Seni & Sukan 10 Jul, 2025

Tiada lagi Mat Keranjang! Tan See Wah & tim bola keranjang wanita! 9 emas Sukan SEA! Pencabar Asia!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: [email protected]

Share this

TAN See Wah (duduk, tiga dari kiri) bersama-sama tim wanita yang menjuarai Sukan SEA Vietnam 2003. - Kredit foto: MOM


ADA satu simpulan bahasa Melayu popular mengenai Mata Keranjang yang ditujukan buat sang lelaki yang pantang nampak wanita cantik.

Sebaliknya kepada Tan See Wah, dia lebih layak digelar ‘Mat Keranjang Malaysia’ atau ‘Malaysian Mr. Basketball’ kerana semangat dan dedikasinya yang sentiasa menyala kepada sukan bola keranjang negara.

Kecintaan dan kesetiaan anak jati Bentong, Pahang ini turut menjadikan skuad wanita sekumpulan wirawati negara yang sentiasa meraih tumpuan lawan di rantau Asia Tenggara. 

'Ah Sir' (gelarannya) juga membina karier kejurulatihan gemilangnya dengan pasukan wanita kebangsaan selama 36 tahun malah membantu mengalungi Malaysia dengan rekod hebat - sembilan pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa Sukan SEA.

'Air tangan' See Wah telah membawa anak-anak buahnya lima kali berturut-turut ke podium juara Sukan SEA Kuala Lumpur 1977, Jakarta 1979, Manila 1981, Singapura 1983 dan Bangkok 1985.  

Laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyebut, kesinambungan sentuhan emasnya turut berulang dalam temasya serantau dwitahunan itu di Jakarta 1997, Kuala Lumpur 2001, Vietnam 2003 dan Korat 2007. 


UCAPAN takziah MOM kepada keluarga mendiang Tan See Wah. - Kredit foto: MOM


Antara finalnya yang paling dikenang pastilah di tanah air apabila Malaysia mengalahkan Thailand 91-74 dan 71-70 pada 25 November 1977 dan 16 September 2001 di Stadium Negara dan Stadium MABA, Kuala Lumpur.  

“Skuad wanita kendaliannya juga meraih pingat perak Sukan SEA Jakarta 1987 dan Singapura 1993 selain pingat gangsa Manila 1991 dan Chiang Mai 1995,” lapor MOM dalam ucapan takziah atas pemergian selama-lamanya See Wah pada 8 Julai 2025 dalam usia 85 tahun.

Koleksi kejayaannya sebagai jurulatih juga meliputi beberapa podium Kejohanan Bola Keranjang Asia (ABC), Kejohanan Persatuan Bola Keranjang Asia Tenggara (SEABA) dan Kejohanan Persatuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) Asia.

See Wah juga antara segelintir jurulatih yang mampu membimbing skuad wanita negara layak ke dua Sukan Asia di Seoul 1986 dan Busan 2002 serta Sukan Komanwel Melbourne 2006 - merit yang perlu dicapai mengikut zon saingan.

Sebagai pemain, Ah Sir juga menganggotai skuad negara menduduki tempat kelima Kejohanan Asia 1969 dan kelapan Sukan Asia Bangkok 1966 selain merangkul pingat perak Sukan SEAP Bangkok 1967 dan Rangoon 1969 serta beraksi pada kejohanan kebangsaan, Piala Agong 1961 hingga 1970.


TAN See Wah (baris bawah, kanan) dalam skuad negara ke Sukan SEAP Bangkok 1967. - Kredit foto: MOM


AH Sir (baris bawah, tiga dari kanan) anggota skuad negara dalam Sukan Asia Bangkok 1966. - Kredit foto: MOM


Bekas guru sekolah di Kuala Terengganu dan Ketari, Bentong ini juga pernah membantu pasukan wanita negeri kelahirannya menjuarai kejohanan kebangsaan empat kali iaitu 1973, 1974 dan 1975 serta 1989, begitu juga pasukan remajanya.

See Wah turut giat sebagai pentadbir dengan menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Keranjang Pahang (PABA) pada 2004 dan dipilih menyandang Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), 1991 hingga 2007 seterusnya Setiausaha Agung, 2008 hingga 2010.


TAN See Wah menerima penghormatan MOM yang mengurnianya, Anugerah Kerjasama Wanita dan Sukan 2007. - Kredit foto: MOM


Atas ilham, keringat dan kudratnya terutama kepada pasukan wanita negara sepanjang lebih tiga dekad, MOM telah mengurniainya Anugerah Kerjasama Wanita dan Sukan pada 2007.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, “MOM berdukacita atas pemergian Tan See Wah, seorang individu luar biasa dengan sumbangan tidak ternilainya kepada perkembangan bola keranjang Malaysia.

“Kami amat yakin warisan See Wah daripada peringkat akar umbi hingga kebangsaan ini akan terus menginspirasikan masyarakat bola keranjang Malaysia,” katanya dalam laman tersebut. 

Tan See Wah meninggal dunia di Kuala Lumpur pada Isnin, 8 Julai 2025 pada usia 85 tahun. - KitaReporters


 TAN See Wah (depan, tiga dari kiri) sebagai ketua jurulatih skuad wanita Sukan SEA Filipina 2005 namun mereka tidak dapat mempertahankan kejuaraan dari 2003 kerana tuan rumah digantung FIBA. - Kredit foto: MOM


19
11
0
6
0
You will be interested