Seni & Sukan 24 May, 2025

Nantikan! Konsert Malam Wakaf Rakyat 2025! Usaha UKM angkat seni muzik Islam! Juga kutip dana wakaf!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


ADA pandangan kononnya muzik itu haram kerana boleh melalaikan dan menjurus manusia kepada maksiat. Tapi, hakikatnya, muzik adalah salah satu cabang besar dalam seni persembahan malah ia fitrah dan anugerah kepada manusia untuk kebaikan mental dan fizikal.

Seorang ilmuwan Islam tersohor, Al-Farabi dikenali atas sumbangan besarnya dalam seni muzik. Beliau menulis lebih dari lima jodol buku mengenai teori muzik serta implikasinya terhadap manusia. Antara karyanya, "Kitabul Al-Musiqa Al-Kabir"yang  merungkai teori muzik.

Malah, seni suara yang diterapkan dalam bacaan al-Quran, zikir dan azan itu memperindah lagi apa yang ingin disampaikan.

Islam meraikan seni. Buktinya Rasulullah SAW tidak melarang ketibaan baginda di Kota Madinah disambut dengan nyanyian, tepukan serta paluan gendang.


Dr Faizal Mohamed (lima dari kir) Dr Mohd Fakhrurrazi (empat dari kiri), Vanida Imran (kanan),  Lah Ahmad (kiri), dan ahli kumpulan Caliph Buskers (dua dari kiri) di Smoked Kingdom by Don Daniyal, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.


Penyanyi seperti Cat Stevens atau Yusuf Islam mengangkat muzik sebagai satu platform dakwah. Begitu juga, seniman M Nasir menyelit unsur dakwah dalam lagu puisinya seperti Andalusia, yang menceritakan kemasyhuran kerajaan Islam Andalusia.

Secara realiti, muzik itu dibolehkan malah menjadi harus kecuali ia membawa kepada sesuatu yang kurang elok seperti percampuran lelaki dan perempuan atau sehingga melalaikan.

Menyedari pentingnya seni dan muzik kepada naluri insan, Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM dan Kengkawan Project akan mengadakan Konsert Malam Wakaf Rakyat 2025 (MAWAR 2025).


Dr Faizal Mohamed


Pengarah Yayasan Canselor, Prof Ts. Dr Faizal Mohamed, berkata Konsert MAWAR 2025 yang akan diadakan pada 10 Oktober 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM itu bukan sekadar hiburan, tetapi mengajak masyarakat menyuburkan amalan wakaf melalui gabungan seni dan spiritualiti.

Beliau  berkata, konsert itu memperkenal pendekatan baharu dalam inovasi pendanaan wakaf untuk menyokong kebajikan, pendidikan dan pembangunan di UKM.

"Konsert ini bertujuan menggalakkan kesedaran dan pembabitan masyarakat dalam amalan wakaf, sejajar dengan tema “Wakaf Membangun Malaysia Madani” yang diketengahkan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sepanjang tahun 2025.


Sebahagian artis dan personaliti popular yang akan mengambil bahagian dalam Konsert MAWAR 2025.


"MAWAR 2025 merupakan konsert pertama di Malaysia yang menggunakan bahasa isyarat secara langsung sepanjang persembahan, bagi meraikan komuniti OKU pendengaran.

"Bertemakan “Biarpun Nafasmu Terhenti, Pahala Terus Mengalir”, konsert ini mengetengahkan naratif yang menyentuh hati mengenai kehidupan, kematian dan legasi amal yang berkekalan," katanya dalam sidang media di Smoked Kingdom by Don Daniyal, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kebudayaan UKM, Mohamed Asrof Semin; Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Project Kengkawan Kuala Lumpur & Selangor (Kengkawan Project), Norhana Osman Haron; Timbalan Dekan (Hal-ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) Fakulti Pendidikan, Dr Khairul Azhar Jamaludin; dan Pengurus Wakaf Yayasan Canselor UKM, Dr Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi.


Lah Ahmad


Menurut Dr Faizal,  Konsert MAWAR 2025 akan menampilkan artis terkenal seperti Datuk Ramli Sarip, Prof. Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, Ustaz Azhar Idrus, Lah Ahmad, Caliph Buskers, Vanidah Imran, Raihan, UNIC, Abby Fana, Dr PU Razi dan Azhar Hilmi. Ia akan diisi dengan persembahan yang menggabungkan tazkirah, kisah inspirasi, selawat, lakonan dan nyanyian berunsur spiritual.

Bagi Pengurus Wakaf Yayasan Canselor UKM dan Ketua Projek MAWAR 2025, Dr Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi, konsert di DECTAR boleh menampung sehingga 2,552 penonton, dibahagikan kepada empat kategori tempat duduk berbeza untuk memberikan peluang kepada lapisan masyarakat mengambil bahagian.

"Setiap pembelian tiket bukan sekadar untuk menonton persembahan, malah menjadi sebahagian amal jariah kerana ia mengandungi elemen wakaf.  

"Sasaran kutipan tiket ialah kira-kira RM300,000 tapi secara keseluruhan kami berharap dapat mengutip RM1 juta termasuk sumbangan individu dan tajaan korporat," katanya. 


Azmi Chalip Buskers


Beliau berkata, konsert MAWAR 2025 turut membawa pendekatan inovatif dalam usaha meningkatkan kutipan dana wakaf UKM, yang kemudiannya disalurkan kepada pelbagai inisiatif kebajikan, pembangunan, pendidikan dan penyelidikan.

Fakhrurrazi berkata, program sebegini membuktikan bahawa seni dan spiritual boleh jalan seiring, malah menjadi platform efektif membudayakan amalan berwakaf secara kreatif dan menyentuh jiwa. 

"Kami bukan hanya ingin menghiburkan, tetapi juga menyentuh hati dan menyemai amal," katanya.


Konsert MAWAR 2025 memperkenal pendekatan baharu dalam inovasi pendanaan wakaf untuk menyokong kebajikan, pendidikan dan pembangunan di UKM.


Sementara itu, orang ramai yang membeli tiket terawal sehingga 4 Jun 2025 berpeluang untuk mengambil bahagian dalam cabutan bertuah yang menyediakan hadiah pakej umrah dan pakej Mesir.

Harga tiket yang ditawarkan bermula serendah RM49 hingga RM199 dan boleh didapati menerusi platform Ticket2u.com dan pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman rasmi Yayasan Canselor UKM atau media sosial Dana Wakaf Ilmu UKM (@DWIUKM). - KitaReporters


Sebahagian tetamu yang hadir pada sidang media Konsert MAWAR 2025.

18
10
0
12
0
You will be interested