Presiden Pertama, Sariha Mohd Ali bersama Perdana Menteri.
PERSATUAN Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) mahu menjadi landasan yang akan melatih wartawan wanita yang berkebolehan bagi menandingi kehebatan pengaruh media baharu yang berkembang begitu pesat dalam menyebarkan segala maklumatnya di hujung jari menggunakan pelbagai teknologi.
Presiden Pertama, Sariha Mohd Ali, berkata pihaknya juga berdepan dengan kemunculan 'wartawan segera' yang menulis dan menerbitkan bahan berita dalam laman sesawang mereka tanpa mempedulikan maklumat itu mempunyai fakta yang benar atau sebaliknya.
"Kita kena akui kemunculan Internet pada 1998 telah merubah dunia kewartawanan dari konvensional kepada digital. Maka semua wartawan kena siap siaga dengan pelbagai kemahiran demi memenuhi kehendak khalayak semasa supaya tidak ketinggalan." katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Hotel Primera pada 15 Ogos 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bidang kewartawanan
Kek untuk meraikan Ismail Sabri Yaakob setahun sebagai Perdana Menteri
Pulut kuning sempena ulang tahun ke-51 Pertama.
Di majlis yang sama, Pertama meraikan tempoh kepimpinan Perdana Menteri yang akan memasuki usia setahun yang membawa agenda Keluarga Malaysia.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rina Harun; Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi; pegawai kanan wanita dari pelbagai agensi berita dan wartawan veteran
Bagaimanapun, kata Sariha tidak semua wartawan bersedia berdepan dengan perubahan yang berlaku dalam dunia kewartawanan itu kerana tuntutan baru dalam bidang media sekarang memerlukan mereka melaksanakan pelbagai tugasan (multitasking) dalam satu masa.
"Daripada mengumpul maklumat, menulis berita, membuat suntingan sehinggalah mengambil gambar yang serba cantik.
"Cabaran ini menjadi lebih berganda apabila wartawan berdepan dengan kecanggihan media sosial yang seakan tidak terkawal dari segi etika pemberitaan. Muncullah fenomena, 'wartawan segera' yang menulis atau menerbitkan bahan berita tanpa mengambil kira kesahihan maklumatnya." katanya.
Terima kasih... Bunga daripada Pertama untuk Mahdzir Khalid.
Terima kasih dari Pertama untuk Rina Harun.
Sehubungan itulah, katanya, Pertama kena bertindak dengan mengadakan lebih banyak program dari bengkel, forum, ceramah, seminar dan kursus bagi mempertingkatkan profesion kewartawanan bagi melengkapkan pelapis muda teknik menepis dan menulis laporan secara berhemah dan sahih faktanya.
"Malangnya selepas Covid-19, Pertama belum dapat merangka program berkenaan kerana ia memerlukan dana yang banyak bagi membiayai acara itu. Tabung kewangan Pertama sekarang lebih kepada prihatin unttuk ahli-ahli terutama mereka sudah bersara.
"Wartawan bersara ini telah mewarnai dunia kewartawanan kita dulu-dulu. Nasib mereka tidak boleh dilupakan begitu saja. Kami menziarahi veteran wartawan yang sakit, memberi sedikit bantuan antaranya kes kematian, perkahwinan, rawatan perubatan bagi menceriakan mereka. Bagaimanpun, kami tidak dapat membuat secara berterusan kerana ketiadaan dana yang cukup," kata Sariha.
Apa khabar... Sariha beramah mesra dengan para tetamu.
Beliau berkata dalam usia 51 tahun sejak Pertama diasaskan oleh Allahyarham Azaz Aziz pada 12 Januari 1971 yang pada mulanya dikenali sebagai Persatuan Wartawati Malaysia sebelum ditukar menjadi Pertama kerana nama lama itu kurang menarik.
Pada masa itu ada 100 orang saja wanita yang menjadi pelapor berita dan 70 daripadanya menjadi ahli persatuan ini sebagai sebahagian daripada proses menyediakan landasaran ke arah pembabitan lebih ramai wanita dalam industri media.
Kini Pertama boleh dianggap sebagai persatuan tertua mewakili wanita di negara ini yang sudah berjaya menjadi payung yang menyatupadukan wartawan wanita demi memajukan profesion, intelektual dan sosial.
Objektif Pertama adalah mempertingkatkan kewibawaan dan kebebasan serta memelihara etika kewartawanan, menyokong ideal dan konsep kebebasan akhbar, memperbaiki taraf kedudukan dan mengukuhkan hubungan wartawan wanita dalam pelbagai bidang media.
Pertama juga saling bekerjasama dengan pertubuhan wanita, badan sukarela demi mencapai matlamat. - KitaReporters
Hi-Tea yang mendapat sambutan luar biasa daripada ahli Pertama dan tetamu undangan.
Kenangan manis dua ahli Pertama, Fariza Saidin (kiri) dan Non Einai Mohd Amin dengan Perdana Menteri.