Seni & Sukan 09 Nov, 2022

Video| Muat naik video sumbang! DSV mengaku tak bersalah! Janji lebih berhati-hati pada masa depan!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Usahawan kosmetik kontroversi, Datuk Seri Vida (DSV), 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor pada Selasa, 8 November 2022 atas pertuduhan membuat video bersifat sumbang bagi video muzik ‘Muah Muah Raya’ dalam saluran DSV Entertainment pada 29 April 2022.  

Pengakuan itu DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman dibuat di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman selepas pertuduhannya dibaca oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, DSV didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang ramai menerusi video yang dimuat naik dalam laman YouTube miliknya, DSV Entertainment.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan selebriti dan usahawan DSV



DSV didakwa mengikut Seksyen 223 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998  (Akta 588) yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

DSV hadir bersama anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau lebih dikenali sebagai Cik B pada jam  9.50 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna berwarna hitam.

Hakim Ahmad Fuad menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disambung pada 7 Disember 2022 depan untuk serahan dokumen.



Pada Mei 2022 lalu, DSV dipanggil ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung video muzik (MV) ‘Muah Muah Raya’ yang mencetuskan kontroversi.

Ia susulan lagu raya itu memaparkan kumpulan penari ‘drag queen’ (pondan) sehingga ada yang mendakwa mencemarkan kesucian agama Islam.



Sementara itu bercakap kepada petugas media selepas itu, DSV berkata dia akan akan lebih berhati-hati selepas ini dalam menghasilkan apa jua klip video.

Tambahnya, dia tidak mahu lagi melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.

“Kalau kita tahu bagaimana kesalahan itu, kita kena clear (jadi) kita takkan buat perkara sama cuma akan lebih berhati-hati (selepas ini).

“Sebab sejujurnya saya tak boleh terima bulat-bulat, tak boleh, takut bawa impak yang besar kepada perjalanan perniagaan. Saya tak nak nanti nama kita jadi buruk tak habis-habis sebab kes begini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Sepang.



MV ‘Muah Muah Raya’ yang mula ditayangkan pada 29 April 2022 kini mencapai tontonan lebih 654,000.

Sebelum ini seorang lagi usahawan kosmetik sensasi, Aliff Syukri Kamarzaman, 35, turut didakwa kerana memaparkan unsur sumbang dalam MV ‘Kelepok Raya’.

MV ‘Kelepok Raya’ yang mula ditayangkan enam bulan lalu sudah ditonton hampir 2.641 juta kali.

Aliff Syukri didakwa di mahkamah sama pada 13 Oktober 2022 atas dakwaan yang sama dan sebutan semula kes pada 25 November 2022. - KitaReporters


12
11
0
7
0
You will be interested