Seni & Sukan 26 Apr, 2025

Final Piala Malaysia! Pahang laparkan gelaran! JDT buru koleksi lagi! Siapa Raja Bola musim 2024-2025!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

FANDI Ahmad (kiri) dan Fadhli Shas tetap berazam merampas Piala Malaysia dengan pendekatan tersendiri Sri Pahang FC. - Kredit foto: MFL


“TEGAKKAN keadilan, itu tandanya kemakmuran.”

Fandi Ahmad mengutus mesej tegas itu dalam sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia 2025 menjelang menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 26 April 2025.

Ingatan ketua jurulatih Sri Pahang FC ini semacam menepati gelaran Pahang Darul Makmur pula sambil membayangkan trofi teragung bola sepak negara ini bakal berpindah tuan seperti mana 2014.

Fandi menyentuh mengenai pengadilan kemuncak edisi ke-98 itu di stadium sama pada 26 April 2025 yang turut akan dibantu sistem video bantuan pengadil (VAR).

“Bola sepak ini kadangkala permainan yang ‘melucukan’. Saya tiada masalah menang kalah. Bagi saya, keadilan sahaja tanda kemakmuran,” katanya dalam sidang berkenaan sambil ditemani Fadhli Shas pada 25 April 2025.

Kapten Tok Gajah ini pula mengidam Piala Malaysia pertamanya selepas dia bersama JDT FC yang secara kebetulannya dihampakan oleh Pahang menerusi penentuan penalti 5-3 pada 2014 juga di Bukit Jalil.

“Sudah semestinya saya hendakkan yang terbaik untuk diri dan Sri Pahang. Kami tahu kebolehan dan kehebatan JDT, mereka punya pemain berkualiti setiap posisi tetapi kami turun tanpa rugi apa-apa.   

“Itu (2014 dan 2024-2025) pengalaman yang saya tidak boleh lupa dalam karier bola sepak saya.

“Bermain di pentas final yang sama tetapi dengan dua pasukan berbeza (kali ini). Perasaannya sangat teruja (jika berjaya dengan Sri Pahang FC),” kata bekas benteng tengah kebangsaan ini.


HECTOR Bidoglio (dua dari kiri) dan Fandi Ahmad memegang Piala Malaysia dalam sidang media praperlawanan akhir edisi ke-98 itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Mengapit mereka ialah Natxo Insa dan Fadhli Shas. - Kredit foto: MFL 


Kata Fandi, apa sahaja yang bakal berlaku kepada kelab terutama ura-ura akan ditutup akibat masalah kewangan tidak pernah dibincangkan dengan pihak pengurusan ketika ini.

“Sebagai pemain, harus lupakan apa yang akan berlaku dan fokus sepenuhnya final ini. Mereka pun tidak pernah cakap. Selepas final, baru boleh bincang dengan pengurusan kelab,” katanya.

Dari dulu lagi Piala Malaysia ujarnya, mempunyai prestij yang sangat tinggi dan keinginan pemain untuk mendakapnya buat kali pertama bakal membawa motivasi dan menyuntik ‘kelaparan’ Tok Gajah di Bukit Jalil.

“Ramai pemain kami tidak pernah bermain peringkat akhir ini. Mereka semua berkeinginan. Saya tahu bagaimana untuk memotivasikan mereka juga supaya laparkan kejayaan,” kata pemenang trofi itu bersama Singapura (1980 dan 1994), Kuala Lumpur (1987 dan 1988) dan Pahang (1992) sebagai pemain.  

Namun Sri Pahang FC akuinya, bakal kurang tajam pada barisan depan ekoran ketiadaan Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo masing-masing akibat penggantungan perlawanan dan status pemain pinjaman JDT FC.


HECTOR Bidoglio (kiri) dan Natxo Insa enggan melepaskan peluang melebarkan gelaran Harimau Selatan musim 2024-2025 selepas merangkul Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah. - Kredit foto: MFL


Ketua jurulatih Sang Harimau Selatan, Hector Bidoglio pula menyifatkan setiap perlawanan akhir sentiasa sukar dan berbeza namun mereka hanya perlu fokus pasukan sendiri sambil masih menganalisis lawan.

“Apabila masuk final, pastinya Sri Pahang FC pasukan yang amat bagus. Ini bola sepak – seminit anda tidak berikan 100 peratus tumpuan, segalanya akan lenyap.

“Saya mahu menang satu lagi piala. Ini final yang setara, 11 lawan 11 (pemain).

“Ini juga 90 minit akhir kami untuk terus bermain dengan amat dinamik, pesat, padat dan mudah,” kata pengendali kelahiran 

Argentina ini tetapi pernah menyarung jersi Venezuela sebagai perantara dari 1999 hingga 2000.

Ulas kapten JDT FC, Natxo Insa pula: “Sri Pahang FC sebuah pasukan berpengalaman dan antara yang terbesar di Malaysia.

“Kami sentiasa fokus tidak kira lawan itu tempatan atau juara, kami juga menghormati mereka. Itulah yang membezakan kami dengan pasukan lain,” kata perantara kacukan Sepanyol-Malaysia berusia 39 tahun ini. - KitaReporters


HECTOR Bidoglio (kiri) dan Fandi Ahmad (kanan) mengapit Natxo Insa dan Fadhli Shas pada sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: MFL


LALUAN KE PERLAWANAN AKHIR:

Johor Darul Ta'zim FC:        

Juara 2017, 2019, 2022, 2023

Pusingan pertama: Kalahkan KL Rovers 3-0 dan 6-0 (agregat 9-0)

Suku akhir: Kalahkan Kuala Lumpur City FC 2-1 dan 4-0 (agregat 6-1)

Separuh akhir: Terengganu FC 4-0 dan 2-1 (agregat 6-1).

Sri Pahang FC:

Juara 1983, 1992, 2013, 2014

Pusingan pertama: Kalahkan Selangor 1-1 dan 2-1 (agregat 3-2)

Suku akhir: Kalahkan Perak FC 1-0 dan 3-3 (agregat 4-3)

Separuh akhir: Kalahkan Sabah FC 1-1 dan 2-1 (agregat 3-2).

KEPUTUSAN FINAL LALU:

1921 Singapura 2 Selangor 1 

1922 Selangor 3 Singapura 2

1923 Singapura 2 Perak 1

1924 Singapura 1 Selangor 0

1925 Singapura 2 Selangor 1

1926 Perak 1 Singapura 0

1927 Selangor 8 Singapura 1

1928 Selangor 2 Singapura 2 (juara bersama)

1929 Singapura 2 Selangor 2 (juara bersama)

1930 Singapura 3 Selangor 0

1931 Perak 3 Singapura 1 

1932 Singapura 5 Selangor 3 

1933 Singapura 8 Selangor 2 

1934 Singapura 2 Pulau Pinang 1

1935 Selangor 2 Singapura 0

1936 Selangor 1 Singapura 0

1937 Singapura 2 Selangor 1

1938 Selangor 1 Singapura 0

1939 Singapura 3 Selangor 1

1940 Singapura 2 Kedah 0

1941 Singapura 3 Pulau Pinang 1

1942-1947 -- Dibatalkan kerana Perang Dunia Kedua

1948 Negeri Sembilan 2 Selangor 1

1949 Selangor 3 Tentera Darat & Laut 2

1950 Singapura 2 Pulau Pinang 0

1951 Singapura 6 Perak 0

1952 Singapura 3 Pulau Pinang 2

1953 Pulau Pinang 3 Singapura 2

1954 Pulau Pinang 3 Singapura 0 

1955 Singapura 3 Kelantan 1 

1956 Selangor 2 Singapura 1

1957 Perak 3 Selangor 2 

1958 Pulau Pinang 2 Singapura 0

1959 Selangor 4 Perak 0 

1960 Singapura 2 Perak 0

1961 Selangor 4 Perak 2 

1962 Selangor 1 Pulau Pinang 0

1963 Selangor 6 Pulau Pinang 2 

1964 Singapura 3 Perak 2 

1965 Singapura 3 Selangor 1

1966 Selangor 1 Angkatan Tentera Malaysia 0

1967 Perak 2 Singapura 1

1968 Selangor 8 Pulau Pinang 1

1969 Selangor 1 Pulau Pinang 0 

1970 Perak 2 Kelantan 0

1971 Selangor 3 Perak 1 

1972 Selangor 3 Perak 0

1973 Selangor 2 Terengganu 1

1974 Pulau Pinang 2 Perak 1 

1975 Selangor 1 Singapura 0

1976 Selangor 3 Singapura 0 

1977 Singapura 3 Pulau Pinang 2 

1978 Selangor 4 Singapura 2 

1979 Selangor 2 Singapura 0

1980 Singapura 2 Selangor 1

1981 Selangor 4 Singapura 0 

1982 Selangor 1 Terengganu 0  

1983 Pahang 3 Selangor 2 

1984 Selangor 3 Pahang 1 

1985 Johor 2 Wilayah Persekutuan 0

1986 Selangor 6 Johor 1

1987 Kuala Lumpur 1 Kedah 0

1988 Kuala Lumpur 3 Kedah 0 

1989 Kuala Lumpur 2 Kedah 1

1990 Kedah 3 Singapura 1 

1991 Johor 3 Selangor 1 

1992 Pahang 1 Kedah 0

1993 Kedah 2 Singapura 0

1994 Singapura 4 Pahang 0

1995 Selangor 1 Pahang 0 

1996 Selangor 0 Sabah 0 (penalti 5–4)

1997 Selangor 1 Pahang 0

1998 Perak 1 Terengganu 1 (penalti 5–3)

1999 Brunei 2 Sarawak 1

2000 Perak 2 Negeri Sembilan 0 

2001 Terengganu 2 Perak 1

2002 Selangor 1 Sabah 0

2003 MPPJ 3 Sabah 0

2004 Perlis 1 Kedah 0 

2005 Selangor 3 Perlis 0 

2006 Perlis 2 Negeri Sembilan 1

2007 Kedah 3 Perak 0 

2008 Kedah 3 Selangor 2

2009 Negeri Sembilan 3 Kelantan 1

2010 Kelantan 2 Negeri Sembilan 1

2011 Negeri Sembilan 2 Terengganu 1

2012 Kelantan 3 Angkatan Tentera Malaysia 2

2013 Pahang 1 Kelantan 0 

2014 Pahang 2 Johor Darul Ta'zim 2 (penalti 5–3)

2015 Selangor 2 Kedah 0

2016 Kedah 1 Selangor 1 (penalti 6–5)

2017 Johor Darul Ta'zim 2 Kedah 0

2018 Perak 3 Terengganu 3 (penalti 4–1)

2019 Johor Darul Ta'zim 3 Kedah 0 

2020 -- Dibatalkan kerana Covid-19

2021 Kuala Lumpur City FC 2 Johor Darul Ta'zim FC 0

2022 Johor Darul Ta'zim FC 2 Selangor FC 1 

2023 Johor Darul Ta'zim FC 3 Terengganu FC 1


15
13
0
16
0
You will be interested