WANITA mengandung biasanya berdepan ‘episod’ mengidam, jika yang mudah pasti menyenangkan namun ada juga yang mengidam sesuatu yang pelik dan sukar diperoleh, pasti pening si suami untuk merealisasikan harapan isteri tersebut.
Seorang wanita berbadan dua di Suffolk, England baru-baru ini mengidam, namun nasib baik yang diidamkan tersebut hanya Subway Tuna, hidangan terkenal makanan segera restoran Subway pada 16 Ogos 2022 lalu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan mengidam
Memetik NDTV Food, Nerice Moyce yang hamil empat bulan kemudian membuat pesanan hidangan berkenaan melalui pesanan dalam talian.
Namun alangkah terkejut Nerice Moyce apabila hidangan yang dipesan sangat luar biasa.
Sangat mengejutkan, bagi bakal ibu itu apabila terjumpa sebilah pisau di dalam hidangan berkenaan.
Wanita tersebut kemudian terus hilang perasaan keterujaan untuk menikmati makanan tersebut.
Moyce kemudian memuat naik video makanan yang dipesan itu bersama sebilah pisau tajam yang terselit di bawah roti berkenaan.
Wanita berkenaan mengakui dia sangat teruja apabila hidangan yang diidam sampai namun semua itu bertukar menjadi marah apabila menemukan sebilah pisau di antara roti berkenaan.
“Saya bayangkan jika seorang kanak-kanak kecil atau remaja menemuinya? Nasib baik saya yang menjumpai jika tidak pasti tragedi buruk berlaku,” luah wanita berusia 21 tahun itu.
Moyce kemudian terus menghubungi Subway di Gorleston High Street untuk memaklumkan mengenai penemuan pisau berkenaan.
Malah bakal ibu muda itu berharap kejadian tersebut adalah yang terakhir berlaku dan tidak berulang lagi.
Pihak Subway kemudian memberi jaminan perkara sama tidak akan berulang dan berjanji akan menyiasat perkara berkenaan. - KitaReporters