mungkin hanya memalukan diri sendiri jika menyanyi secara 'live'.
Pada acara yang berlangsung di Auditorium Majlis Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, video muzik (MV) ‘Gatal’ arahan Chuan Looi diumumkan memenangi trofi Video Muzik Terbaik.
Kemenangan ini melayakkan menerima trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM20,000. - KitaReporters