PENTAS final Kejohanan Dunia BWF 2025 anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Perancis menyaksikan pertarungan yang benar-benar menguji kekuatan fizikal dan ketahanan mental pemain khususnya beregu wanita.

M Thinaah (depan) dan Pearly Tan mempunyai hubungan yang akrab di dalam dan luar gelanggang. - Kredit foto: Badminton Photo
Malaysia menaruh harapan tinggi kepada Pearly Tan dan M Thinaah, manakala China hadir dengan pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.
Dalam pertembungan yang berlangsung selama 83 minit di Arena Adidas, Paris pada Ahad, 31 Ogos 2025 (Hari Kemerdekaan ke-68) lalu, Pearly–Thinaah memberikan segala-galanya sebelum akhirnya tunduk 14-21, 22-20, 17-21.
Biarpun tewas, aksi penuh semangat juang pasangan negara itu mendapat penghormatan daripada Sheng Shu yang mengakui Pearly–Thinaah bukan lawan yang mudah untuk ditundukkan.
“Mereka benar-benar berjuang untuk setiap mata. Walaupun kami mendahului, kami tidak pernah rasa selesa kerana lawan terlalu kuat,” ujar Sheng Shu.
Pengakuan itu hadir dengan penuh makna, kerana ia datang daripada pasangan beregu wanita terbaik dunia yang baru sahaja memenangi gelaran dunia pertama mereka.

Pearly (kanan) dan Thinaah muncul naib juara Kejohanan Dunia BWF di Paris. - Kredit foto: Badminton Photo
Dari perspektif teknikal, set pertama jelas dikuasai gandingan China apabila mereka lebih tenang mengawal tempo, manakala Pearly–Thinaah kelihatan sedikit gugup di pentas besar itu.
Namun, set kedua menampilkan sisi berbeza pasangan Malaysia menerusi perubahan servis oleh Thinaah menjadi senjata utama untuk mengganggu rentak lawan.
Pearly mendedahkan strategi itu menjadi titik kebangkitan mereka.
“Servis kuis ke belakang betul-betul buat lawan terkejut dan mula tergesa-gesa. Itu beri kami ruang untuk kembalikan rentak,” katanya.
Ketika ketinggalan 12-14, ramai menyangka mereka akan menyerah, namun sebaliknya, Pearly–Thinaah bangkit dengan lebih kuat untuk menang 22-20.
Momentum itu menjadikan final lebih mendebarkan. Set ketiga berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling bertukar mata sehingga kedudukan rapat.
Pearly–Thinaah beberapa kali melakukan aksi diving menakjubkan, bukti semangat juang tinggi meskipun akhirnya keletihan jelas menjejaskan ketajaman mereka.

Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak (kiri). - Kredit foto: FB Pearly Tan.
Bagi penonton neutral, perlawanan tersebut adalah promosi terbaik untuk sukan badminton wanita – penuh emosi, taktikal dan kualiti pukulan bertaraf dunia.
Thinaah mengakui kecewa kerana gagal menghadiahkan gelaran pertama dunia buat beregu wanita Malaysia, namun tetap positif.
“Kami gembira mara ke final. Banyak perkara boleh kami pelajari daripada lawan yang lebih tenang,” katanya.
Kekalahan itu memang pahit, tetapi hakikatnya Pearly–Thinaah telah membuktikan mereka berada di kelas dunia sesuai dengan ranking nombor dua yang mereka sandang bukan kebetulan.
Lebih penting, pengalaman beraksi di pentas final dunia memberi mereka bekalan mental dan taktikal untuk kejohanan besar lain termasuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Kejohanan ini beri keyakinan tambahan. Ia motivasi untuk kami bangkit lebih kuat selepas ini,” tegas Thinaah.

Pasukan sokongan termasuk pegawai dari Institut Sukan Negara (ISN) yang menjadi wira tidak didendang buat skuad badminton negara di Paris. - Kredit foto: FB Pearly Tan
Dari sudut lawan pula, Tan Ning mengakui sedikit goyah pada set kedua kerana lambat menyesuaikan diri dengan strategi pasangan Malaysia, sekali gus membuktikan Pearly–Thinaah mampu menggugat dominasi China.
Jika diteliti, ketenangan dan pengalaman besar pasangan China yang membezakan mereka pada saat genting pada set penentuan.
Maka, walaupun tidak pulang dengan pingat emas, Pearly–Thinaah pulang dengan sesuatu yang lebih besar – pengiktirafan dunia dan keyakinan bahawa jurang dengan pasangan terbaik kian rapat.
Dalam arena sukan, kekalahan bermaruah sering menjadi tapak kepada kejayaan lebih besar.
Bagi Pearly–Thinaah, final Paris 2025 adalah bukti bahawa mereka sudah bersedia menjadi pencabar utama di pentas dunia dan janji mereka jelas – akan bangkit lebih kuat. - KitaReporters