Seni & Sukan 28 Jun, 2025

Video| Dari TikTok ke impian! Nanti Kita Seperti Ini bawa Hannah ke Indonesia! Bertemu Batas Senja!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Segalanya bermula tanpa disangka, penyanyi dan pelakon terkenal, Hannah Delisha kini tampil dengan sebuah kolaborasi istimewa bersama kumpulan pop-folk dari Indonesia, Batas Senja, dalam versi terbaharu lagu viral mereka, “Nanti Kita Seperti Ini (Versi Sinematik)”. 

Lagu yang telah mencatat lebih 340 juta penstriman dalam Spotify dan lebih 79 juta tontonan dalam YouTube ini kini dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih mendalam dan emosional, dengan sentuhan suara Hannah yang lunak dan penuh jiwa.

Menariknya, kolaborasi dengan Hannah Delisha ini tercetus secara kebetulan tetapi penuh makna apabila Reza Lukita Apriadi, atau Masitong, vokalis utama dan pencipta lagu Batas Senja, pertama kali melihat Hannah menyanyikan lagu ini dalam TikTok sehingga  tertarik dengan keunikan suaranya.



“Saya nampak Hannah cover lagu ini, terus rasa dia memang orang yang sesuai. Dia cantik, bersuara indah dan sangat ekspresif. Saya yakin kalau kami bergabung, hasilnya pasti luar biasa,” ujar Masitong meluahkan keyakinannya terhadap gabungan bakat mereka.

Versi sinematik ini menampilkan susunan muzik yang jauh lebih besar dan penuh rasa dengan elemen orkestra yang dirancang untuk membawa pendengar ke dalam suasana yang lebih mendalam dan menyentuh emosi. 

Hannah Delisha sendiri mengakui hubungannya yang kuat dengan lagu tersebut.

“Sejujurnya, kali pertama saya dengar lagu ni, saya terus rasa connected. Lagu ni sangat indah dan penuh makna. Saya memang minat dan menghormati karya-karya mereka, jadi saya rasa sangat bersyukur dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada versi ini.” kata Hannah.



Proses pembikinan versi ini turut melibatkan ramai pemuzik profesional, dari pengarah muzik sehinggalah pemain muzik jemputan. Ia bukan proses yang mudah, tetapi sangat memuaskan.

“Versi ini memang rasa sangat berbeza. Nuansanya fresh, lebih elegan dan emosional. Kami betul-betul nak cipta pengalaman mendengar yang lebih sinematik dan berjiwa,” jelas Masitong.

Menurut  beliau lagi, lagu ini membawa makna peribadi yang cukup mendalam dan telah menyentuh ramai pendengar sejak ia mula dilancarkan. 

“Lagu ini adalah kisah benar dari hidup saya sendiri. Ditulis ketika kondisi hidup saya yang sedang susah, tetapi saya terus membawa harapan dan doa semoga suatu hari nanti mampu memiliki rumah sendiri dan hidup bahagia.” kongsi Masitong.

Tambahnya lagi, “Saya rasa 'Nanti Kita Seperti Ini' adalah lagu yang sangat dekat dengan hati ramai orang. Lagu ini menyimpan tenaga positif yang saya ingin kongsikan dengan menjangkau pendengar yang lebih luas dan jangka hayat yang lebih lama dalam ingatan mereka. Versi baru ini adalah bentuk perayaan terhadap harapan itu sendiri.”

Masitong memaklumkan, banyak perbincangan dan eksplorasi muzik berlaku di belakang tabir dan walaupun sulit ia menyeronokkan di mana akhirnya ia melahirkan karya yang boleh dianggap sebagai ‘masterpiece’ kumpulan Batas Senja.

Walaupun rakaman dilakukan secara berasingan, hasilnya tetap harmoni. 



“Sejujurnya, semuanya berlaku dengan sangat cepat! Saya rasa Batas Senja siapkan susunan semula lagu ni dalam masa seminggu atau mungkin kurang. 

"Kami melakukan rakaman secara berasingan dan selepas hanya 4 hari dari sesi rakaman saya, kami terus terbang ke Lampung, Indonesia untuk penggambaran video muzik,” cerita Hannah sambil memuji kerjasama dengan Batas Senja.

Tambahnya, “Mereka memang sangat santai dan ramah, memang senang sangat nak bekerjasama dengan mereka. Saya rasa suara saya dan Masitong serasi dan seimbang. 

"Saya memang suka kesederhanaan melodi lagu ni, mudah nak ikut nyanyi, tapi tetap mendalam dengan lirik yang penuh makna dan susunan muzik yang indah.”

Sebagai seorang wanita, Hannah juga melihat lagu ini dari sudut yang lebih introspektif. 

“Lagu ni buat saya fikir tentang momen-momen kecil dalam hubungan yang kita selalu terlepas pandang. Ia bukan lagu patah hati, tapi lebih kepada menghargai dan itu yang sangat menyentuh saya. 

“Saya harap lagu ni buat orang rasa tenang, rasa disayangi dan percaya bahawa membina hidup dengan seseorang tu satu perkara yang indah. 

"Walaupun masih ‘single’, saya harap ia mampu beri semangat untuk percaya pada cinta yang sederhana tapi bermakna," akhiri pemilik bernama penuh, Hannah Adlina Blackburne Birch, 28, berasal dari Singapura ini. - KitaReporters


14
11
0
10
0
You will be interested