Seni & Sukan 08 Nov, 2025

Komited kutip 4 emas! Pesilat negara tekad ulangi kecemerlangan! Pencapaian Sukan SEA Kemboja 2023!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Sasaran empat pingat emas Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dalam acara silat di Sukan SEA Thailand 2025 bukan sasaran syok sendiri sebaliknya bersandar kepada realiti semasa dan sesuatu yang mampu direalisasikan, sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang di Sukan SEA Kemboja dua tahun lalu (2023).


Skuad silat negara yang berjaya membawa pulang tiga pingat emas ketika Kejohanan Silat Asia Tenggara 2025 di Hatyai, Thailand. - Kredit foto: Utusan Malaysia. 


Setiausaha Agung PESAKA, Bibi Aishah Golbah Shah berkata, pihaknya kekal optimis terhadap kemampuan skuad negara, biarpun beberapa kategori yang sebelum ini menjadi “lubuk emas” tidak dipertanding pada edisi kali ini.

"Sasaran empat pingat emas bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai berdasarkan prestasi semasa pesilat negara yang semakin konsisten dan berada pada tahap tertinggi ketika ini.

“Persiapan pasukan negara ketika ini berjalan mengikut perancangan yang telah dirangka oleh barisan kejurulatihan selain komitmen serta disiplin tinggi para pesilat turut memberi keyakinan besar kepada kami,” katanya.


Bibi Aishah Golbah Shah. - Kredit foto: Utusan Malaysia.


Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Chef de Mission (CDM) kontijen negara ke Sukan SEA Thailand 2025, Nazmizan Muhammad yang meninjau persiapan kem latihan silat negara di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Oktober 2025 lalu.

Menurut Bibi Aishah, kejayaan skuad silat negara mengutip tiga pingat emas pada Kejohanan Silat Asia Tenggara 2025 di Hatyai, Thailand, baru-baru ini membuktikan bahawa pasukan Malaysia berada di landasan yang tepat menjelang temasya dwitahunan itu.


Norsyakhirah Mohsin (kanan) salah sorang pesilat penyumbang pingat emas ketika Sukan SEA Kemboja 2023. - Kredit foto: Sabah Media.


Beliau turut menegaskan bahawa sejak berada di bawah pengurusannya, kem silat negara tidak pernah gagal menyumbang pingat emas di pentas Sukan SEA, termasuk pada edisi Kemboja pada 2023.

“Rekod itu memberi motivasi kepada kami untuk terus mengekalkan momentum dan memastikan silat terus menjadi antara penyumbang utama pingat emas buat kontinjen negara,” jelasnya.

Bibi Aishah turut memaklumkan bahawa skuad kebangsaan kini memasuki fasa persiapan akhir yang memberi tumpuan kepada aspek strategi, kekuatan mental, kecergasan serta ketahanan fizikal setiap atlet.

Antara pesilat yang menjadi sandaran utama Malaysia untuk meraih pingat emas ialah Ummi Mashitah Hassan, Muhammad Robial Sobri, Muhammad Amirul Hakim Jaafar dan Mohamad Akmal Azman yang masing-masing menunjukkan peningkatan positif sepanjang latihan.  

Menurut beliau, keempat-empat pesilat ini telah membuktikan kemampuan mereka dalam kejohanan antarabangsa dan diyakini mampu mengekalkan prestasi cemerlang di gelanggang Sukan SEA kelak. 


Ummi Mashitah Hassan salah seorang pesilat yang menjadi sandaran untuk membawa pulang pingat emas. - Kredit foto: TVS.


Dalam pada itu, PESAKA turut menaruh harapan kepada pesilat wanita, Nor Farah Mazlan yang bakal beraksi dalam kategori Kelas B untuk menghadiahkan emas tambahan kepada kontinjen negara.

Katanya, dengan kelebihan fizikal serta teknik yang semakin matang,  dia percaya Nor Farah mampu memberikan saingan sengit dan berpotensi besar untuk mencipta kejutan di Thailand nanti.

Sementara itu, pesilat lelaki negara, Muhammad Robial Sobri yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan lutut yang memaksanya berehat selama setahun, kini kembali dengan semangat baharu selepas pulih sepenuhnya.

Robial yang juga merupakan pemenang pingat perak di Sukan SEA Kemboja bertekad menebus kekecewaan itu dengan membawa pulang emas pada temasya kali ini.  

“Kejuaraan yang saya raih di Hatyai baru-baru ini menjadi bukti kepada kemampuan saya untuk kembali ke prestasi terbaik. Saya mahu menghadiahkan emas buat negara,” katanya penuh semangat. 


Muhammad Amirul Hakim Jaafar berpontensi besar untuk membutirkan emas buat skuad silat negara di Sukan SEA Thailand Disember 2025 nanti. - Kredit foto: Melaka Hari Ini.


Aksi Muhammad Robial Sobri ketika mewakili negara dalam salah satu kejohananantarabangsa. - Kredit foto: Kosmo.


Dalam perkembangan sama, Nazmizan yang hadir meninjau sesi latihan di pusat latihan PESAKA, Nilai, menyatakan rasa puas hati terhadap tahap persiapan pasukan.

Beliau menilai skuad silat negara berada di landasan terbaik, bukan sahaja dari segi prestasi tetapi juga kesediaan mental dan semangat juang yang tinggi menjelang temasya.

“Sebenarnya, kem silat tidak pernah berhenti berlatih. Mereka melaksanakan latihan sepanjang tahun dan kini semakin bersedia untuk memberi yang terbaik di gelanggang,” ujar Nazmizan.

Beliau turut berharap agar semua pesilat dikurniakan kesihatan yang baik serta bebas daripada sebarang kecederaan menjelang hari pertandingan bagi memastikan momentum latihan dapat diteruskan.

Dengan dedikasi tinggi para pesilat, bimbingan jurulatih berpengalaman dan sokongan penuh daripada PESAKA, skuad silat negara diyakini mampu merealisasikan sasaran empat pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 serta mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. - KitaReporters


Timbalan CDM Sukan SEA 2025, Nazmizan Muhammad (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada atlet silat negara ketika meninjau persiapan skuad silat negara yang akan ke Sukan SEA Thailand Dismber 2025 ini. - Kredit foto: Harian Metro.

11
12
0
13
0
You will be interested