Seni & Sukan 17 Apr, 2024

Impak Maksima| Video| Sheriff pantas dan ganas! Filem bergenre kepolisan yang lain daripada lain!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Satu idea yang menarik apabila diangkat judul ‘Sheriff’ iaitu daripada singkatan nama watak utama, Sheriffudin Hussein yang dilakonkan oleh aktor hebat, Zul Ariffin sebagai tajuk filem aksi thriller terbitan dua studio gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw ini.

Kenapa penulis kata begitu?

Sebab panggilan ‘Sheriff’ ini lazimnya adalah ‘pangkat’ pegawai tertinggi dalam pasukan polis daerah yang dipilih untuk memastikan bahawa undang-undang dipatuhi di daerah tertentu seperti di Amerika Syarikat umpamanya seperti mana yang selalu kita lihat dalam filem-filem koboi Hollywood.

Malah disebabkan judul itu juga yang menarik hati penulis untuk hadir ke malam gala “Sheriff’ yang berlangsung pada malam 16 April 2024, iaitu dua hari sebelum ia bakal ditayangkan di seluruh negara pada 18 April ini.

Barulah tahu bahawa ‘Sheriff’ dalam filem arahan pengarah filem aksi box office nombor satu Malaysia, ‘Polis Evo 3’ iaitu Syafiq Yusof diambil daripada nama watak Sheriffudin Hussein.



Lakonan mantap Zul Ariffin dan pengarahan hebat Syafiq Yusof (kanan) menghidupkan filem aksi thriller 'Sheriff'.


Selepas menontonnya apa yang dapat disimpulkan, impak maksima pada filem ini sudah tentu terletak pada produksinya yang pantas dan ganas sesuai sebagai sebuah filem bergenre kepolisan sebagaimana ‘Fast & Furious’.

Pembunuhan, pertarungan, pertempuran dan letupan sana sini tidak dinafikan melengkapi sebuah filem aksi seperti ‘Sheriff’ sehingga ada babak-babak bunuhan yang amat mengerikan sehingga penulis pun terpaksa tutup mata. 

Hanya yang ‘berhati keras’ rasanya boleh menatap babak-babak sedemikian. Sesuailah ia dikategorikan dalam kelas penonton golongan 16 tahun ke atas dan bukan sebuah filem yang boleh ditonton oleh kanak-kanak.

Apapun, Sheriff merupakan naskhah kepolisan yang mungkin jarang diketengahkan dalam karya tempatan iaitu ‘polis tangkap polis’ yang dipanggil ‘reverse whodunnit’ atau lebih dikenali sebagai ‘howcatchem’, sebuah konsep di mana penonton sudah tahu siapa pembunuh tetapi bagaimana dia akan ditangkap. 


Gandingan ayah dan anak mengharukan....


“Sheriff membawakan sebuah perspektif yang belum pernah dibawa oleh filem-filem kepolisian terbitan Skop Productions sebelum ini. Idea filem Sheriff ini tercetus daripada gabungan Datuk Yusof Haslam dan saya sendiri berdasarkan filem-filem kepolisian yang pernah kami hasilkan sepert KL Special Force dan juga Polis Evo 3. 

"Namun untuk karya Sheriff, saya tambahkan sentuhan istimewa untuk penggemar-penggemar genre filem psikologi,” ujar Pengarahnya, Syafiq Yusof.

Anak kepada Yusof Haslam ini yang dilabel sebagai ‘Raja Plot Twist’ oleh penggemar filem di Malaysia pastinya tidak menghampakan penonton dengan jalan cerita yang penuh teka-teki melalui watak barisan pelakonnya - Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Dato Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan, Sharuddin Tamby, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Hazama, Azri Iskandar, dan ramai lagi.

“Filem ini menjadi lebih menarik apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman turut bekerjasama dan memberi nasihat dalam proses pembikinan filem. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM Bukit Aman dan rakan penerbit, Astro Shaw kerana sentiasa memberikan kerjasama yang sangat memberangsangkan sepanjang menghasilkan karya ini,” ujar Yusof Haslam selaku Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Bersama Sheriff, yang memang terkenal dengan cerita-cerita kepolisan seperti drama/filem ‘Gerak Khas’ dan sebagainya.



'Sheriff' merupakan filem keenam hasil daripada kerjasama Astro Shaw bersama Skop Productions selepas Polis Evo 3, Abang Long Fadil 2 dan 3, KL Special Force dan Misteri Dilaila. 

Meskipun industri filem tempatan diwarnai dengan pelbagai naskhah yang membabitkan badan beruniform, namun  kehadiran 'Sheriff' dilaporkan berbeza dengan filem-filem yang sedia ada kerana ia dipersembah melalui plot, babak dan dialog yang penuh kejutan. 

Dialog dalam ‘Sheriff’ terutama yang dilontarkan oleh Zul Ariffin memang santai tetapi tersirat makna mendalam di sebalik kelucuannya.  Cantik skripnya… tidak panjang dan berbelit-belit. Bak kata orang puteh,  ‘short and swift’ tapi penuh makna.

Selain itu, 'Sheriff' turut mempersembahkan babak-babak aksi memukau antara Zul Ariffin, Dato’ Aaron Aziz dan Syafiq Kyle, serta penampilan pertama Azira Shafinaz sebagai Inspektor Polis yang beraksi lasak apabila berdepan dengan Elizabeth Tan.  

“Kami berharap agar penonton-penonton di Malaysia dapat menikmati filem ini dan reaksi positif mereka adalah tanda sokongan kepada filem tempatan, di samping membawa kejayaan kepada genre yang baru dan segar,” tambah Yusof Haslam.


Raja Jastina Raja Arshad bersama Yusof Haslam menjawab pertanyaan media di pawagam GSC Midvalley.


Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan juga Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad memberitahu, pihaknya optimis filem arahan Syafiq Yusof ini bakal mencatatkan satu lagi sejarah dalam industri perfileman negara.

“Memandangkan filem ini akan ditayangkan ketika minggu perayaan Aidilfitri, jadi kami merasakan ia adalah waktu yang tepat untuk ditonton bersama keluarga, rakan-rakan dan insan tersayang. 

"Tentunya kami mengharapkan 'Sheriff' dapat diterima semua penonton, sekali gus mampu mencipta satu lagi fenomena.” akhiri Raja Jastina.


Antara  beberapa babak filem 'Sheriff' lakonan mantap Zul Ariffin, Syafiq Kyle dan lain-lain.



'Sheriff' menampilkan watak Nazri, seorang anggota polis daripada Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa. 

Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas daripada cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman. 

Dalam masa yang sama, Sheriff, seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Apa yang berjaya dibongkarkan ‘Sheriff’ anda sendiri perlu menontonnya waima pembelian tiket sudah boleh dibeli sejak 4 April 2024 dan peminat berpeluang untuk menonton sehari awal iaitu pada hari ini, 17 April di pawagam. 



Temui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 20, 21, 27 dan 28 April 2024.

Bagi penulis walaupun impak filem ini berada pada tahap maksimum dan tidak ubah seperti filem-filem aksi  Skop Productions yang lain seperti 'KL Gangster' dan sebagainya namun keberanian dan kualiti yang ditampilkan apatah lagi khabarnya 100% urusan teknikal dan produksi dilakukan melalui Astro Studios wajar dipuji sebagai sebuah filem tempatan yang boleh dibanggakan.  

Jika tidak mencapai tahap global filem aksi orang putih sekali pun tetapi kemungkinan itu ada waima pengarah-pengarah seperti Shafiq mahu pun Syamsul Yusof terus berkarya dan menimba ilmu perfileman. - KitaReporters


14
12
0
11
0
You will be interested