Seni & Sukan 24 Sep, 2023

Festival fotografi Exposure+ Photo! Dibuka sehingga 1 Okt 2023! Di sepuluh tempat menarik sekitar KL!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Festival fotografi Exposure+ Photo kini mula dibuka untuk dikunjungi umum bermula pada 21 September lepas, selama dua minggu sehingga 1 Oktober 2023. 

Dianjurkan buat kali pertama pada Februari 2022, pengasas festival tersebut yang juga merupakan jurugambar tersohor, Steven Lee dan Nadirah Zakariya, menegaskan pada majlis pelancarannya bahawa Exposure+ Photo adalah inisiatif bebas dengan konsep akar umbi, dan beroperasi sebagai sebuah non-profit.

Festival ini bakal berlangsung di sepuluh (10) lokasi terkenal ibu kota seperti GMBB, REXKL, KLoe Hotel dan The Zhongshan Building. 

Lokasi menarik lain yang tersenarai adalah di BookXcess, LOKL Coffee Co, High Street Studios (HSS), Triptyk, Kantata dan Zontiga. 

Program lain seperti bengkel, reviu portfolio, bual bicara, forum dan berbagai-bagai acara lain berkaitan fotografi juga akan diadakan untuk menyokong penganjuran festival.



Festival ini dianggap unik kerana mendedahkan jurugambar Malaysia kepada konsep open call (panggilan terbuka) di mana penyertaan dibuka kepada semua fotografer yang berminat dari seluruh dunia. 

​Menurut Nadirah Zakariya, pengasas bersama Exposure+ Photo, “Fokus festival ini adalah untuk mengetengahkan projek fotografi termasuk video yang dekat dengan hati dan jiwa audiens festival. 

Tema yang dipilih penganjur iaitu ‘A Different Light’, adalah cukup luas untuk diinterpretasikan dalam genre fotografi yang berlainan dan boleh dianggap sebagai tema yang boleh dibawa ke pelbagai arah”.

Steven Lee, seorang lagi pengasas bersama festival Exposure+ Photo dan amat dihormati dalam industri fotografi berkata, “Kami menerima lebih dari 160 permohonan dari seluruh pelosok dunia. 

"Daripada jumlah ini, panel juri kami terdiri dari nama-nama besar industri termasuk Ihiro Hayami, pengarah T3 Photo Festival Tokyo dan Carol Körting, editor foto majalah LFI (Leica Fotografie International) telah memilih 20 artis dengan projek yang memberikan impak terbesar”.



“Kami ingin berterima kasih kepada penaja utama festival ini iaitu Canon Malaysia. Tidak lupa juga kepada para penaja lain, rakan kerjasama, penyokong festival ini sama ada dalam atau di luar talian dari serata dunia; serta rakan-rakan dan keluarga yang telah bersama kami sejak awal lagi. 

"Bagi pihak penganjur festival, saya ingin menjemput semua peminat seni fotografi terutama rakyat Malaysia untuk mengunjungi festival ini di lokasi-lokasi yang ditetapkan dan mengambil bahagian di dalam program yang telahpun dirancang,” kata Steven penuh semangat. - KitaReporters/Kenyataan Media

16
15
0
14
0
You will be interested