
SYED Azmir Syed Ahmad (kiri) bersaing dengan lima lagi calon Timbalan Presiden PSM, manakala Mohd. Sumali Reduan menang tanpa bertanding dengan beroleh 21 pencalonan. - Kredit foto: SA
MEMASTIKAN Undang-undang Permainan Sepak Takraw Antarabangsa sentiasa dikuatkuasakan, melahirkan bakal pemain negara yang pintar dan menggilirkan semua negeri sebagai tuan rumah mana-mana kejohanan yang bertaraf kebangsaan.
Tiga inti pati tersebut ditampilkan dalam manifesto calon Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Syed Azmir Syed Ahmad menjelang mesyuarat agung (AGM) pemilihan Jawatankuasa Tertingginya bagi penggal 2025-2028 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 29 Jun 2025 ini.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) ini beroleh dua pencalonan untuk menyertai saingan enam penjuru terhadap dua kerusi No. 2 itu yang kini disandang Senator Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dari penggal 2022-2025.
“Pelaksanaan Undang-undang Permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) perlu ditegaskan dalam semua kejohanan bertaraf negeri dan kebangsaan, sekali gus menghindari sebarang percubaan memanipulasinya oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
“Inilah antara hasrat dan matlamat saya dengan pengalaman dan pengetahuan berkaitan pengurusan persatuan serta sukan sepak takraw,” katanya yang juga bekas pengurus pasukan wanita negara pada Sukan Asia Incheon 2014, dalam kiriman manifesto berkenaan.

JAWATANKUASA Tertinggi PSM pimpinan Mohd. Sumali Reduan (empat dari kiri) bersama-sama skuad negara dan wanita di belakangnya. - Kredit foto: PSM
Turut dicalonkan sebagai Timbalan Presiden PSM dengan tiga pencalonan ialah mantan penyandangnya dan Pemangku Presiden tujuh bulan, Datuk Akramuddin Abd. Aziz selain dua lagi Naib Presiden sekarang, Datuk Abu Jimi Samat (dua) dan Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman (satu).
Bagi manifesto melahirkan pemain negara sebagai atlet pintar itu kata Azmir, langkah ini juga bertujuan membantu lonjakan prestasi pasukan pelapis kebangsaan dari semasa ke semasa menerusi saranan dan pandangan yang akan diketengahkannya.
“Sebuah badan bebas turut perlu dibentuk dan dilantik untuk membuat penilaian dan laporan yang kondusif berkaitan penyertaan dan prestasi pasukan negara dalam kejohanan antarabangsa yang diiktiraf Istaf dan Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia),” katanya.

SEBUAH badan bebas wajar dibentuk PSM bagi menilai dan membuat laporan kondusif prestasi pasukan negara seperti pada Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur yang berakhir 18 Mei 2025 lalu. - Kredit foto: HY
Azmir berkata, penganjuran pertandingan sepak takraw bertaraf kebangsaan wajar dijalankan dengan melibatkan kesemua 16 negeri dan wilayah persekutuan ahli gabungan PSM atau menurut sistem penggiliran dan bukannya hanya bertumpu ke negeri-negeri tertentu sehingga berulang kali seperti sebelum ini.
Sekiranya terpilih dan mendapat mandat perwakilan ahli gabungan dan tujuh ahli bersekutu, katanya, “saya sedia memberikan nasihat kepada Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan (disahkan menang tanpa bertanding, 23 Jun 2025 lalu) dalam memperkukuh aspek kejurulatihan dan pengadilan.

SYED Azmir Syed Ahmad juga anak bekas pengurus pasukan pemenang pingat emas Sukan SEAP Bangkok 1975, Syed Ahmad Syed Ali.
“Sebuah Jawatankuasa Pengadil PSM yang baharu wajar ditubuhkan dan distrukturkan dengan tatakelola yang profesional selari dengan amalan Istaf dan Astaf selain bidang tugas dan pengkhususannya diperincikan supaya lebih jelas dan bertepatan.
“Saya juga sedia menasihatkan Presiden PSM dalam soal pelantikan individu untuk menerajui jawatankuasa ini supaya penyandangnya hanya mereka yang benar-benar layak dan bersesuaian dengan pengalaman dan kedudukannya dalam Istaf dan Astaf serta sejajar badan sukan lain di Malaysia,” katanya.
Azmir juga merupakan Naib Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Astaf dan pegawai antidoping Istaf ketika Sukan SEA Vietnam 2022, Piala Dunia Istaf 2024 dan 2025 di Kuala Lumpur dan Bihar, India serta Piala Asia Astaf 2025 di Kuala Lumpur. - KitaReporters

KEJOHANAN Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari wajar dianjurkan setiap negeri ahli gabungan PSM mengikut giliran yang ditetapkan seperti manifesto calon Timbalan Presiden PSM 2025-2028, Syed Azmir Syed Ahmad.