Seni & Sukan 11 Oct, 2025

Nota Tepi Padang| FAM vs FIFA! Apa kesudahannya? Ada plot twist? Atau menang sorak kampung tergadai?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

PADA 10 Jun, 2025, kebanyakan rakyat Malaysia meraikan kemenangan 4-0 skuad bola sepak negara ke atas Vietnam pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 seolah-olah skuad Harimau Malaya layak ke Piala Dunia 2026.


PEMAIN dan penyokong meraikan kejayaan Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun, 2025 dengan bantuan pemain warisan dan naturalisasi.


Keterujaan itu mudah difahami kerana kali terakhir Malaysia mengalahkan Vietnam adalah kira-kira 11 tahun lalu, tepatnya pada pertandingan Piala AFF 2014. Kemenangan kali ini juga lebih bermakna kerana kita membelasah lawan 4-0.

Ia adalah petanda awal kepada kebangkitan Harimau Malaya menerusi projek revolusi yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas skuad kebangsaan dengan membawa masuk pemain warisan serta pemain naturalisasi sebagai watak utama.

Kemenangan itu juga sekali gus menutup mulut pengkritik (termasuk penulis) yang tidak menyambut baik penggunaan pemain warisan sebagai langkah merevolusikan skuad kebangsaan.



Namun, tiga bulan kemudian, pada 26 September, 2025, kegembiraan itu bagai direntap dan maruah kita bagai disiat-siat apabila Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendenda FAM sebanyak 350,000 francs (RM1.8 juta) dan tujuh pemain warisan yang menyarung jersi Harimau Malaya didenda 2,000 francs (RM10,400) serta digantung 12 bulan daripada sebarang pertandingan bola sepak.

FAM didakwa memalsukan dokumen berkaitan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Pada 7 Oktober, 2025, FIFA menjelaskan secara terperinci kesalahan yang membawa kepada hukuman ke atas badan induk bola sepak Malaysia itu membabitkan susur galur tujuh pemain warisan berkenaan.


PENDEDAHAN FIFA mengenai pemalsuan dokumen pemain warisan.


Siasatan FIFA menunjukkan ketujuh-tujuh pemain itu tidak mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia sebagaimana didakwa oleh FAM. Perkembangan terbaharu itu merupakan satu lagi tamparan kepada Malaysia. 

Tapi, FAM nampaknya masih belum mengalah dan akan mengemukakan rayuan dengan dokumen-dokumen yang mereka yakini betul. 

Berdasarkan bukti yang didedahkan oleh FIFA, penulis tidak pasti ‘kot celah mana’ FAM hendak menafikan dakwaan itu.

Apakah hujah bahawa berlaku kesilapan teknikal dilakukan oleh kakitangan FAM semasa serahan dokumen cukup kukuh sebagai perisai mempertahan diri dan terlepas daripada hukuman?

Apakah akan berlaku ‘plot twist’ bagai sebuah drama yang berakhir dengan ‘happy ending’ bila hero dapat membuktikan dia difitnah, tidak bersalah dan berjaya?

Sama-sama kita doakan!!


Kredit grafik: Harian Metro


Cuma, penulis tidak dapat membayangkan bagaimana jika pengakhiran isu ini tidak berpihak kepada kita. Bagi penulis, jika ini berlaku, ia bukan saja malapetaka kepada bola sepak Malaysia tapi juga menjejaskan nama baik negara kita.

Dalam konteks bola sepak, selain denda yang dikenakan ke atas FAM, kegagalan badan induk itu dalam rayuan berkenaan nanti akan membawa musibah kepada pasukan kebangsaan, sekali gus menjejaskan impian kita untuk ke Piala Asia 2027.

Kita mungkin berdepan pemotongan mata membabitkan kemenangan ke atas Vietnam tempoh hari dengan kemenangan 3-0 diberikan kepada lawan. Tapi, apa yang membimbangkan, jika Harimau Malaya tidak dibenarkan meneruskan penyertaan pada saingan kelayakan Piala Asia 2027.

Jika kes Timor Leste dijadikan rujukan, kemungkinan itu tidak boleh kita ketepikan kerana kes yang sedang dihadapi Malaysia sekarang adalah sama iaitu pemalsuan dokumen pemain, kecuali FAM berjaya membuktikan sebaliknya.

Timor Leste tidak dibenarkan terbabit bagi saingan kelayakan Piala Asia 2023 sebagai hukuman berikutan pemalsuan dokumen sembilan pemain warisan dari Brazil yang tidak mempunyai sama ada ibu atau bapa mereka yang berasal dari Timor Leste.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu pemain warisan.


Jika ini berlaku, bukan saja impian kita untuk layak ke Piala Asia akan berkubur malah revolusi yang dilaung-laungkan menjadi sia-sia, membuang masa, tenaga dan wang.

Bagaimana pula dengan nasib tujuh pemain berkenaan? Pengantungan selama 12 bulan bukan jangka masa pendek, ia boleh memusnahkan terus karier mereka. Tapi, walaupun bersimpati, mereka sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana turut terseret dalam isu ini.

Sebarang tindakan FIFA ke atas FAM juga sedikit sebanyak mengheret sama Liga Malaysia yang sedang rancak berjalan sekarang dengan persoalan bagaimanakah kedudukan kelab Johor Darul Ta’azim FC (JDT) kerana tiga daripada pemain warisan iaitu Joao Figuerido, Jon Irazabal dan Hector Hevel turut beraksi bersama pasukan itu.

Setakat ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan larangan ke atas pemain-pemain itu daripada mewakili JDT sepanjang tempoh penggantungan mereka. 

Jika hukuman itu kekal, bagaimanakah kedudukan JDT pada perlawanan yang membabitkan pemain-pemain berkenaan sebelum ini?


SKUAD Harimau Malaysia yang diperkuatkan oleh pemain warisan.


Jika terbukti FAM bersalah, lumpur yang dibawa sudah tentu akan turut terpalit kepada Malaysia secara keseluruhannya. 

Ia bukan saja menjadi isu nasional dengan pelbagai pihak, dari Parlimen sehingga kedai kopi membualkannya tapi menjadi sendaan masyarakat antarabangsa khususnya dalam komuniti bola sepak.

Kita tidak boleh salahkan mereka atau berasa hati jika menjadi bahan trol media sosial orang luar kerana kita yang memberi mereka peluru untuk menembak!

Penulis tidak berniat memulangkan paku buah keras kepada FAM atau mana-mana pihak yang terbabit dalam isu ini tapi apa yang berlaku perlu menjadi pengajaran.

Kita sebenarnya terperangkap dalam keghairahan untuk mencipta kejayaan menerusi jalan pintas dengan menggunakan khidmat pemain naturalisasi dan warisan sehingga kita mengabaikan anak tempatan.

Ya, kita bersorak bangga selepas membelasah Vietnam 4-0 hasil revolusi yang dilakukan tapi apalah ertinya jika ‘menang sorak, kampung tergadai!’ - KitaReporters

9
6
0
22
0
You will be interested