Dengan semakin banyak tempat melarang kegiatan merokok d tempat awam, tandas di kedai makan dan pusat membeli belah menjadi tumpuan.

Dan di dalam tandas kegiatan melepaskan gian ini jika di dalam tandas, ada yang sanggup masuk ke dalam kubikel tandas. Ia menyebabkan tandas berbau asap rokok dan menjejaskan keselesaan pengguna tandas yang tidak merokok.

Shenzhen adalah bandar raya metropolis yang maju dan merupakan bandar pentadbiran peringkat subwilayah (rendah sedikit daripada wilayah) di wilayah Guangdong, China.
Ia terkenal sebagai hab teknologi global dan salah satu Zon Ekonomi Istimewa (SEZ) pertama di China, sekaligus menjadikannya sebuah entiti bandar dengan kuasa pentadbiran yang signifikan, walaupun secara rasmi ia adalah bandar di bawah wilayah.

Dua pusat beli-belah terkenal di Shenzen iaitu Shuibei International Centre dan Shuibei Jinzuo Building memperkenal teknologi inovatif di mana pintu tandas lelaki bertukar menjadi lutsinar apabila ia mengesan asap rokok.
Teknologi khas ini menggunakan kaca yang biasanya tidak lutsinar, tetapi akan menjadi sebaliknya untuk beberapa saat selepas kehadiran asap dikesan.
Langkah ini bagi memastikan pengunjung tandas yang merokok dalam tandas didedahkan. Bagaimanapun tanda amaran telahpun dipapar pada pintu tandas.

Sebelum ini, pusat beli-belah berkenaan sering menerima aduan mengenai pengunjung yang merokok di dalam tandas, dan kaedah tradisional seperti papan tanda larangan atau denda kecil terbukti kurang berkesan.
Pintu kaca itu mula diuji sejak Ogos 2025 dan menerima maklum balas positif daripada peniaga dan pengunjung.

Pakar undang-undang di Guangdong menegaskan bahawa jika teknologi ini melanggar hak privasi, pusat beli-belah perlu bertanggungjawab secara undang-undang.
Bagi mengurangkan risiko pelanggaran privasi, pusat beli-belah itu menyesuaikan sensor asap agar hanya dipicu oleh asap dan memasang butang reset sekiranya sensor tersilap aktif.