Seni & Sukan 17 Mar, 2025

Bicara Seni| Gara-gara ditegur Jakim, drama Bidaah makin popular? Semakin terserlah kerja seni Erma?

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

.



Teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap isu sensitif dan perlu dibuang dalam drama bersiri ‘Bidaah’  bukan mengurang, malah dijangka akan meningkatkan jumlah tontonan drama itu menerusi platform penstriman Viu Malaysia.

Orang ramai yang selama ini tidak menonton drama bersiri itu kini berminat untuk menyaksikan kesudahan drama 15 episod itu.

Malah ada yang berminat untuk menyaksikan drama itu dari episod pertama yang ditayang di penstriman Viu Malaysia.

Ia secara tidak langsung memberi promosi terhadap Viu Malaysia dan produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima. Juga semakin mempopularkan Pali Yahya selaku pengarah, manakala Erma Fatima sebagai penulis skrip ‘kontroversi’ serta para pelakon terlibat. 


Barisan pelakon drama bersiri 'Bidaah'. Kredit Foto: Viu Malaysia

JAKIM bertindak memanggil pihak penebit dan penyiar  setelah mendapat teguran daripada sejumlah anggota masyarakat termasuk agamawan.

Sebahagian mereka sebenarnya tidak menonton drama bersiri itu dan hanya menonton klip video ‘bahagian yang dikatakan panas’ itu dalam sejumlah media sosial.

Ketika itu drama ‘Bidaah’ sudah ditayangkan pada pertengahan jalan. Sebanyak 6 episod sudah ditayangkan oleh perkhidmatan pengstriman Viu Malaysia. Ia ditayang pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai 6 Mac 2025 lalu.


DR SIRAJUDDIN SUHAIMEE


Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan medianya menyatakan pihaknya menerusi Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan penerbit 'Bidaah' serta meneliti kandungan drama itu merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod yang belum ditayangkan untuk menilai kesan serta implikasi kandungannya. 

Ia susulan teguran sejumlah pihak yang tidak berpuas hati terhadap drama bersiri itu sama ada menonton secara langsung atau menonton klip video dalam beberapa media sosial.

JAKIM menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada 2015 merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.

Ekoran teguran pihak JAKIM terhadap penerbit dan penayang drama ‘Bidaah’, ia akan menarik minat orang ramai untuk menonton episod seterusnya atau menonton ulang drama tersebut melalui laman Viu Malaysia. Secara tidak langsung ia semakin mempopularkan pengstriman itu.


Erma Fatima berdebar menunggu dipanggil menghadap pegawai JAKIM.


Sebenarnya drama bersiri ‘Bidaah’ bukan untuk mengagungkan tokoh tertentu yang mengamalkan ajaran sesat. Sebaliknya untuk menghapuskan tokoh ajaran sesat yang mengaku sebagai Imam Mahadi.

Paparan pengamal ajaran sesat sudah pernah disiar beberapa drama sebelum ini, malah melalui stesen TV Kerajaan, RTM. Antara yang popular adalah drama ‘Guru Yahya’ pada 1986.

Drama berdasarkan kisah benar kegiatan ilmu sesat di Batu Pahat, Johor pada awal 1980-an ini diarah Kharib Ahmad dengan Allahyarham Hisham Ahmad Tajudin menjadi Guru Yahya.

Drama ini menjadi antara drama terbitan RTM yang paling mendapat perhatian. Dan ratip ‘guru yahya’ menjadi fenomena ketika itu.



‘Bidaah’ sebenarnya drama dakwah yang memaparkan kegiatan ajaran sesat individu tertentu yang cuba dibanteras agamawan golongan muda (lakonan Fattah Amin).

Setelah mendapat teguran JAKIM, Erma Fatima terpaksa memotong dua babak kontroversi dalam drama bersiri itu.

Ia membabitkan babak pelakon Vanida Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Walid lakonan Faizal Hussein dengan kakinya sambil berbaring di atas katil. Serta babak Kalsum (Fazlina Ahmad Daud) minum air kaki Walid (Faizal Hussein).

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 56, mengakui khilaf dan mematuhi arahan untuk membuang atau menyunting adegan itu.

Namun difahamkan Erma bersyukur JAKIM memahami keseluruhan inti pati drama ini dan tidak ‘mengharamkannya’.

Erma didapati kerap mencetuskan kontroversi melalui rumah peoduksinya itu. Trilogi ‘satu’nya iaitu ‘Perempuan Itu’, ‘Lelaki Itu’ dan ‘Keluarga Itu’ turut mengundang kontroversi berkaitan agama. Bagaimanapun dia ‘suka’ berkongsi kontroversi dengan pengarah-pengarah yang dipilihnya.

Namun kontroversi panas ini diyakini tidak akan melemahkan Erma dan rumah produksinya. Dan dia telah membuktikan berjaya memikat stesen-stesen TV.

Kebanyakan dramanya mampu menarik minat penonton dan ia menjadi kesukaan stesen TV kerana mudah menarik iklan. - KitaReporters

19
5
0
6
0
You will be interested