
MAT ZAN MAT ARIS
KEPAKARANNYA mencatur strategi di atas padang sudah terbukti dengan pelbagai kejayaan namun kelayakannya sebagai jurulatih di atas sekeping sijil menafikan peluang untuk beliau meneruskan karier pada peringkat lebih tinggi.
Itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh Mat Zan Mat Aris selepas berjaya membawa pasukan Imigresen FC layak bertanding pada Liga Super 2025-2026.
Sebagai pemegang lesen kejurulatihan kelas A, Mat Zan tidak layak untuk terus membimbing kelab berkenaan kerana setiap jurulatih yang ingin mengendalikan pasukan Liga Super perlu memiliki Diploma Profesional Kejurulatihan Konfederasi Bola Sepak Asia atau A Pro.
Sekali pandang, peraturan itu kelihatan tidak adil dan kejam ke atas jurulatih berpengalaman sepertinya yang mencipta deretan kejayaan namun beliau terpaksa akur dan perlu menerima dengan reda.

“Peraturan tetap peraturan, saya tidak akan mempertikainya. Semua jurulatih perlu memenuhi syarat ditetapkan. Saya tak ada lesen diperlukan, saya akur,” kata Mat Zan.
Jurulatih berusia 67 tahun itu menjelaskan faktor umur dan kewangan menyebabkan beliau tidak berhasrat untuk mengambil lesen A Pro.
“Jika saya ambil lesen A Pro sekarang, dengan usia sebegini, berapa lama saya dapat memanfaatkannya sedangkan kos untuk mendapatkan lesen itu bukan murah, RM65,000.
“Jujur, saya tidak mampu membelanjakan wang sebanyak itu untuk sekeping sijil. Tak mengapalah, jika ada rezeki, dengan lesen yang saya ada sekarang, saya akan terus membimbing pasukan liga bawahan yang memerlukan khidmat saya,” katanya lagi.

MAT ZAN berjaya membimbing Imigresen FC dari Liga M3 ke Liga Super. - Kredit foto: Imigresen FC.
Bekas ‘orang besi’ pasukan Wilayah Persekutuan (kini
Kuala Lumpur City FC) yang menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut
(1987,1988 dan 1989) sepanjang bergelar pemain pada tahun 1980-an, Mat Zan juga
sudah teruji kemampuannya sebagai jurulatih.
Beliau mencipta sejarah sebagai jurulatih yang berjaya membawa Terengganu menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali dengan mengalahkan Perak 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November, 2001.
Sebelum itu, pada 1999, Mat Zan mula mencipta nama sebagai jurulatih apabila berjaya mengemudi Kuala Lumpur menjuarai Piala FA.
Beliau juga bertanggungjawab membawa pasukan Melaka United kembali beraksi pada Liga Super 2017 selepas pasukan itu menjuarai Liga Perdana 2016. Sebelum itu pada 2015, Melaka menjuarai Piala FAM.
Namun, sebagaimana nasib dialaminya kali ini, impian Mat Zan untuk memimpin Melaka United pada aksi Liga Super tidak kesampaian apabila pasukan itu tidak menyambung khidmatnya kerana lebih teruja untuk menggunakan air tangan jurulatih import.

IMIGRESEN FC muncul naib juara Liga A1 Semi Pro dan layak ke Liga Super.
Sepanjang kariernya sebagai jurulatih, dengan berbekalkan lesen A, Mat Zan sudah memenangi tujuh piala iaitu dua bersama Terengganu (Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih), dua bersama Kuala Lumpur (Piala FA dan Piala Sumbangsih), dua piala bersama Melaka United (Liga Perdana dan Piala FAM) dan satu piala bersama Imigresen FC, yang muncul juara Liga M3 pada 2023.
Walaupun sekadar membimbing Imigresen FC sebagai naib juara Liga A1 Semi Pro 2024-2025 namun kejayaan kelab itu naik ke Liga Super untuk musim 2025-2026 adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.
Diperkukuh oleh beberapa orang pemain berpengalaman seperti Hafiz Kamal, Ahmad Syamim Yahya, Abdul Halim Zainal dan Nasriq Baharom, pasukan bergelar Harimau Perkasa itu mula dibimbing oleh Mat Zan pada pertengahan musim 2022.
Dalam tempoh kira-kira dua tahun, Mat Zan berjaya mentranformasikan kelab yang berpangkalan di Putrajaya itu sebagai pencabar utama Liga A1 Semi Pro sehingga mampu layak ke Liga Super 2025-2026.

IMIGRESEN FC
Ramai berpendapat, Imigresen FC masih boleh memanfaatkan pengalaman dan kepakaran jurulatih berkenaan dengan melantiknya sebagai penolong ketua jurulatih. Begitupun Mat Zan tidak terlalu mengharap.
“Ada rezeki, adalah. Setakat ini saya belum menerima sebarang tawaran. Saya bersedia untuk berkhidmat walaupun hanya dengan pasukan Liga A2 (divisyen 3) dan Liga A3 (divisyen 4).
“Kadang-kadang membimbing pasukan liga bawahan lebih memberi kepuasan bila melihat mereka meningkat sebagaimana saya lakukan ketika bersama Melaka United dan Imigresen,” katanya.
Mat Zan bolehlah dianggap sebagai jurulatih terbilang.
Deretan kejayaan dihasilkannya adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan.
Namun, beliau kini terbuang. Begitulah nasib seorang jurulatih. Hanya jauhari mengenal manikam! - KitaReporters