Pelakon dan pelawak Ebby Yus menjadi insan seni ke-12 menerima sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Program Ziarah Madaninya.
Program ini adalah bagi memberi sumbangan kepada insan seni yang mempunyai masalah kesihatan dan dapat membantu kehidupan sekeluarga.
Ahmad Farhan Fauzi mewakili Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada Ebby Yus. - Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim
Ebby Yus kini menderita akibat pelbagai komplikasi penyakit kronik sekali gus mengehadkan penglibatannya dalam dunia seni.
Ebby telah menjalani pembedahan memasukkan perentak jantung susulan menghadapi masalah lemah jantung.
Dalam laman Facebooknya, Anwar mendoakan Ebby agar terus kuat dan dikurniakan afiyah sesegera mungkin..
Selain menghadapi masalah kesihatan, Ebby turut menerima ujian apabila rumah impian yang dibina hasil kerja seninya musnah diterjah oleh banjir deras di Kuala Langat, Selangor pada minggu ketiga Disember 2021. Rumah itu sudah 90 peratus siap dan akibatnya RM200 ribu ranap.
Kerajaan negeri Selangor membina rumah mesra rakyat bernilai RM56,000 untuk Ebby namun masih belum dapat mendiaminya kerana masalah hubungan jalan di kawasan itu belum dikemas kini.
Sejak Oktober 2023, Perdana Menteri telah menyampaikan sumbangan hasil Ziarah Madani kepada 12 insan seni.
Bermula dengan Sazali P Ramlee, Zaiton Sameon, Maimunah Ahmad (Mak Jah), Allahyarham Ibnor Riza, Fauziah Samad, Jalil Hamid, Shima, Datuk Sarimah Ahmad, Dharma Harun AlRashid, Sheqal, Ali XPDC dan terkini, Ebby Yus. - KitaReporters
.