Seni & Sukan 12 Nov, 2025

Bicara Seni| Video| Kejutan GV lagi! Skor terendah, tapi Elaine Kang tak disingkirkan! Tanda hormat!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Pertandingan realiti TV ‘Gegar Vaganza’ (GV) anjuran Astro sejak mula diperkenal pada 16 November 2014, sentiasa mempunyai kejutan bagi mengekal kesensasian dan kepopularitiannya.



Antara kejutan yang pernah berlaku ialah munculnya dua pemenang juara GV6 pada Disember 2019 di mana Naqiu dan Hady Mirza dari Singapura menjadi juara bersama. Dan terdapat beberapa lagi seperti ada peserta diberi imuniti agar bertahan.

Dan kejutan sekali lagi berlaku dalam GV12. Dan kejutan itu bermula pada awal musim baharu GV ini iaitu pada minggu ke-2 pertandingan.

Pada minggu ke-2 , kebiasaannya pasti akan ada seorang peserta tersingkir. Namun pada Ahad 9 November 2025,  ketua juri, Datuk Ramli Mohd Salleh (Tok Ram) mengumum tiada penyingkiran. 

Malah dalam sidang media selepas pertandingan, Tok Ram menyatakan Elaine Kang perlu diberi peluang untuk menonjol kemampuan sebenar sebagai penghibur. Dan kemampuan Elaine berjuang ketika menghadapi masalah jantung perlu dihargai.



Pada minggu pertama, Elaine berada di kedudukan tempat kedua terbawah, sementara pada minggu kedua, Elaine yang menyampai lagu popular Raja Ema, ‘Anggan-Anggan’ menduduki tangga terakhir dengan hanya memperoleh 52 markah, empat markah di bawah peserta kedudukan ke-11, Mell Sakura.

Elaine Kang terlihat sukar untuk menghafal lirik sehingga ada yang tersalah sebut lalu menyebabkan nyanyiannya agak terjejas. 

Namun sehabis menyampaikan lagu itu, Tok Ram selaku ketua juri dan pengarah muzik GV mengumumkan tiada penyingkiran pada minggu ke-2.

Malah Tok Ram meminta Elaine menyampaikan lagu Cina dialek Kantonis sesuai dengan keselesaan menyanyi dengan baik.

/



Mengapa pihak penerbitan dan juri keberatan untuk menyingkirkan penyanyi veteran Datuk Elaine Kang, yang berusia 60 tahun itu? 

Pihak penerbitan dan juri seperti enggan untuk ‘cepat’ menyingkirkan Elaine Kang untuk kepentingan GV12 juga.

Pihak penerbitan memang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan penyanyi veteran untuk menyertai GV12. Dan kesediaan Elaine Kang untuk menyertainya dianggap satu rahmat.

GV cuba mengekalkan kriteria peserta dengan  menyeimbangkan penyanyi veteran berusia atas 50-an dan penyanyi generasi pertengahan.



Elaine Kang daripada keluarga tidak berada di Pulau Pinang merantau bersama ibunya ke Kuala Lumpur untuk mengubah kehidupan bermula awal 1980-an dengan menjadi penyanyi di beberapa pusat hiburan dan kelab malam. 

Sehingga satu hari mengubah kehidupannya menjadi artis rakaman. Ia bermula apabila Elaine  menyanyi di sebuah kelab malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. 

Dan pada malam itu penyanyi popular Teresa Teng turut mengadakan persembahan di kelab itu. Ia membuat beberapa individu industri hiburan turut menonton. 

Antaranya seorang pegawai dari syarikat rakaman Life Records yang tertarik melihat persembahan Elaine lalu menawar menjadi artis rakaman.

Bersama Life Records, selama dua tahun 1984-1986, Elaine berpeluang membuat 5 album Cina dan sebuah album Melayu.


Elaine kemudian diberi peluang memperlihat kemampuan muncul dalam album berbahasa Melayu sepenuhnya apabila berhijrah ke syarikat rakaman ASP pada tahun 1988 dengan menghasilkan dua album berbahasa Melayu bertajuk ‘Di Luar Kerelaan’ serta ‘Bingkisan Hati’  juga sebuah album Inggeris berjudul ‘An Oriental Girl’ pada 1988.

Elaine yang mendapat anugerah ‘Datuk’ dari Pahang pada 2013, popular melalui lagu  ‘Maafkan Diriku’ dan ‘Di Luar Kerelaan’ yang membuat dia terkenal dalam kalangan pendengar masyarakat Melayu.


Elaine mengakui dia menyertai GV12 demi peminatnya yang masih ada dan pernah mengatakan jika memperoleh kemenangan dalam GV12, dia akan menyerahkan wang kemenangan kepada mereka yang memerlukan. 

Ini kerana selain menjadi menjadi penghibur, Elaine juga seorang usahawan yang berjaya.

Kerana kesihatannya yang kurang mengiznkan, Elaine sudah merancang untuk mengundur diri daripada bertanding pada minggu kedua dan menyatakan doktor peribadinya berada di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam untuk memantau keadaannya. 


Pada malam itu walaupun tidak memberi mutu nyanyian terbaik, namun  Elaine tetap memberikan persembahan terbaiknya dari segi pakaian membuat persembahannya memukau. 

Elaine membuktikan dia seorang penghibur, bukan sekadar penyanyi sebaliknya memukau penonton dengan gaya persembahan dan pakaiannya.

Walaupun Elaine masih dipertahan, namun dapat dinyatakan penghibur ini tidak akan menjadi salah satu daripada enam peserta yang mampu memasuki peringkat akhir GV12. 

Sehingga bila Elaine Kang akan berada dalam GV12? Adakah minggu ke-3 dia akan tersingkir atau pada minggu ke-4 atau ke-5 atau sehingga ke peringkat separuh akhir?

Dalam GV segalanya boleh terjadi. pastinya akan ada lagikah kejutan membabitkan Datuk Elaine Kang? - KitaReporters


13
9
0
11
0
You will be interested