Seni & Sukan 16 Aug, 2023

Video| Oney nyanyi makin padu! Rakam album dengan Max meskipun selepas pembedahan pintasan jantung!

Share this

INILAH album sulung Max yang berjudul Anugerah.


SIAPA yang tidak kenal dengan Oney, vokalis rock tempatan yang pernah menempa nama bersama banyak kumpulan legenda tersohor seperti Lipanbara, May dan juga Jump-P sejak era tahun-tahun 1990-an.

Biarpun pernah berdepan dengan masalah kesihatan serta pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada awal tahun ini, namun itu tidak menghalang beliau merakamkan album bersama kumpulan baharunya, Max yang berjudul Anugerah, baru-baru ini.

Sebaliknya, menurut Oney atau nama sebenarnya Mohd Redzuan Abdul Aziz, 51, pembedahan yang dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur itu turut tidak menghalangnya daripada terus menyanyi, merakamkan lagu mahupun bermain alat muzik.

"Saya rasa stamina saya semakin okey kerana saluran pada bahagian jantung saya semakin 'fit' selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada awal tahun ini (2023). Saya kena serangan jantung sekitar pukul 5 pagi sewaktu rakaman album Max sebelum itu lagi. Pukul 3 pagi itu pun saya sudah rasa kesannya.

"Puncanya doktor kata saya kurang rehat, stres dan banyak buat kerja. Memang betul, sebelum rakaman album Max itu saya sibuk dengan projek Barbarik (projek kumpulan Joe Wings dan Mus May) dan juga terbabit di belakang tabir dalam persembahan-persembahan kumpulan Wings," katanya semasa ditemui selepas pelancaran album sulung Max di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


ONEY (dua dari kanan) bersama-sama anggota Max yang lain. 


Selain Oney, album sulung Max terbitan Rockstage Entertainment yang mengandungi 12 lagu itu turut menampilkan Man selaku pemain dram, AG (vokalis utama), Lan Taro (gitaris) dan juga Deen (bassis).

Beliau yang pernah menjadi vokalis May dari tahun 1997 hingga 2002 turut bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pembedahan pintasan jantungnya itu mendapat sokongan daripada banyak pihak terutama dalam mengurangkan kosnya yang mencecah hampir RM63,000.

Malah, Oney yang juga pernah berduet dengan Safura menerusi lagu bertajuk Jangan Menangis Sayang pada 1998 agak terkejut apabila permohonan bantuan yang dikemukakannya kepada kerajaan melalui IJN itu mendapat kelulusan yang agak cepat.

"Kos pembedahan saya itu dibuat dengan peruntukan subsidi daripada kerajaan. Kalau ikutkan, saya memang tidak mampu dan saya cakap doktor kalau tiada sumber untuk menampung kos itu, maka saya mati di rumah sahajalah. Namun, pihak IJN suruh saya mohon bantuan kerajaan. Pada mulanya, saya pun tidak tahu ada bantuan subsidi itu.

"Alhamdulillah, selepas seminggu masuk hospital minggu kedua permohonan itu lulus dan saya sudah boleh buat pembedahan. Ada pesakit yang satu wad dengan saya yang sudah lebih sebulan pun tapi masih belum dapat peluang seperti saya. Mungkin kriterianya ketat dan hanya pemohon yang betul-betul tidak mampu sahaja diberi keutamaan," jelasnya.

Setelah menjalani pembedahan tersebut, Oney berkata kesihatannya kini juga semakin beransur baik biarpun masih mendapat khidmat nasihat daripada doktor dan juga bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan pihak hospital.

"Ubat memang kena makan setiap hari selagi hayat dikandung badan. Apa pun yang penting, saya kena jaga makan. Tidak boleh makan makanan yang terlalu manis atau masin dan juga yang banyak lemak. 

"Setiap minggu saya kena berjalan kaki selama sejam. Dulu setiap tiga bulan sekali kena buat pemantauan doktor tapi sekarang hanya enam bulan sekali buat 'follow up' dengan doktor," katanya.



Menariknya, tambah Oney dalam Max dia bukan setakat menyanyi tetapi juga bertindak selaku pemain gitar kedua selepas ditawarkan menyertai kumpulan itu oleh Man (ketua Max) yang juga merupakan bekas pemain dram kumpulan May.

Ujarnya, dalam album Anugerah dia menyanyikan lagu berjudul Armani secara solo, berduet dengan AG menerusi lagu Anugerah dan menyanyikan lagu Hati Muda secara beramai-ramai dengan anggota-anggota Max yang lain.

"Saya ambil tawaran menyertai Max selepas kumpulan lama saya, Jump-P sudah lama tidak rakam album baharu. Saya sertai Max juga sebab ditawarkan main gitar dan bukannya sebagai vokalis utama. Sebabnya, mereka memang sudah ada vokalis utamanya iaitu AG.

"Walaupun Jump-P sudah ada banyak lagu baharu tetapi tiada pihak yang mahu membiayai rakaman untuk album ketiga kami. Jadi, saya tengok mana yang 'gerak' dulu. Walau bagaimanapun, Jump-P masih belum berkubur," katanya lagi yang popular dengan Jump-P menerusi lagu paling 'hits' kumpulan itu bertajuk Jemu pada tahun 2003.

Max yang memperjuang muzik heavy metal rock dan slow rock membariskan 12 lagu dalam album Anugerah yang berjudul Redah, Anugerah, Mempadu, Bulan Siang, Libang Libu, Tadah, Mahligai, Hanya Satu, Kereta Kebal, Amani, Parah serta sebuah lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk Hati Muda yang dirakamkan dalam nafas baharu.

Album Anugerah dalam format digipak telah dirakamkan di Studio D'Akasia di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor dan ia adalah album kedua terbitan Talib Othman dan Rockstage Entertainment Sdn. Bhd. pada tahun ini. - KitaReporters


MAX sewaktu pelancaran album pertama mereka itu bersama pemilik Rockstage Entertainment Sdn. Bhd., Talib Othman (tiga dari kiri) pada majlis tersebut.

Habiss//...

15
11
0
15
0
You will be interested