
SKUAD Piala Asia Astaf Thailand (depan, dari kiri), Yodsawat Uthaijaronsri, Supasin Boonrueng, Wuttinun Kamsanor, Sirisak Anuloon, Boonkoom Tipwong dan Sutthikiart Panseankaew. Belakang (dari kiri), Jakkrit Thinbangbon, Nichakul Seehakai, Varayut Jantarasena, Tanaphon Sapyen, Chutchanan Suwannarat dan Sittipong Khamchan. - Kredit foto: ST
TIADA langsung enam pemain Thailand yang membolot gelaran beregu dan kuadran Piala Dunia Istaf di Bihar, India pada Mac 2025 lalu, tersenarai ke dalam skuad Piala Asia Sepak Takraw Astaf di Kuala Lumpur.
Malah majoriti ke kejohanan dari 10 hingga 18 Mei 2025 ini ialah pendatang
baharu antarabangsa selain dibimbing hanya empat tonggak berpengalaman seperti
Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena, Tanaphon Sapyen dan Yodsawat
Uthaijaronsri.
Si Gajah Putih ternyata merehatkan tekong paling seniornya, Siriwat
Sakha mahupun barisan pemenang Bihar seperti Kritsanapong Nontakote, Pornthep
Tinbangbon, Thawisak Thongsai, Phutawan Sopa, Rachan Viphan dan Seksan Tubtong.
Thailand juga mungkin khuatir Siriwat, 37, si kidal yang dianggap sudah berusia, masih dihantui badi kekalahan final regu Piala Dunia 2024 di ibu negara dan Piala Juara-juara Liga Sepak Takraw (STL) di Serdang, Selangor pada November 2024 lalu.

BOONKOOM Tipwong ketika mewakili Universiti Thailand yang menjuarai Sukan Universiti ASEAN 2022 di Ubon Ratchathani, turut menguasai sukan teqbol. - Kredit foto: ST
Namun beberapa pendatang baharu mereka sebenarnya tetap sudah masak dengan sepak terajang beberapa musim STL dan Piala Tun Ali di Malaysia antaranya Nichakul Seehakai, Jakkrit Thinbangbon, Boonkoom Tipwong, Sutthikiart Panseankaew dan Sirisak Anuloon.
Seorang lagi anggota barisan 12 pemain Piala Asianya ialah apit kiri atau pengumpan, Wuttinun Kamsanor yang menjuarai acara trio dan regu Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia di Qingdao, China pada September 2024 lalu.
Tekong di ranking keempat, Chutchanan Suwannarat pula bakal meraih penampilan sulung antarabangsanya di Stadium Titiwangsa.

Skuad kendalian Supot Tumpracha dan Prawet Intra ini hanya akan menyertai acara berpasukan, regu dan beregu di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur lantas memilih untuk mengabaikan kuadran (berempat).
Bagi beregu, Thailand dijangka menampilkan gandingan Boonkoom/Sirisak yang kerap beraksi di arena sepak takrawnya dengan mewakili Tentera Laut Diraja di samping simpanannya iaitu antara Tanaphon atau Sutthikiart.

SUPOT Tumpracha (depan, baju kuning) dan penolong jurulatih, Suphaloek Kimthong ke Piala Asia di Kuala Lumpur tanpa barisan pembolot gelaran beregu, kuadran dan kuadran campuran Piala Dunia Istaf 2025 di Bihar di belakang mereka. - Kredit foto: STT
Tanaphon adalah antara tonggak skuad juara berpasukan Piala Dunia Istaf 2024 juga di Stadium Titiwangsa.
Namun dia yang sebagai perejam simpanan bersama beregu Kittiphum Sareebut/Seksan Tubtong ditewaskan pasangan Malaysia, Noraizat Nordin/Aidil Aiman Azwawi 16-17, 13-15 dalam final.
Noraizat/Aidil tidak berpeluang membalas dendam kekalahan mereka kepada Phutawan (Thawisak)/Rachan 9-15, 17-15, 15-17 dalam separuh akhir beregu Piala Dunia di Bihar tetapi akan cuba menujukan hasrat membara itu kepada Boonkoom/Sirisak.
Kedua-dua musuh tradisi ini bertembung lebih awal dalam Kumpulan B beregu iaitu pada hari pertama Piala Asia, 10 Mei 2025 manakala Taiwan dan Nepal bukanlah rintangan besar mereka untuk ke separuh akhir.
Seperkara menarik tentang Boonkoom, 27, ialah dia juga pernah mengalungi Thailand pingat gangsa perseorangan Kejohanan Teqbol Dunia 2024 di Kota Ho Chi Minh, Vietnam – sejenis sukan yang menggabungkan ciri-ciri sepak takraw, pingpong dan bola sepak.

VARAYUT Jantarasena (tengah) bakal kembali ke Stadium Titiwangsa untuk bertempur dengan apit kanan Malaysia, Azlan Alias (kiri) namun tanpa Siriwat Sakha (2) yang direhatkan. - Kredit foto: ST
Thailand yang diundi dalam Kumpulan A berpasukan dengan China, India dan Singapura dan B regu dengan Indonesia dan Korea Selatan dijangka mengutamakan gandingan Sittipong (tekong), Varayut (perejam) dan Supasin (pengumpan) dengan mungkin Nichakul dan Boonkoom selaku simpanan.
Menyenaraikan ramai muka baharu turut membawa isyarat jelas Si Gajah Putih mahu menjadikan Piala Asia medan pemanas badan dan hanyalah bertujuan menguji keserasian serta mengasah ketajaman mereka.
Misi akan datang yang dianggapnya lebih getir adalah di tanah airnya - Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand (King's Cup) Ke-38 di Korat dan Sukan SEA Ke-33 di Nakhon Pathom masing-masing pada 20 hingga 27 Julai dan 7 hingga 19 Disember 2025 ini.

SUTTHIKIART Pansseankaew (kiri) beruji kaji serangan dan bertahan dengan perejam senior Thailand, Thawisak Thongsai sambil diawasi Siriwat Sakha dalam sesi latihan di Pathum Thani menjelang Piala Asia Astaf. - Kredit foto: ST
